Oleh pada 07 Jul 2018 kategori

Sekiranya semuanya berjalan seperti yang dikhabarkan, negara kita bakal mempunyai Perdana Menteri ke 8 yang ada padanya sejarah unik pernah dipenjarakan. Tidak ramai pemimpin dunia mampu mendabik dada mengatakan mereka pernah merasai sendiri pengalaman dipenjarakan dalam satu tempoh yang panjang.

Liku perjalanan yang panjang perlu dilalui pemimpin-pemimpin ini menjadi catatan sejarah yang sangat menarik untuk dibincangkan, dengan beberapa orang individu berjaya naik menjawat pemimpin tertinggi negara mereka selepas mengharungi pengalaman dipenjarakan daripada kehidupan normal.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima orang pemimpin dunia pilihan kami yang telah melalui zaman penjara, sebelum berjaya naik mengetuai negara masing-masing dalam jawatan tertinggi.

1. Michelle Bachelet

michelle bachelet pemimpin dipenjarakan

Michelle Bachelet merupakan pemegang jawatan Presiden negara Chile dalam dua penggal - pada tahun 2006 hingga 2010 serta 2014 hingga 2018. Beliau menjadi individu pertama berjaya menjawat jawatan Presiden Chile untuk dua penggal.

Ayahnya, Jeneral Alberto Bachelet Martinez didakwa melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Chile di bawah pimpinan diktator Jeneral Augusto Pinochet, dipenjarakan dan diseksa sehingga menyebabkan kematiannya pada tahun 1974.

Setahun berikutnya, Bachelet dan ibunya ditangkap dan diseksa pada awal bulan Januari 1975, ekoran hubungan mereka dengan mendiang ayahnya. Beliau dan ibunya merasai pengalaman ditutup mata untuk dibawa ke sebuah pusat tahanan. Setibanya di sana, mereka diasingkan.

Diseksa dengan cara psikologi semasa siasatan, Bachelet dipindahkan ke pusat tahanan Cuatro Alamos . Nasibnya baik berjaya diselamatkan dengan bantuan ahli diplomat Argentina di Chile bernama Roberto Kozak. Michelle sempat melarikan diri ke Australia, sebelum mendapat perlindungan kerajaan Jerman Timur. Beliau akhirnya mendapat kebenaran untuk kembali ke Chile pada tahun 1978. (rujukan)

2. Vaclav Havel

vaclav havel pemimpin dipenjarakan

Mula terkenal sebagai seorang penulis skrip teater, Vaclav Havel bertindak menyertai pemberontakan yang digelarkan Prague Spring pada tahun 1968, dalam usaha membebaskan negara mereka Czechoslovakia daripada terus didominasi Kesatuan Soviet. Disenarai hitamkan kerajaan ekoran penglibatannya itu, kerjaya aktivis politik Havel mula berkembang dan namanya semakin terkenal.

Bakat menulis Havel digunakan bagi menerbitkan buku bertajuk 'The Power of the Powerless', yang penuh dengan kritikan terhadap rejim pemerintah Chile. Hasil penulisan serta aktiviti beliau sebagai aktivis membuatkan Havel dianggap sebagai musuh kerajaan. Dia dipenjarakan selama 4 tahun setengah atas tuduhan terlibat dengan gerakan subversif mahu menggulingkan kerajaan yang sah.

Havel dibebaskan pada tahun 1983 sebelum kembali pada ke penjara pada bulan Januari 1989 selama 9 bulan, atas tuduhan cuba menimbulkan kekacauan namun beliau bebas pada bulan Mei tahun yang sama, selepas protes besar-besar menuntut pembebasan beliau berlaku.

Havel yang mendapat sokongan orang ramai akhirnya dinaikkan menjadi Presiden pertama Republik Czech selepas berjaya membentuk kerajaan. Beliau memegang jawatan tersebut bermula 26 Januari 1993 sehingga Februari 2003.

3. Jawaharlal Nehru

jawaharlal nehru pemimpin dipenjarakan

Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru mempunyai peranan yang hampir serupa dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj bagi negara kita. Pemberontakan yang timbul pada 1910 melonjakkan watak Nehru sebagai salah seorang calon pemimpin muda. Ini membuka ruang kepada beliau membawa agenda kemerdekaan India daripada British.

