Gambar seqodar hiasan

Mencari pekerjaan memang adalah satu ujian yang cukup mencabar, khususnya bagi mereka yang membawa 1001 harapan terdesak mahu mendapatkan sumber pendapatan.

Bagaimanapun ada juga banyak kisah di kalangan mereka yang telah berjaya mendapatkan kerja, mendapati jawatan yang telah berjaya mereka isi sebenarnya indah khabar dari rupa - jauh berbeza dengan tawaran dalam iklan asalnya. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebab itulah semua pencari kerja perlu sedar, langkah pertama anda dalam mendapatkan pekerjaan yang baik sebenarnya bermula dari penilaian kita terhadap iklan yang menawarkan jawatan tersebut.

Berikut adalah 6 petunjuk buruk yang biasanya mampu menjadi amaran awal kepada kita tentang kualiti sesebuah syarikat dan majikannya.

1. Tiada julat gaji dinyatakan

julat gaji tidak dinyatakan

Jika anda buka kebanyakan iklan jawatan kosong, bukan semua tawaran yang ada menyatakan berapakah julat gaji yang mampu mereka tawarkan. 

Ada sebab kenapa situasi ini sengaja dilakukan. Syarikat-syarikat sebegini biasanya sudah mempunyai tetapan berapa maksima gaji yang mampu mereka beri, namun membiarkan calon yang hadir sendiri memutuskan berapa gaji bulanan yang diperlukan.

Dengan harapan agar angka yang ditentukan calon jauh lebih rendah berbanding apa yang mereka letakkan sebagai standard.

Jangan buang masa untuk pergi sesi temuduga sebegini kerana anda akan berdepan bermacam kemungkinan disebabkan ketidaktahuan anda. Anda akan cenderung untuk merendahkan permintaan gaji anda, kerana anda berharap nak dapat kerja. Situasi kedua, anda juga ada kemungkinan mahu gaji lebih besar tetapi hanya tahu tentang gaji sebenar itu semasa temuduga anda.

Buat apa kita perlu buang masa hadiri temuduga, kalau gaji yang mampu ditawarkan tidak seiring dengan kehendak kita?

2. Perlukan pengalaman dalam hal yang pelbagai

tugas terlalu banyak

Sebagai pekerja, anda pasti sudah biasa berhadapan situasi di mana majikan meminta anda melakukan sesuatu yang bukan dalam bidang kemahiran anda. Situasi ini dapat kita hidu lebih awal dalam iklan jawatan kosong yang dikeluarkan.

Lihat senarai kemahiran yang disenaraikan syarikat itu dan persoalkan, adakah kemahiran-kemahiran yang diperlukan itu ada terkeluar daripada bidang tugas hakiki jawatan itu? Sebagai contoh, seorang pereka grafik diwartakan perlu juga mahir pengaturcaraan. 

Dua bidang yang kami nyatakan itu, adalah dua skop kerja dan tanggungjawab yang sangat jauh berbeza antara satu sama lain, namun kerap kami lihat disatukan dalam iklan kerja. 

Apabila sebuah syarikat tidak memahami apakah skop sebenar sesuatu tugasan yang mereka sendiri perlukan, ada dua punca utama kenapa ianya berlaku. Satu, mereka memang tak tahu yang mungkin akan menyusahkan anda di kemudian hari. Dua, mereka mahu menggajikan satu orang untuk melakukan kerja dua orang.

3. Kurang penjelasan tentang jawatan yang dibuka

syarikat dirahsiakan

Satu lagi amaran awal yang boleh kita lihat sebagai pencari kerja, adalah berkenaan iklan-iklan yang jelas dibuat secara sambil lewa. 

Contohnya : Iluminasi mencari editor, gaji RM1500 waktu kerja fleksibel. Mohon sekarang di carikerja@iluminasi.com. Kita gunakan ini sebagai contoh ya!

Dalam iklan di atas - tidak dinyatakan editor apa? Editor tulisan, editor video, editor gambar? Waktu kerja fleksibel itu maksudnya Sabtu dan Ahad pun ada kemungkinan kena kerja? Gaji RM1500 itu gaji yang ditetapkan sebagai gaji siling atau gaji permulaan? 

