Sekiranya anda seorang penggemar kopi, anda mungkin pernah mendengar mengenai Kopi Luwak, sejenis kopi yang berasal dari Indonesia. Ianya juga dikatakan kopi yang termahal di dunia dengan harga boleh mencecah sehingga RM300 hingga RM400 untuk satu cawan kopi.

Mengapakah ianya begitu mahal?

Harganya begitu mahal kerana kesukaran untuk mendapatkan biji kopi luwak itu sendiri. Biji luwak ini diperolehi daripada najis 'musang kelapa' atau lebih dikenali sebagai 'luwak''. Luwak ini akan memakan biji kopi ini, menghadamnya sebelum mengeluarkannya semula dalam bentuk najis. Biji-biji kopi yang keluar bersama najisnya itu akan dibersihkan sebelum dibancuh menjadi minuman kopi luwak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Luwak merupakan binatang berekor panjang, berbulu dan mempunyai rupa seakan-akan raccoon. Haiwan ini banyak terdapat di Asia Tenggara dan merupakan sejenis haiwan nokturnal, iaitu haiwan yang aktif pada waktu malam. Makanan utamanya adalah buah-buahan dan biji-bijian.

biji kopi luwak

Salah satu makanan kegemaran binatang luwak ini adalah biji kopi. Ianya tidak makan sebarangan biji kopi sebaliknya hanya akan makan biji kopi yang terbaik sahaja untuk dimakan. Kerana biji kopi ini tidak mampu dihadam olehnya, biji kopi ini kemudiannya akan keluar bersama najisnya. Dalam bahasa mudahnya, biji kopi yang keluar bersama-sama najis luwak adalah biji kopi terbaik yang dipilihnya.

Selain itu, enzim pencernaan dalam badan luwak dikatakan berupaya mengubah struktur protein dalam biji kopi yang akan menjadikannya kurang berasid, seterusnya akan menghasilkan kopi yang kurang berasid dan mempunyai rasa dan aroma yang unik.

Penghasilan kopi luwak secara komersil

luwak makan biji ceri

Bagi menghasilkan kopi luwak, biasanya seseorang pembuat kopi perlu mencari najis-najis daripada luwak ini yang hidup secara liar. Kesukaran mendapatkan jumlah biji kopi yang banyak ini menjadikan harga kopi luwak ini begitu mahal.

Malangnya, kerana permintaan yang tinggi pada biji kopi luwak ini, terdapat segelintir manusia rakus yang membela luwak-luwak ini untuk tujuan penghasilan kopi luwak ini. Binatang-binatang ini terpaksa hidup dalam sangkar selain dipaksa untuk makan makanan yang disediakan di pusat pemeliharaan.

Sebab kopi ini perlu diharamkan

luwak dibela dalam sangkar sempit

Kerana permintaan yang semakin tinggi untuk kopi jenis ini, maka biasanya binatang luwak ini akan diletakkan dalam sangkar yang sempit. Sekumpulan pengkaji dari Wildlife Conservation Research Unit dan World Animal Protection telah melakukan pemantauan ke pusat-pusat pembiakan haiwan ini dan mendapati hampir kesemuanya berada dalam keadaan yang menyedihkan.

Hasil pemantauan mendapati kebanyakannya hidup dalam keadaan kotor dengan najis dan kotoran di merata tempat. Saiz sangkar yang kecil telah mengehadkan pergerakan luwak dan akibatnya, kebanyakan luwak ini mempunyai obesiti. Selain itu, luwak yang dipelihara di dalam sangkar ini juga kebanyakannya dihidangkan dengan biji kopi semata-mata untuk meningkatkan penghasilan biji kopi luwak semata-mata.

Hal ini berlainan dengan luwak yang hidup liar dimana selain biji kopi, mereka turut mempunyai diet yang seimbang dengan memakan serangga, binatang kecil dan buah-buahan. Kehidupan luwak yang dipelihara dalam sangkar yang sempit dan diet yang tidak seimbang ini mempunyai kesan negatif kepada luwak ini, menjadikannya stress dan lebih mudah jatuh sakit.

Selain itu, biji kopi luwak yang dihasilkan oleh luwak yang dibela disangkar ini juga dikatakan mempunyai gred yang rendah berbanding biji kopi luwak semulajadi yang dihasilkan oleh luwak liar. Malangnya, tiada panduan untuk membezakan sama ada biji kopi luwak yang dijual dihasilkan oleh luwak peliharaan ataupun luwak liar.

Satu kajian oleh akhbar BBC pada 2013 telah membuat penemuan yang sangat mengejutkan. Biji kopi luwak yang dijual di London dan mempunyai label menyatakan ianya dihasilkan oleh luwak liar mendapati sebenarnya ianya dihasilkan disebuah kilang di Indonesia yang memelihara luwak di dalam sangkar.

Terdapat juga kedai yang menjual minuman kopi luwak dengan harga yang mahal kerana mendakwa ianya dihasilkan oleh luwak liar walhal ianya dihasilkan oleh luwak yang dibela dalam sangkar. Sekiranya anda penggemar kopi, membayar harga yang mahal untuk secawan kopi luwak sememangnya tidak berbaloi.

Kredit:

  1. BBC
  2. National Geographic
  3. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)