Teknik pemasaran yang berkesan seringkali menjadi kunci kejayaan sesuatu produk. Tidak kira berapa bagusnya produk anda sekiranya ianya tidak dipromosikan dengan betul, mungkin tiada siapa yang akan menyedari kewujudannya.

Dalam pasaran yang penuh dengan persaingan, teknik pemasaran yang bagus membolehkan produk anda lebih menonjol daripada produk pesaing. Dalam sejarah, kita dapat lihat beberapa kempen pengiklanan berpengaruh yang bukan sahaja berkesan, tetapi membuatkan orang ramai mengingatinya sampai bila-bila.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, kami ingin berkonngsi 6 iklan paling berpengaruh di dunia yang pernah dihasilkan oleh syarikat-syarikat ternama.

1. I Want You

i want you

Imej diatas yang disertakan dengan ayat "I Want You" masih popular sehingga kini dan kerap dijadikan sebagai meme. Berbanding dengan kempen-kempen pemasaran popular lain dalam senarai ini, kempen "I Want You" ini bukanlah bertujuan untuk memasarkan sesuatu produk, sebaliknya merekrut askar ketika Perang Dunia 1 dan 2 dahulu.

Benar, satu ketika dahulu Amerika Syarikat telah melancarkan kempen besar-besaran untuk merekrut anak muda bagi menyertai pasukan askar negara tersebut. Kempen ini menggunakan gambar seorang lelaki dengan topi tinggi, kening lebat dan menunjukkan jari kepada para pembaca dengan ayat "I Want You".

Sesetengah pihak mengatakan bahawa lelaki tersebut adalah "Uncle Sam", nama yang turut merujuk kepada negara Amerika Syarikat. Walaupun kesan daripada kempen rekrut ini menyaksikan Amerika Syarikat telah menyebabkan ramai manusia terbunuh, tidak boleh dinafikan bahawa kempen ini sangat efektif.

2. Share A Coke

share a coke

Kempen "Share a Coke" pertama kali dilancarkan di Australia pada tahun 2011 sebelum berkembang ke beberapa buah negara termasuklah Malaysia. Pada dasarnya ia melibatkan perubahan rekabentuk tradisional tin minuman Coca-Cola dengan menyertakan tulisan yang berbunyi "Share a Coke with..." yang disertai dengan seseorang individu.

Kempen ini diterima dengan baik sehingga akhirnya ditiru di negara lain di seluruh dunia dengan sedikit perubahan unik mereka sendiri seperti papan iklan interaktif di Israel atau pilhan untuk mencetak nama sendiri seperti di China dan Malaysia.

Ada sesiapa yang masih menyimpan tin minuman Coca-Cola yang dicetak dengan nama anda sendiri?

3. Just Do It

kempen pemasaran nike

Ayat "Just Do It" seolah-olah merupakan satu ayat berbentuk kata-kata motivasi. Namun, ramai orang tahu bahawa ianya merupakan slogan yang sinonim dengan jenama suka Nike. Kempen "Just Do It" diperkenalkan oleh Nike untuk memperluaskan lagi skop jenama mereka yang pada awalnya lebih berkait rapat untuk sukan marathon.

Kempen "Just Do It" merupakan usaha Nike pada penghujung tahun 80 untuk menyayingi jenama Reebok yang menawarkan peralatan sukan untuk pelbagai jenis sukan. Kempen ini juga merupakan usaha untuk mengajak rakyat tempatan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan memberi insprasi kepada orang ramai untuk berusaha sedaya upaya melebihi kemampuan mereka.

Kempen ini yang turut diperkuatkan dengan kerjasama bintang sukan terkenal Michael Jordan dianggap antara kempen jenama sukan paling terkenal di dunia dan ayat "Just Do It" ini terus melekat di kalangan peminat sukan sehingga ke hari ini.

Impak daripada kempen ini dapat dilihat daripada jumlah kutipan jualan produk Nike yang terus melonjak naik. Pada tahun 1988, pendapatan Nike adalah sekitar $800 juta dan menjelang 1998, jumlah kutipan jualan mereka mencececah $9.2 bilion. Walau apa pun yang anda lakukan, ingat "Just Do It"!.