Apa kelayakan yang diperlukan? Bagaimana pula dengan lokasi kerja? Kadang-kadang syarikat yang mencari pun sengaja dirahsiakan.

Jika sesebuah iklan jawatan kosong itu hanya menyebabkan anda punya lebih banyak persoalan berbanding faham apa yang diperlukan majikan, secara tak langsung itu dah menggambarkan kepada anda bagaimana suasana kerja anda nanti....jika anda berani mencuba nasib.

Sebuah iklan jawatan kosong perlu mempunyai format yang baik, lengkap serta dapat membantu bakal calon faham sama ada mereka layak atau tidak untuk cuba mengisi jawatan itu tanpa perlu bertanya.

4. Menawarkan peluang mengurus tanpa lantikan pengurus

kerja kosong mengarut

Satu petunjuk yang sukar dilihat tetapi sering diamalkan majikan dalam iklan pekerjaan yang mereka tawarkan - adalah menjual potensi kepada anda.

Ayat-ayat seperti 'Kami mencari seseorang yang mempunyai kemahiran untuk mengurus sesebuah projek' adalah ayat yang sering terpapar dalam iklan. Tidak mengapa, jika iklan itu benar-benar untuk jawatan pengurusan. 

Namun ada juga majikan dengan sengaja meletakkan kelayakan tersebut sebagai keperluan dalam jawatan-jawatan bukan pengurusan.

Secara tak langsung, ini akan mengakibatkan pekerja yang tidak sepatutnya dibebankan dengan kerja pengurusan, 'boleh' dibebankan dengan kerja pengurusan  walaupun jawatannya tidak mencakupi skop kerja sedemikian.

Lebih licik, ada sesetengah majikan menyatakan dalam iklan 'kami mencari seseorang yang mahu cabaran mengurus dan mengetuai sebuah pasukan' - tetapi jawatan yang ditawarkan bukan jawatan pentadbiran hanya menawarkan cabaran/potensi/pengalaman baru sebagai ganjaran, berbanding peluang kenaikan jawatan dan pendapatan.

5. 'Kemasukan segera'

perlu kemasukan segera gaji tak bayar

Jika anda lihat istilah 'untuk kemasukan segera' dalam mana-mana iklan kerja, pastikan anda berhati-hati apabila melakukan permohonan. 

Ayat itu menandakan syarikat atau majikan tersebyt sebenarnya telah kehilangan pekerja dalam tempoh yang sangat singkat, sehingga mengakibatkan mereka tidak bersedia untuk menggantikan pekerja yang hilang.

Besar kemungkinan berlaku isu atau masalah yang terselindung di antara hubungan bekas pekerja dan majikan, yang kini terdesak mahu mendapatkan pekerja baru.

Kita tahu proses pemberhentian seorang pekerja baik disebabkan oleh pilihan majikan atau pilihan pekerja, akan mengambil masa sepanjang notis pemberhentian berlangsung. 

Sebuah syarikat yang baik akan menggunakan tempoh tersebut bagi mempersiapkan calon pekerja baru, bagi menggantikan pekerja yang diberhentikan atau berhenti dengan cara yang teratur. 

6. Konsisten mengeluarkan iklan jawatan kosong

iklan konsisten jawatan kosong diterbitkan

Bagi pencari kerja yang dah biasa menelaah iklan-iklan jawatan kosong sama ada di suratkhabar ataupun internet, pasti anda akan perasan wujud beberapa buah syarikat yang setiap bulan mengeluarkan iklan jawatan kosong. 

Anda rasa kenapa? Adakah kerana jawatan-jawatan yang perlu diisi, masih belum diisi? Atau syarikat itu berjaya memperkembangkan perniagaan mereka dengan sangat cepat, membuka peluang jawatan baru kepada calon berkelayakan? 

Bukan. Sekiranya anda mendapati ada syarikat tak kiralah yang besar atau kecil, secara konsisten mengeluarkan iklan jawatan kosong setiap bulan mencari pekerja dalam pelbagai jenis jawatan, itu petanda pekerja di sana kerap melarikan diri atas bermacam jenis sebab yang seeloknya kita tak nak tahu.

Nak tahu? Cubalah mohon iklan-iklan sebegini. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)