Hollywood dipenuhi dengan ramai pelakon TV dan filem yang berbakat. Namun, bukanlah mudah untuk mereka mengekalkan populariti yang boleh hilang pada bila-bila masa sahaja.
Dari masa ke masa, ada sahaja pelakon popular yang semakin dilupakan dan pelakon baharu yang namanya memuncak naik. Ia adalah lumrah dalam dunia hiburan.
Walau bagaimanapun, sebilangan pelakon mendakwa mereka hilang populariti dan tidak mendapat tawaran berlakon kerana nama mereka di-blacklist di dalam industri Hollywood. Berikut adalah pelakon popular Hollywood yang disenarai hitam.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Charlie Chaplin
Asal-usul Hollywood Blacklist yang tidak rasmi ini dikatakan bermula sejak tahun 40-an lagi ketika Amerika dan Kesatuan Soviet di ambang Perang Dingin. Salah seorang bintang terbesar ketika itu yang disenarai hitam ialah pelawak filem bisu iaitu Charlie Chaplin.
Keenganan Chaplin untuk menjawab soalan mengenai pandangan politiknya menyebabkan FBI melabelnya sebagai penyokong parti Komunis dan ia merupakan satu ancaman. Chaplin telah disekat untuk memasuki Amerika dan filemnya diboikot. Ternyata, tuduhan itu tidak benar.
Ketika Chaplin di penghujung hayatnya dan kemelut politik dunia yang semakin reda, barulah penonton Amerika meminatinya semula serta menganggapnya sebagai seorang ikon.
2. Mel Gibson
Mel Gibson merupakan bintang besar suatu masa dahulu dan filem popular seperti "Mad Max", "Lethal Weapon" dan "Braveheart" menjadi buktinya. Namun, semuanya berubah selepas beberapa siri kontroversi yang dikaitkan dengan namanya.
Mel dikatakan membuat beberapa kenyataan berbaur anti semitik (perkauman terhadap Yahudi) dan homofobik. Dia juga ditangkap memandu laju dalam keadaan mabuk pada 2006.
Pada tahun 2010 pula, Mel meninggalkan pesanan suara kepada bekas isterinya, Oksana Grigorieva, dengan amaran dan ugutan bunuh. Kontroversi demi kontroversi membuatkan dia disenarai hitam dalam dunia Hollywood.
Namun, filem Hacksaw Ridge (2016) yang diarahkan Mel Gibson menerima enam pencalonan Academy Award termasuklah Pengarah Filem Terbaik.
3. Rose McGowan
Rose McGowan popular melalui drama bersiri "Charmed" dan siri filem thriller "Scream". Pelakon cantik dan berbakat ini dijangka akan menjadi nama besar dalam industri Hollywood. Namun, namanya menjadi semakin malap pada penghujung tahun 90-an.
Pada tahun 1997, dia telah dirogol oleh penerbit filem terkenal, Harvey Weinstein. Penerbit itu membayarnya USD 100,000 agar pelakon itu menutup mulut.
Namun, Rose tetap mendedahkan perbuatan Weinstein dan sisi gelap industri Hollywood kepada umum. Ramai lagi mangsa Weinstein tampil selepas itu termasuklah pelakon Ashley Judd.
Disebabkan pendedahan itu, kariernya seperti disekat dan jarang mendapat tawaran lakonan filem besar. Dia percaya ia adalah perbuatan Weinstein yang disegani dalam dunia perfileman.
4. Katherine Heigl
Pelakon ini menjadi popular melalui beberapa filem serta siri televisyen seperti "Roswell" dan "Grey's Anatomy". Namun, namanya seolah-olah tenggelam terus daripada dunia lakonan.
Menurut produksi yang pernah bekerja dengannya, Katherine adalah seorang yang amat sukar untuk berurusan. Dia sering ponteng, cerewet dan mahukan semua perkhidmatan terbaik.
Ibunya, Nancy Heigl, yang merupakan pengurus kepada Katherine membuatkan lagi keadaan bertambah buruk. Nancy sering memaki kru penggambaran dan kerap merungut. Banyak produksi enggan mengambil Katherine sebagai pelakon mereka.
5. Charlie Sheen
Bintang filem ini juga pernah menjadi pelakon TV dengan bayaran tertinggi di Hollywood. Namun, Charlie Sheen tidak pernah lari daripada kontroversi sejak mula menceburi bidang ini.
Dia terlibat dalam masalah penyalahgunaan dadah dan alkohol buat jangka waktu yang panjang dan telah beberapa kali dimasukkan ke pusat pemulihan. Dia juga beberapa kali ditahan kerana melakukan keganasan domestik kepada teman wanita dan dua bekas isterinya.
Kedua-dua bekas isterinya yang juga pelakon iaitu Denise Richards dan Brooke Mueller telah memohon arahan sekatan terhadap Charlie Sheen atas tujuan keselamatan. Malah, dia turut mengaku dijangkiti HIV positif dalam satu temubual ekslusif.
Charlie yang merupakan pelakon utama sitkom "Two and a Half Men" dipecat daripada rancangan itu kerana membuat kenyataan negatif terhadap pencipta siri itu. Tabiat Charlie membuatkan ramai yang tidak berani untuk mengambilnya sebagai pelakon.
6. Brendan Fraser
Pada tahun 90-an dan awal 2000, Brendan Fraser merupakan bintang besar di Hollywood. Namanya melonjak naik melalui filem popular seperti "George of The Jungle" dan "The Mummy". Namun, kariernya yang berada di kemuncak tiba-tiba menjunam jatuh.
Menurut pelakon itu, dia telah disenarai hitam oleh Hollywood berikutan kejadian yang berlaku pada tahun 2003. Fraser mendakwa dia yang ketika itu berada di Beverly Hills Hotel telah diserang secara seksual oleh bekas presiden Persatuan Akhbar Luar Hollywood, Phillip Berk.
Fraser mendakwa Phillip meraba-raba tubuhnya ketika mereka bersalaman tetapi bekas presiden itu menafikannya. Fraser yang turut mengalami krisis peribadi ketika itu cuba untuk berundur seketika daripada populariti.
Semenjak itu, dia sangat jarang mendapat tawaran berlakon. Fraser percaya kejadian itu ada kaitannya dengan pengaruh Phillip Berk dalam dunia perfileman Hollywood.