4. We Can Do It!

we can do it

Gambar poster di atas kerap dilihat sebagai meme pada masa kini, terutamanya bagi mereka yang memperjuangkan gerakan feminisma. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu gambar wanita yang digambarkan kuat dan berotot itu merupakan poster yang dihasilkan oleh syarikat Westinghouse Electric.

Westinghouse Electric merupakan syarikat yang menghasilkan helmet keselamatan untuk kegunaan tentera di medan perang. Poster ini dihasilka untuk menaikkan moral dan semangat pekerja wanita dan menggambarkan usaha mereka ini juga akan membantu pejuang dan askar-askar Amerika Syarikat untuk menang di Perang Dunia Kedua.

Namun, hanyalah menjelang 1970-an dan 1980-an imej ini tiba-tiba popular dalam kalangan gerakan feminisma sebagai simbol pemerkasaan wanita . Sejak itu, imej ini digunakan oleh semua orang dari jenama Clorox hingga Beyoncé untuk menyampaikan idea bahawa wanita adalah orang yang kuat dan bebas yang mampu berdikari dan berjaya dengan usaha mereka sendiri. 

5. Marlboro Man

iklan rokok marlboro

Bermula dengan iklan seawal tahun 1955, Marlboro Man dengan cepat dikenali sebagai ikon budaya lebih daripada tujuan utamanya sebagai duta atau jurucakap bagi jenama rokok Marlboro. Watak ini menggambarkan seorang lelaki maskulin dan popular di seluruh dunia.

Sebelum kempen yang mengetengahkah watak "Marlboro Man" ini diperkenalkan, rokok yang dijual dalam kotak rokok ini biasanya lebih sinonim dengan wanita. Malah, sebelum Marlboro Man diperkenalkan, syarikat ini juga pernah mengguna slogan “Mild as May” yang fokus pemasarannya lebih kepada kaum wanita.

Watak Marlboro Man dicipta untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa lelaki sejati juga menghisap rokok Marlboro. Marlboro Man adalah seorang koboi yang hidup bebas. Itu adalah gaya hidup yang diinginkan lelaki pada waktu itu dan kempen ini mengakibatkan penjualan jualan rokok Marlboro telah melambung tinggi.

Menjelang tahun 1972, Marlboro adalah jenama tembakau terlaris di dunia dan Marlboro Man terkenal di seluruh dunia. Walau sesetengah negara sudahpun mengharamkan iklan rokok tembakau di siaran arus perdana, watak Marlboro Man masih kekal dalam minda orang ramai.

6. Volkswagen Beetle – Think Small

iklan kreatif volkswagen

Iklan ini dianggap antara iklan cetak terbaik sepanjang masa dan salah satu yang paling berjaya sebelum populariti televisyen meletup. Kempen iklan ini berjaya mengubah persepsi orang Amerika mengenai kereta. Sebelum kempen ini, orang Amerika bukan sahaja gemar membeli kereta besar dan berkuasa besar sebagai simbol status, tetapi juga sangat gemar membeli kereta keluaran Jerman,

Pada tahun 1959, Volkswagen cuba melawan arus dan mengubah persepsi ini melalui kempen "Think Small". Iklan ini berksar sekitar bentuk dan ukuran Beetle, yang jauh berbeza dengan kereta lain yang dihasilkan pada masa itu. Gambar kereta tersebut tidak diletakkan di tengah-tengah poster, sebaliknya diletakkan pada bahagian tepi dengan saiz yang kecil.

Tujuan poster ini adalah untuk memfokuskan kepada rekabentuk kereta ini yang minimalis. Kempen ini berjaya menarik perhatian sebahagian rakyat Amerika Syarikat pada ketika itu dan berjaya mengubah persepsi rakyat tempatan di sana bahawa kereta yang bersaiz kecil tetap memberikan keselesaan dan  mempunyai fungsi yang memuaskan.

Kredit:

  1. TIME
  2. Business Insider
  3. World Atlas



Hakcipta iluminasi.com (2017)