panda minum susu

Tidak dapat dinafikan panda merupakan antara haiwan paling comel yang wujud di muka bumi ini, berikutan bentuk badannya yang gempal serta perangainya yang mempunyai identiti dan keletah yang unik.

Kita semua tahu sejak tahun 2014, kerajaan Malaysia telah pun membawa masuk dua ekor panda dari China dengan bayaran sebanyak RM4.2 juta setahun sebagai kadar sewa panda tersebut. Kontrak di antara kedua-dua kerajaan akan tamat pada tahun 2024, namun desas-desus mengatakan kerajaan Malaysia yang kini sudah bertukar tangan berhasrat untuk memulangkan semula dua ekor panda tersebut lebih awal.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad pada Januari 2019 menafikan kenyataan itu, dengan menyatakan dua panda itu adalah hadiah daripada China yang membawa simbol hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua buah negara. Persoalannya di sini, mengapa kerajaan kita sanggup mengeluarkan belanja yang agak besar bagi membawa masuk dua haiwan itu ke dalam negara kita?

Kos sebenar menjaga panda

panda sangkut di pokok

Tidak dapat dinafikan kos penjagaan kedua-dua panda itu di negara kita sangat tinggi. Setiap tahun kerajaan perlu membelanjakan hampir RM4.65 juta sebagai bajet pengurusan Pusat Pemeliharaan Panda yang terletak di Zoo Negara. Angka ini pula dijangka akan meningkat kepada RM7.38 juta bagi tahun 2019.

Selain daripada bayaran 'sewa' panda itu sebanyak RM4.2 juta setahun, setiap beruang panda yang dijaga perlu turut sama dilindungi perlindungan insurans bernilai RM50,000 setahun. Dua ekor panda bernama Xing Xing dan Liang Liang itu pula berjaya mendapatkan zuriat mereka yang pertama, menyebabkan kerajaan kita perlu menambah peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi membolehkan anak panda itu dijaga di sini selama dua tahun.

Tinggi kan kos menjaga dan menyelia panda yang ada? Sebab utama kenapa panda ini dihadiahkan kepada negara kita, sempena meraikan ulang tahun ke 40 hubungan diplomatik Malaysia dan China yang berlangsung pada 21 Mei 2014.

Namun demikian ini bukanlah kali pertama China melakukan tindakan serupa dalam membantu hubungan diplomatik mereka.

Sejarah diplomasi panda

panda hadiah kerajaan china

Tradisi menghadiahkan panda sebagai satu simbol diplomasi sebenarnya sudah bermula di China sejak abad ke tujuh lagi. Tradisi ini dimulakan oleh Maharani Wu Zetian yang mengirimkan dua ekor panda kepada Maharaja Jepun sebagai tanda persahabatan kedua-dua negara.

Walaupun sudah bertapak ratusan tahun lamanya, tradisi ini hanya dimulakan semula sekitar tahun 1950-an oleh kerajaan China yang ketika itu diketuai oleh pemimpin legenda mereka, Mao Zedong atau Chairman Mao. Pada awalnya, kerajaan China menghadiahkan sebuah zoo di Bronx seekor panda atas bantuan kerajaan Amerika Syarikat semasa perang dunia kedua.

Chairman Mao menjadikan amalan ini satu kebiasaan, mula menghantar panda-panda kepada rakan sekutu mereka seperti Korea Utara dan Kesatuan Soviet. 'Diplomasi Panda' yang diamalkan China ini mula meletup pada tahun 1972 selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon ke China membolehkan beliau membawa pulang dua ekor panda kembali, yang dinamakan Ling-Ling dan Hsing-Hsing sebagai tanda kerjasama kedua buah negara.

Berikutan langkah tersebut, kerajaan Britain turut sama menjadikan panda sebagai salah satu permintaan mereka dalam lawatan ke Beijing pada tahun 1974. Perdana Menteri Britain, Edward Heath berjaya berunding dan membawa pulang dua ekor panda bernama Chia-Chia dan Ching-Ching sebagai simbol kejayaan lawatan tersebut, untuk ditempatkan di Zoo London.

Panda sebagai simbol status ekonomi baru China

ilustrasi diplomasi panda

Hadiah panda sebagai simbol kerjasama kerajaan mula berubah hala tuju berikutan pertukaran dasar ekonomi China yang lebih bersifat kapitalis. Bermula pada tahun 1984, kerajaan China memperkenalkan dasar baru untuk menyewakan panda mereka pada mana-mana negara yang ingin menjalinkan hubungan ekonomi - sebagai tanda persetujuan bersama.

Yuran penyewaan sebanyak RM4.2 juta setahun diperkenalkan dan syarat mana-mana anak panda yang lahir semasa tempoh sewaan menjadi hak milik kerajaan China diperkenalkan. Kajian oleh Universiti Oxford mendapati wujud hubungan yang nyata diantara negara-negara yang berjaya mendapatkan panda dengan pembentukan kerjasama ekonomi di antara negara tersebut dengan kerajaan China.

Dapat disimpulkan dalam era ekonomi moden, China sebenarnya menggunakan 'diplomasi panda' bukan hanya sekadar sebagai satu simbol penghargaan hubungan yang wujud, malahan sebagai satu cara untuk mendapatkan gambaran awal kesediaan rakan kerjasama dalam mengekalkan hubungan yang lebih erat serta saling percaya-mempercayai.

Selain daripada negara kita, Indonesia turut sama menawarkan diri menjadi tuan rumah kepada dua ekor panda bernama Cai Tao dan Hu Chun, yang kini dijaga di Taman Safari Bogor sejak tahun 2017. Denmark menjadi negara terbaru yang menerima kunjungan dua ekor panda bernama Xing Er dan Mao Sun, yang baru saja tiba di Zoo Copenhagen pada 10 April 2019.

Walau demikian kedatangan dua ekor panda itu dikritik sesetengah pihak sebagai satu usaha kerajaan China meluaskan pengaruh mereka, agar mereka dapat campur tangan dalam urusan negara lain - dengan bertopengkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)