Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan serta hidupan lain berkongsi hidup di atas muka bumi yang diciptakan Tuhan ini. Malangnya, akibat rakus dan tamak, manusia melakukan begitu banyak kerosakan terhadap muka Bumi ini sehingga memberi begitu banyak kesan buruk terhadap diri mereka sendiri dan dan  hidupan lain. 

Sejak puluhan tahun lalu, kajian juga menunjukkan begitu banyak spesis haiwan yang diisytiharkan pupus di muka bumi. Malah, banyak lagi haiwan lain seperti harimau, penyu, tenggiling dan sebagainya yang diancam kepupusan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Permintaan terhadap haiwan-haiwan eksotik ini wujud kerana pelbagai faktor antaranya kepercayaan-kepercayaan karut bahhawa bahagian-bahagian tertentu haiwan ini mampu mengubat sesuatu penyakit, memberi tenaga, membolehkan pemakannya hidup lama dan sebagainya. Malangnya, tiada kajian saintifik yang boleh mengesahkan dakwaan ini. 

Selain itu, ada juga haiwan yang menjadi mangsa manusia yang menggunakan bahagian badan mereka untuk tujuan berfesyen dan karya-karya seni. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 haiwan yang paling banyak diseludup di dunia dan dijual di pasaran gelap.

7. Harimau bintang salji

harimau bintang salji 561

Berbanding harimau belang, jumlah harimau bintang salji yang masih wujud di muka Bumi jauh lebih sedikit. Hal ini menjadikan harganya begitu mahal dan menjadi sasaran bagi penyeludup haiwan.

Diseluruh dunia, dianggarkan sekitar 4,000 sahaja haiwan ini yang masih hidup bebas dan liar dimana kebanyakannya terletak di kawasan Asia. Haiwan ini diburu untuk kulitnya dijadikan pakaian selain tulangnya juga biasanya dijadikan ubat.

6. Helang

helang

Agak ironi apabila helang yang dianggap sebagai raja bagi spesis burung turut termasuk dalam senari haiwan yang paling banyak diseludup ini. Haiwan ini ditangkap dan diseludup kerana kepakarannya memburu haiwan lain dan biasanya anak-anak burung ini diambil oleh penyeludup daripada sarang burung itu sendiri.

Organisasi The International Association for Falconry & Conservation of Birds of Prey mengatakan bahawa penyeludup gemar menyeludup spesis rare haiwan ini seperti "Bonelli’s Eagles" kerana harganya yang lebih tinggi dan hal ini menyebabkan spesis tersebut diancam kepupusan.

5. Penyu sisik (Hawksbill)

penyu sisik

Penyu merupakan haiwan yang diancam kepupusan yang majoritinya berpunca daripada penyeludupan dan juga pencemaran laut itu sendiri. Di Malaysia sendiri misalnya, masih terdapat penjual yang menjual secara terbuka telur penyu terutamanya di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Bagi spesis Penyu Sisik (Hawksbill) pula, haiwan ini diburu kerana cengkerangnya yang mempunyai sisik yang cantik dimana ianya kerap dijadikan sebagai barangan cenderahati. Usaha menangkap pemburu haiwan ini juga sukar memandangkan haiwan ini gemar mendarat di kawasan-kawasan pantai yang sunyi dan jauh daripada kewujudan manusia.

4.  Ikan jerung

sirip ikan

Walaupun ikan jerung merupakan haiwan yang sangat digeruni di laut, haiwan ini sendiri sebenarnya diancam kepupusan akibat daripada perbuatan manusia. Beberapa spesis haiwan ini diburu dan diseludup untuk bahagian siripnya dijadikan sup selain bahagian-bahagian lain juga dijadikan hidangan makanan eksotik.

Mengikut statistik, kira-kira 73 juta ekor ikan jerung diburu setiap tahun untuk siripnya sahaja. Lebih kejam, siripnya dipotong hidup-hidup dan ikan tersebut kemudiannya dibuang semula ke dalam laut dan dibiarkan mati kerana tidak lagi mampu berenang tanpa siripnya.

3. Badak sumbu

badak sumbu

Badak sumbu sememangnya binatang yang diancam kepupusan. Tidak mustahil haiwan ini akan pupus di atas muka bumi sekiranya langkap-langkah tertentu tidak diambil. Haiwan ini diburu untuk tanduknya yang dijadikan ubat dan penghasilan barangan perhiasan yang dikenali sebagai Elixir.

Di Afrika Selatan sahaja, dalam tempoh 2 tahun antara 2017 hingga 2019 sahaja menyaksikan 2000 ekor haiwan ini tumpas di tangan pemburu. Antara kaedah untuk mengelakkan haiwan ini dibunuh adalah meletakkan racun pada tanduk haiwan ini (tidak memberi kesan buruk pada haiwan) dan memotong tanduk haiwan ini bagi mengelakkannya dibunuh oleh pemburu.

2. Harimau belang

harimau belang

Corak kulitnya yang unik serta kepercayaan-kepercayaan karut pada haiwan ini menjadikannya mangsa buruan manusia untuk kulitnya dan bahagian-bahagian badannya yang lain. Malah, kuku dan darah haiwan ini juga turut didakwa mempunyai manfaat perubatan.

Harimau ini boleh didapati di beberapa negara seluruh dunia antaranya Russia, India, Malaysia, China, Nepal dan Bangladesh serta beberapa negara Asia. Haiwan ini banyak diseludup ke negara Asia kerana permintaan yang tinggi selain undang-undang yang tidak terlalu ketat.

1. Tenggiling

tenggiling 794

Tenggiling adalah haiwan yang unik dan mudah dikenali kerana bentuk tubuh badannya yang unik. Terdapat 8 spesis tenggiling dimana 4 daripadanya berasal dari Afrika manakala selebihnya dari Asia. Tenggiling digunakan sebagai ubat tradisional, dianggap sebagai makanan eksotik di Asia Tenggara dan kulitnya yang bersisik digunakan untuk membuat barang kemas, pakaian dan hiasan eksotik.

Mengikut statistik daripada WildAid, kira-kira 100,000 haiwan yang jarang ditemui dan terancam ini diseludup setiap tahun. WildAid merupakan sebuah badan organisasi yang aktif membendung penyeludupan haiwan terancam dan organisasi ini mendapat sokongan penuh ramai selebriti antaranya Jackie Chan dan Angelababy yang berasal dari Hong Kong.

Kredit:

  1. CNN News
  2. Phys.org
  3. Wild Aid
  4. Reuters



Hakcipta iluminasi.com (2017)