Sekiranya anda melihat senarai filem paling menguntungkan, anda akan dapati kebanyakan filem blockbusters ini menelan belanja yang besar. Filem-filem ini biasanya menelan belanja sekitar RM 500-800 juta atau lebih dan mampu membuat keuntungan sehingga melebihi RM 4 billion.

Walaupun menguntungkan, ia juga merupakan satu risiko besar yang terpaksa diambil syarikat penerbitan filem. Jika filem mereka gagal mendapat sambutan, mereka akan mengalami kerugian besar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Disebabkan itu, banyak syarikat penerbitan filem akan cuba menghasilkan filem dengan bajet rendah tetapi mampu meraih keuntungan besar. Banyak faktor yang menyumbang kepada populariti sesebuah filem seperti strategi tayangan, pemasaran yang inovatif, mendapatkan ulasan pakar dan banyak lagi. Berikut adalah beberapa filem bajet rendah yang berjaya mendapat kutipan melebihi RM 1 billion. 

6. The Conjuring (2013)

the conjuring

Peruntukan : RM 83 juta

Keuntungan: RM 1,324 juta

The Conjuring adalah sebuah filem seram Amerika yang dihasilkan penerbit kelahiran Malaysia, James Wan. Ia mengisahkan mengenai pasangan Ed dan Lorraine Warren yang merupakan penyiasat paranormal dan sering menangani kes-kes gangguan makhluk halus.

Filem The Conjuring yang pertama ini mengisahkan pasangan ini membantu keluarga Perron yang mengalami gangguan mistik di rumah ladang mereka di Rhode Island pada tahun 1971.

Filem susulan The Conjuring 2 yang dihasilkan pada 2016 menelan belanja dua kali ganda berbanding filem pertama dan mengutip hasil sebanyak RM 1,330 juta

5. Split (2016)

split

Peruntukan : RM 37.35 juta

Keuntungan: RM 1,156 juta

Filem thriller arahan M. Night Shyamalan yang dibintangi oleh James McAvoy ini berjaya menjadi filem box office di tempat pertama selama tiga minggu terawal ditayangkan.

Filem ini menampilkan McAvoy sebagai seorang lelaki dengan masalah pelbagai personaliti yang telah menculik tiga remaja perempuan. Lakonan berkesan McAvoy membuatkan filem ini mendapat ulasan positif dari pengkritik dan dicalonkan sebagai filem thriller terbaik di Anugerah Saturn.

4. Annabelle (2014)

annabelle 550

Peruntukan : RM 27 juta

Keuntungan: RM 1,108 juta

Tidak seperti filem seram lain yang sering mendapat ulasan negatif, filem Annabelle berjaya membuktikan kehebatannya apabila menjadi filem box office. Tayangan sulung filem ini di seluruh dunia sahaja berjaya mengutip jualan tiket sehingga RM 83 juta.

Bagi filem susulan Annabelle: Creation yang dihasilkan pada 2017, ia menelan belanja sebanyak RM 62 juta. Filem kedua ini juga merupakan kejayaan besar apabila mendapat kutipan sebanyak RM 1,272 juta di seluruh dunia.

3. My Big Fat Greek Wedding (2002)

my big fat greek wedding

Peruntukan : RM 25 juta

Keuntungan: RM 1,531 juta

Filem ini merupakan satu-satunya filem dalam senarai ini yang bukan dalam genre seram dan mempunyai kutipan tertinggi. Filem komedi romantik bajet rendah ini diterbitkan oleh pelakon legenda Tom Hanks.

Apa yang mengagumkan ialah, filem ini ditayangkan selama hampir setahun di pawagam. Walaupun tayangan sulung filem ini tidak begitu mendapat sambutan tetapi ia semakin mendapat sambutan dari minggu demi minggu.

Filem ini berjaya mendapat tempat ke-2 sebagai filem paling popular setelah 20 minggu ditayangkan dan berjaya menjadi top 10 selama 17 minggu. Ini semua berjaya dilakukan dengan bajet pemasaran sebanyak RM 4 juta sahaja. Namun, filem susulannya yang diterbitkan pada 2016 gagal mendapat sambutan hangat.

2. Get Out (2017)

get out

Peruntukan : RM 18.68 juta

Keuntungan: RM 1,058 juta

Jordan Peele merupakan seorang pelawak Amerika yang terkenal. Namun, bakatnya sebagai seorang pengarah terserlah apabila dia menghasilkan filem pertamanya iaitu Get Out. Filem seram arahannya itu menjadi sebuah kejayaan besar dan mendapat ulasan positif dari ramai pengkritik.

Filem itu menggunakan kaedah pemasaran yang inovatif dan berjaya mengutip sebanyak RM 138 juta pada tayangan pembukaannya. Syarikat penerbitan filem itu berjaya membuatkan orang ramai bercakap mengenai filem itu dan mendorong peminat untuk pergi ke pawagam daripada menunggu DVD filem itu diterbitkan.

Filem itu berjaya mendapat empat pencalonan Oscar dan merupakan filem paling menguntungkan pada tahun 2017. Bagi filem kedua arahan Peele iaitu Us (2019), dia menggunakan bajet sebanyak RM 83 juta dan berjaya mendapat kutipan sebanyak RM 1,054 juta.

1. The Blair Witch Project (1999)

the blair witch project

Peruntukan : RM 249,030

Keuntungan: RM 1,032 juta

Filem seram ini adalah pelopor kepada filem kategori "found-footage" di mana filem itu dihasilkan seolah-olah daripada penemuan rakaman yang ditinggalkan. Filem ini bukan sekadar fenomena budaya tetapi ia juga sangat menguntungkan.

Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan pelajar jurusan perfileman sedang menyiasat satu kisah mistik yang diperkatakan penduduk setempat. Seperti filem berjaya yang lain, The Blair Witch Project ini memanfaatkan kaedah pemasaran viral, jadual tayangan yang sesuai dan melancarkannya perlahan-lahan supaya menjadi buah mulut penonton.

Filem kategori found-footage ini merupakan genre baru dan membuatkan penonton terkesan dengan tahap misteri dan keseramannya. Banyak filem lain cuba meniru formula kejayaan The Blair Witch Project tetapi tidak dapat menandingi kehebatan filem ini.

Rujukan:

1. Filem bajet rendah yang menguntungkan

2. Filem murah yang Box Office

3. Filem Block Busters yang hanya menggunakan sedikit belanja




Hakcipta iluminasi.com (2017)