Allah telah berfirman dalam al-Quran tentang perihal seorang kafir yang menghalang Nabi Muhammad S.A.W daripada mengerjakan solat di Kaabah:
Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka). Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. (Surah Al-Alaq, 15-16)
BESARKAN TEKS A- A+
Mengapakah Al-Quran menggambarkan naseyah/ubun-ubun yang berada di bahagian depan kepala sebagai berdusta dan bersalah? Kenapa tidak disebut sahaja orang kafir itu secara khususnya sebagai pendusta dan pesalah?
Jika kita lihat struktur tengkorak manusia, kita boleh lihat dan kenal pasti kawasan prafrontal serebrum. Apakah yang boleh diceritakan dari segi fisiologi berkaitan hal ini?
Menurut buku Essentials of Anatomy & Physiology, dorongan dan kebolehan untuk meramal, merancang dan memulakan sesuatu pergerakan berlaku di bahagian anterior lobus frontal, iaitu kawasan prafrontal.
Kawasan prafrontal ini juga merupakan pusat kawalan kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang agresif.
Jadi, menurut sains, kawasan serebrum inilah yang bertanggungjawab untuk merancang, mendorong dan memulakan sebarang perlakuan sama ada baik atau jahat. Ia juga bertanggungjawab apabila seseorang bercakap benar atau menipu.
Malah, pada tahun 2007, seorang pakar psikiatri dan neurosains dari University of Pennsylvania, Daniel Langleben telah mencipta mesin fMRI yang mampu mengesan tahap aktiviti otak manusia apabila menipu.
Hasil kajian mesin imbasnya mendapati bahagian hadapan otak mempunyai lebih banyak aliran darah semasa menipu. Ini menandakan bahagian otak itulah yang paling aktif bekerja.
Jadi, memang patutlah Allah menyebut naseyah/ubun-ubun sebagai gantian kepada orang yang berdusta dan membuat dosa kerana bahagian otak itulah yang menjadi faktor penyebab manusia berperangai keji.
Mungkinkah disebabkan itu juga kita diwajibkan membasuh bahagian depan kepala semasa mengambil wudhu'?
Pengajaran daripada artikel ini: janganlah jadi orang yang derhaka dengan berdusta dan membuat dosa. Nanti Allah sentap naseyah anda, heret masuk neraka.
Marilah kita gunakan otak dengan betul dan berusaha menjadi orang yang baik-baik saja.
Sumber dan rujukan:
1. A Brief Illustrated Guide to Understanding Islam
2. NPR.org
3. Surah.my