shigeru miyamoto pereka permainan video berpengaruh

Anda kaki game?

Pernahkah anda memasang impian mahu menceburi karier seorang penggiat industri permainan video? Jika pernah, cabang mana yang anda rasakan sesuai dengan anda? Setiap daripada anda peminat permainan video pasti mempunyai seorang ikon yang menjadi contoh kepada anda. Takkanlah kita main game saja tanpa tahu latar belakang serta sedikit sebanyak sejarah permainan video?

Berikut adalah lima tokoh pereka permainan video yang penulis rasakan, paling meninggalkan impak besar dalam pembentukan teknologi serta rekaan judul-judul permainan video, yang dapat kita lihat sekarang.

1. John Carmack

john carmack pereka permainan video berpengaruh

Terkenal sebagai seorang pengaturcara bertaraf magikal, John Carmack mula terkenal sebagai pereka berikutan kebolehannya mengaturcara mod pertukaran grafik yang sangat efisien, yang dinamakan sebagai 'adaptive tile refresh' - yang pada ketika itu merupakan sesuatu yang belum dibuat orang lain. Kebolehannya itu digunakan dalam pengaturcaraan judul 'Commander Keen', membolehkan komputer memaparkan visual yang cantik dengan perkakasan yang kurang berkuasa.

John kemudiannya memperkenalkan banyak lagi teknik grafik baru yang membuka idea pada pihak lain untuk memperhaluskan lagi grafik. Selepas puas menceburi bidang permainan video, John kini menggunakan kemahirannya dalam bidang realiti maya dan bidang pengembaraan angkasa, dengan menyertai projek penciptaan roket. Pada tahun 2007, John mencatat sejarah menjadi penggiat industri permainan video pertama dianugerahkan anugerah Academy berikutan beliau dan pasukannya, dalam kemajuan teknologi grafik dan visual.

Perlu cuba - mana-mana kaki game sejak dahulu pasti pernah merasai kelancaran permainan Quake 3, yang menjadi kegilaan ramai. Jadi cubalah siri Quake. Nak cadangkan Doom, penulis pun takut nak main siri tersebut. Realistik sangat raksasanya.

2. Sid Meier

sid meier pereka permainan video berpengaruh

Terkenal sebagai legenda permainan video simulasi, nama Sid Meier kerap menjadi tajuk kepada bermacam jenis perisian. Sid lahir pada tahun 1954, menubuhkan syarikat penerbitan MicroProse pada tahun 1982. Pada awalnya, Sid memulakan karier sebagai seorang pengaturcara, mereka bentuk sistem bagi memudahkan urusan perkiraan urusniaga pasaraya.

Pada tahun 1981, Sid menyedari pengetahuannya tentang pengaturcaraan mampu diterapkan dalam rekaan permainan video, jadi dia mula belajar mengaturcara untuk konsol Atari 800. MicroProse ditubuhkan lalu menerbitkan beberapa judul perisian sebelum siri Sid Meier's Pirates yang terbit pada tahun 1987, menjadi judul pertama membawa namanya secara rasmi. Terkenal dengan bermacam jenis simulasi yang membawa namanya, Sid masih aktif hingga kini.

Perlu cuba - siri Sid Meier's Civilizations. Banyak anda boleh belajar tentang politik antarabangsa daripada permainan simulasi ini.

3. Hideo Kojima

hideo kojima pereka permainan video berpengaruh

Dalam semua pereka yang disenaraikan di sini, Hideo adalah yang paling eksentrik. Mempunyai perwatakan sendiri serta gemar menggabungkan elemen filem dan sinematografi ke dalam rekaannya, permainan video yang diarahkan oleh Hideo berjaya menggabungkan elemen-elemen simulasi dan visual ala barat, serta rekaan watak dan humor ala Jepun yang sangat unik.

Sangat terkenal dengan siri Metal Gear rekaan beliau, kontroversi yang melanda di antara beliau dan syarikatnya Konami memaksa Hideo bergerak membuka studio sendiri. Hideo tidak terkenal dengan kemahiran teknikal seperti pereka lain, tetapi dia diakui mampu menggambarkan dunia ilusi yang unik serta sarat dengan elemen yang dibangunkan dengan teliti.

Perlu cuba - walaupun sudah banyak versi di keluarkan, Metal Gear Solid - Snake Eater tetap bertakhta dihati penulis sebagai hasil kerjaya terbaik visi fantasi Hideo Kojima.

4. Chris Avellone

chris avellone pereka permainan video berpengaruh

Namanya tidak segah nama-nama lain, berikutan profilnya yang agak kurang publisiti. Bagaimanapun Chris Avellone adalah pereka kepada banyak permainan video berunsurkan pengembaraan yang menjadi acuan kepada pelbagai bentuk perisian video moden. Lahir pada tahun 1972, Chris meminati dunia Dungeons and Dragons sejak awal, membentuk imaginasinya berasaskan kepada dunia fantasi tersebut.

Hasil pengaruh tersebut terpapar jelas dalam kariernya, di mana sentuhan tangannya kerap membawa elemen-elemen fantasi bercorak zaman 'medieval'. Mula terkenal berikutan rekaannya dalam permainan 'Fallout 2', Chris terus terlibat dengan beberapa siri lejen seperti Star Wars - Knight of the Old Republic, Neverwinter Knights, Fallout, Divinity dan banyak lagi. Kerjanya paling terkenal adalah 'Planescape : Torment' yang sehingga kini dinobatkan antara permainan video terbaik sepanjang zaman.

Perlu cuba - Sekiranya anda tidak gemar membaca teks, Star Wars - Knight of the Old Republic adalah pengenalan yang terbaik. Jika anda suka membaca, dapatkan 'Planescape : Torment' sekarang.

5. Shigeru Miyamoto

pereka permainan video berpengaruh

Nama paling besar dalam industri permainan video, Shigeru Miyamoto adalah individu yang bertanggungjawab menjadikan industri permainan video seperti apa yang dapat kita lihat sekarang. Shigeru adalah individu yang mereka bentuk watak ikonik 'Mario' yang menjadi wajah rasmi permainan video di seluruh dunia.

Memulakan karier sebagai seorang artis visual pertama untuk Nintendo ketika Nintendo baru mencuba membina konsol permainan video, rekaannya dalam siri Donkey Kong memberikan impak paling besar dalam kariernya kerana menawarkan corak permainan yang belum ada ketika itu. Selepas Nintendo berjaya mengeluarkan konsol pertama mereka, Shigeru mengeluarkan dua judul berstatus legenda yang terus kekal relevan sehingga kini - Super Mario Bros dan Legend of Zelda.

Banyak pihak bersetuju Shigeru Miyamoto adalah individu paling besar dalam industri permainan video sehingga kini. Beliau kekal aktif bertindak sebagai penerbit dan sekali-sekala tetap membantu membangunkan watak-watak baru untuk digunakan.

Perlu cuba - Kebanyakan judul yang dibangunkan beliau mempunyai satu persamaan yang tak ada pada pereka-pereka lain; sesuai dimainkan oleh semua lapisan masyarakat tak kiralah judul mana sekalipun. Keistimewaan itu pada penulis, belum mampu ditandingi mana-mana pihak.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)