Portfolio pertahanan merupakan salah satu jawatan terpenting dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Ini kerana pemegang jawatan tersebut mempunyai kata putus dalam pelbagai perkara yang penting,b menentukan hala tuju keselamatan dan ketenteraman masyarakat negara tersebut.

menteri pertahanan indonesia dan negara asia

Kita sudah mengenali dengan lebih dekat menteri pertahanan kita yang cukup popular iaitu Haji Mohamad  bin Sabu. Beliau terkenal dengan kemahiran berucap, yang sangat menarik perhatian pendengarnya serta mampu membuatkan sesiapa teruja.

Jadi hari ini, mari kita kenali serba sedikit individu-individu lain yang memegang jawatan serupa dalam portfolio pertahanan, di negara-negara jiran yang serantau dengan kita.

1. Jeneral Prawit Wongsuwan (Thailand)

thai defence minister

Jeneral Prawit Wongsuwan lahir pada 11 Ogos 1945.  Ayahnya juga seorang tentera berpangkat Mejar Jeneral bernama Prasert Wongsuwan. Cara hidup badan beruniform agaknya memang mengalir dalam keluarga beliau, kerana adik-adiknya juga menyertai beberapa pasukan lain seperti tentera laut dan pasukan polis sehingga mencapai pangkat yang boleh tahan juga tingginya.

Prawit sendiri mempunyai pengalaman luas dalam bidang ketenteraan dengan memasuki akademi maktab tentera, sebelum menamatkan kursus ketenteraan dan diserap masuk pada tahun 1978. Prawit dinaikkan pangkat sebagai komander divisyen sebelum menyambung pendidikan yang melayakkan dia memegang pangkat komander penuh.

Beliau terlibat dalam rampasan kuasa pada tahun 2006, selepas pasukan tentera Thailand bertindak mengambil alih kerajaan daripada kawalan Thaksin Shinawatra. Prawit juga menjadi antara watak penting semasa pengisytiharan darurat di Thailand pada tahun 2010. Beliau dilantik sebagai menteri pertahanan sejak tahun 2014 serta turut sama memegang jawatan timbalan perdana menteri ketika ini.

2. Dr. Ng Eng Hen (Singapura)

dr ng eng hen

Seorang doktor pembedahan otak bertauliah, Dr. Ng Eng Hen lahir pada tahun 1958 dan mengambil jurusan perubatan semasa zaman pendidikannya. Pada tahun 1987, beliau menamatkan pendidikan dalam bidang sarjana yang menjadikan beliau bergelar pakar dalam pembedahan serta dilantik sebagai salah seorang felo di Royal College of Surgeons, Edinburgh.

Pada tahun 2001, selepas berkecimpung dalam bidang perubatan selama hampir 20 tahun, Dr. Ng mengambil keputusan bertanding dalam pilihanraya dan terpilih sebagai ahli parlimen. Tahun berikutnya, beliau dilantik memegang jawatan menteri bagi portfolio pendidikan dan sumber manusia.

Walaupun beliau sendiri tidak pernah berkhidmat dalam bidang ketenteraan, pengalamannya dalam bidang perubatan banyak diterapkan dalam membantu meningkatkan kualiti kesihatan anggota tentera serta pelatih khidmat negara mereka. Beliau mula dilantik dalam portfolio pertahanan sebagai menteri kedua pada tahun 2008, sebelum mengambil alih sepenuhnya portfolio itu sejak tahun 2011 sehingga kini.

3. Jeneral Ryamizard Ryacudu (Indonesia)

ryamizard ryacudu

Tengok nama pun dah menggerunkan, bukan? Jeneral Ryamizard adalah menteri pertahanan Indonesia ketika ini dan mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 2104, di dalam barisan kabinet kendalian Presiden Joko Widodo atas permintaan Presiden sendiri.

Ayah beliau, Mejar Jeneral Musannif Ryacudu adalah seorang lejen di kalangan masyarakat Indoensia ,berkhidmat semasa zaman kebangkitan Presiden Soekarno. Jeneral Ryamizard sendiri tak kurang hebatnya, memulakan pendidikan dalam sekolah tertera sebelum habis belajar pada usia 24 tahun dengan memegang pangkat sebagai leftenan.

Selepas bersara pada tahun 2004, anak kepada presiden Soekarno iaitu Presiden Megawati pernah mencalonkan Ryamizard sebagai menteri pertahanan, namun selepas peralihan kuasa berlaku - tidak ada sebarang lantikan berjaya dilakukan.

Ryamizard terkenal sebagai seorang yang sangat nasionalis serta meletakkan kepentingan negara melebihi diri sendiri, turut sama giat menulis pandangannya dalam beberapa buah buku yang membincangkan tentang hubungkait negara Indonesia dan bidang ketenteraan.

4. Jeneral Awang Halbi Mohd Yussof (Brunei)

menteri pertahanan brunei

Dalam sistem pemerintahan Brunei, Sultan Brunei iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan memegang jawatan menteri pertahanan pertama, jadi diwujudkan jawatan menteri pertahanan kedua bagi menyokong tugasan yang besar ini. Ketika ini, jawatan menteri pertahanan kedua Brunei dipegang oleh Jeneral Awang Halbi Mohd Yussof, seorang jeneral bersara yang baru saja dilantik ke portfolio tersebut sejak Januari 2018.

Sebelum menjawat jawatan tersebut, beliau pernah juga menjadi pegawai kedutaan tinggi Brunei yang ditempatkan di Malaysia pada tahun 2010. Pengalamannya dalam bidang ketenteraan sangat panjang, bermula pada tahun 1977 selepas menamatkan pengajian bidang tentera dari Royal Military Academy Snadhurst di United Kingdom.

Dia mula berkhidmat dalam bidang ketenteraan secara rasmi sejak itu, memikul banyak tanggungjawab besar melibatkan penguatkuasaan di sekitar Asia Tenggara sebelum bersara pada tahun 2009. Atas baktinya, beliau dianugerahkan dengan pelbagai penghormatan daripada Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina, Pakitstan, Thailand dan juga Jordan.

5. Mejar Jeneral Delfin Lorenzana (Filipina)

setiausaha pertahanan filipina

Setiausaha pertahanan Filipina, Mejar Jeneral Bersara Delfin Lorenzana mula dilantik ke jawatan tersebut pada tahun 2016, di bawah kabinet Presiden Rodrigo Duterte. Lahir pada tahun 1948, Mejar Delfin memulakan pendidikan di Akademi Tentera Filipina pada tahun 1973, seterusnya diserap masuk ke dalam tentera pada pangkat Leftenan kedua.

Beliau mengepalai pelbagai operasi dan unit tentera, serta menjadi antara watak penting dalam membangunkan kerjasama ketenteraan di antara tentera Filipina dan Amerika Syarikat. Tugasan terakhir beliau sebagai tentera berakhir di Washington DC, Amerika Syarikat selepas dia ditempatkan di situ sebagai pegawai pemerhati dan seterusnya bersara daripada perkhidmatan pada tahun 2004.

Beliau menyambung tugasannya dalam bidang diplomatik, bertugas di kedutaan Filipina di Amerika Syarikat sehinggalah kembali ke tanahair memegang jawatan sekarang. Salah satu tugasan terawal yang dihadapinya sebagai setiausaha pertahanan Filipina, adalah pengisytiharan undang-undang tentera di wilayah Mindanao pada tahun 2017, selepas berlaku konflik besar di antara pejuang kebebasan ISIL Mindanao dengan tentera Filipina.


tags :, , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)