mandel beri ucapan di stadium

Senjata ahli politik adalah ucapannya.

Seorang ahli politik walau secekap dan sepandai mana dia sekalipun, reputasinya pasti lebih tinggi sekiranya dia turut sama mempunyai kebolehan sebagai seorang orator yang baik - mempesonakan pendengar yang ada sambil berupaya menggerakkan masyarakat melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Dalam sejarah dunia sudah banyak ucapan-ucapan pemimpin dunia yang dikatakan menjadi definisi kepada perubahan sistem sosial yang mengubah nasib ramai orang. Berikut adalah lima ucapan yang pernah disampaikan diakui memberikan impak paling besar pada dunia setakat ini.

1. Ucapan "Quit India" Mahatma Gandhi

gandhi beri ucapan quit india merdeka

Mahatma Gandhi terkenal sebagai seorang yang mengamalkan sifat pasif dalam corak politiknya, walaupun dia seorang ahli politik yang disanjung tinggi khasnya di negaranya sendiri. Terkenal sebagai seorang yang anti keganasan serta sangat mementingkan kebenaran.

Semasa zamannya aktif ketika dunia berada dalam keadaan huru-hara berikutan tekanan perang, masyarakat India yang ketika itu diperintah Britain seolah-olah dipaksa menyertai perang melibatkan Britain ketika Perang Dunia kedua. Usaha untuk membebaskan negaranya daripada cengkaman Britain menjadi agenda utama Gandhi, dengan langkah mengadakan bantahan secara aman bagi menuntut kemerdekaan menjadi saranan beliau.

Pada 8 Ogos 1942, Gandhi bangkit menyuarakan pandangannya mengajak masyarakat India bersatu. Kesan daripada ucapan beliau, Kongres India meluluskan cadangan yang dinamakan 'Quit India Resolution' pada hari yang sama namun jalan menuntut kemerdekaan masih panjang. Individu yang terlibat ditangkap dan dihumbankan ke dalam penjara namun ucapan Gandhi telah berjaya menyatukan masyarakat India untuk bangkit. Pada 15 Ogos 1947, India mengisytiharkan kemerdekaan mereka. (rujukan)

2. Ucapan Eleanor Roosevelt di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

eleanor roosevelt pbb ucapan hak kemanusiaan

Sering dibayangi suaminya, Presiden Amerika Syarikat Franklin D.Roosevelt, Eleanor Roosevelt adalah wanita pertama USA selama lebih 12 tahun. Terkenal sebagai seorang yang pendiam tidak menghalang Eleanor menjadi seorang ahli politik dan aktivis hak kemanusiaan yang disegani.

Selepas kematian suaminya, Eleanor dilantik sebagai ketua delegasi USA ke PBB. Ketika inilah usaha beliau yang paling terkenal mula membuahkan hasil. Selepas melihat sendiri kesan perang dunia pada masyarakat, Eleanor bekerja keras bersama pasukannya menyiapkan draf yang kini dikenali sebagai Deklarasi Hak Kemanusiaan sebagai cadangan kepada PBB, dalam membendung keganasan daripada terus berlaku.

Pada 9 Disember 1948, Eleanor menghadiri persidangan PBB di Paris, menggesa semua negara anggota menerima cadangan yang terkandung dalam deklarasi tersebut. Pagi esoknya - PBB meluluskan cadangan beliau yang sehingga kini menjadi teras kepada pembangunan sistem sosial masyarakat seluruh dunia. (rujukan)

3. Nelson Mandela menentang sistem apartheid

nelson mandela rivonia perbicaraan beri ucapan

Membesar dalam sistem yang mengamalkan pengasingan hidup serta pekerjaan berdasarkan warna kulit, Nelson Mandela sedar nasib masyarakatnya tidak akan berubah selagi mana mereka tidak mendapat kebebasan sepenuhnya.Bertindak sebagai pemimpin kepada Kongres Nasional Afrika, Mandela sudah berjuang sekian lama serta pernah ditangkap beberapa kali.

Dalam satu perbicaraan yang kini menjadi legenda masyarakat Afrika Selatan pada 1964 di Rivonia, Nelson Mandela berdiri dihadapan hakim bukan untuk membela diri, tetapi memberikan ucapan panjang selama 3 jam berkenaan pandangan beliau serta hala tuju negara mereka yang lebih baik. Mandela dengan jelas menyebut bencinya beliau dengan sistem apartheid yang diamalkan serta perlu digantikan dengan sistem yang lebih adil pada semua.

Ucapan panjang itu tidak menyelamatkan Mandela daripada dipenjarakan, namun kata-katanya telah menyatukan sebahagian besar orang Afrika Selatan sehingga terhapusnya sistem apartheid di negara mereka. 27 tahun kemudian, Mandela dibebaskan daripada penjara pada tahun 1990 kemudian dilantik sebagai Presiden Afrika Selatan pertama berkulit hitam. Ucapannya yang kini digelarkan sebagai 'ucapan I Am Prepared to Die" kini menjadi inspirasi kepada masalah rasisme yang masih berlaku di seluruh dunia. (rujukan)

4. "Peluru atau undian?" tanya Malcolm X

malcolm x ucapan paling berpengaruh

Salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam gerakan kemanusiaan, Malcolm X yang beragama Islam memberikan ucapan yang terus diingati sehingga kini pada 3 April 1964 di Cory Methodist Church, Cleveland, Ohio. Dalam ucapannya, Malcolm X menggesa agar masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat untuk bangkit menjalankan hak mereka sebagai pengundi dalam sistem sosial yang dikuasai masyarakat kulit putih.

Ucapan yang diberikan itu membuka lembaran baru pada gerakan Malcolm X sendiri, kerana ucapannya itulah yang meletakkan beliau sebagai pemimpin masyarakat yang disegani oleh semua bangsa dan agama, bukan sekadar seorang pemimpin masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Menyelar tindakan kerajaan Amerika Syarikat melakukan segregasi mengasingkan masyarakat kulit hitam, ucapannya didengari lebih 2000 orang memberikan semangat kepada mereka untuk mula memilih pemimpin yang lebih menjaga hak dan kepentingan secara sama raya. Usaha Malcolm X menyedarkan komuniti kulit hitam untuk tidak bergantung harap kepada orang kulit putih membantu memelihara masa depan mereka, menyebabkan masyarakat yang sebangsa dengannya mula menitikberatkan hak mereka sendiri sebagai warganegara negara yang mereka diami. (rujukan)

5. "Saya ada impian," kata Martin Luther King Jr.

martin luther king jr i have a dream

Perkataan 'I have a dream' atau 'saya ada impian' seringkali disebut dalam ucapan-ucapan, tak kiralah dalam mana-mana peringkat sekalipun. Martin Luther King Jr. merupakan seorang paderi yang menjadi ikon kepada gerakan kemanusiaan yang berlaku pada era 50-an dan 60-an.

Terkenal dengan kepetahannya bertutur, Martin mula melibatkan diri sebagai seorang aktivis membela nasib masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat yang pada ketika itu masih diasingkan semasa menaiki bas, tempat duduk restoran dan juga tandas khas yang ada hanya untuk mereka.

Pada 28 Ogos 1963, selepas mengetuai beberapa siri protes terhadap kerajaan bagi mengentikan isu rasisme, Martin berdiri dihadapan 250 ribu orang di Memorial Lincoln menggesa hak sama rata diberikan kepada seluruh masyarakat Amerika Syarikat. Ucapan beliau pada hari tersebut diletakkan sebagai ucapan terbaik pernah diberikan dan impaknya terus diperkatakan sehingga ke hari ini. (rujukan)


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)