Nehru menyertai Barisan Kongres yang ditugaskan membawa tuntutan kemerdekaan India ke peringkat antarabangsa namun tindakannya kurang disenangi. Beliau berdepan pemenjaraan pertama pada tahun 1921 atas dakwaan kerajaan British. Nehru dibebaskan pada bulan Mac 1922, bagaimanapun kembali di penjarakan pada tahun 1923 selepas melanggar larangan mengunjungi beberapa kawasan tertentu.

Dibebaskan, Nehru dilantik sebagai presiden Kongres India namun beliau dipenjarakan sekali lagi pada tahun 1930. Pada tahun 1935 selepas bebas, beliau diangkat menjadi Presiden All India States People Conference. Pengaruhnya yang dilihat semakin berkembang menjadi ancaman pada kerajaan British ketika itu, jadi Nehru sekali lagi dipenjarakan bermula pada tahun 1942 sehinggalah tahun 1945 atas dakwaan mahu menjatuhkan kerajaan.

Setelah tamat hukuman penjara, tempoh dua tahun berikutnya digunakan Nehru bagi mempersiapkan perjuangan mereka dalam usaha mencapai kemerdekaan India. Pada Ogos 1947, Jawaharlal Nehru dilantik sebagai Perdana Menteri pertama India selepas kerajaan British bersetuju memberikan tampuk pemerintahan kepada kerajaan yang berjaya dibentuk oleh beliau.

4. Aung San Suu Kyi

aung san suu kyi myanmar dipenjarakan

Anak kepada Mejar Jeneral Aung San yang dianggap bapa kepada negara Burma/Myanmar, Suu Kyi lahir pada tahun 1945 di Yangon semasa Myanmar masih lagi dipanggil British Burma. Bapanya adalah individu yang berjaya melakukan rundingan kemerdekaan negara Burma daripada Empayar British pada tahun 1947, namun mati dibunuh oleh musuh politik beliau pada tahun yang sama - tidak lama selepas berjaya menubuhkan kerajaan.

Kerjaya politik Suu Kyi bermula lambat. Selepas kepulangannya ke Burma pada tahun 1988, Suu Kyi diangkat sebagai pemimpin pemberontakan atas faktor jasa ayahnya pada negara mereka, menuntut demokrasi diperkenalkan di Burma. Berucap di hadapan lebih setengah juta orang, Suu Kyi menuntut perubahan kerajaan namun tidak lama selepas itu berlaku negara mereka jatuh kepada pemerintahan tentera.

Suu Kyi menubuhkan National League for Democracy pada 27 September 1988. Pengaruh parti beliau kepada orang ramai memaksa pemerintah Burma meletakkan beliau dalam perintah kurungan rumah bermula 20 Julai 1989. Walaupun begitu, parti yang dianggotai beliau berjaya memenangi pilihanraya pada tahun 1990. Malangnya keputusan itu tidak diterima kerajaan junta tentera mengakibatkan kegagalan berlakunya pertukaran kerajaan.

Perintah kurungan ke atas Suu Kyi ditarik pada tahun 1995 sebelum perintah sama ditambah bagi memastikan gerakan politik beliau terbantut. Suu Kyi dipenjarakan pada bulan Mei tahun 2003 selepas parti beliau terlibat dalam pertembungan dengan penyokong kerajaan, dengan beliau dan beberapa individu lain dipersalahkan. Dia dipenjarakan selama lima bulan sebelum dibenarkan pulang dengan sekatan di rumah terus dilaksanakan.

Hanya pada 13 November 2010 semua larangan ke atasnya ditarik balik. Suu Kyi naik menjadi ahli Parlimen pada tahun 2012 sebelum dilantik sebagai Kaunselor pertama Myanmar pada 6 April 2016. Sepanjang hidupnya, 15 tahun usianya dihabiskan dalam tempoh kurungan dan penjara.

5. Nelson Mandela

mandela nelson afrika selatan pemimpin dipenjarakan

Antara pemimpin dunia paling terkenal ekoran jatuh bangun beliau dalam politik, Nelson Mandela merupakan Presiden pertama Afrika Selatan pada tahun 1994 sehinggalah tahun 1999. Terkenal sebagai individu yang berjaya menghapuskan sistem apartheid di negara mereka, kisah Mandela memang dipenuh dengan penjara.

Sejak muda Mandela memangterlibat dengan gerakan aktivis politik. Beliau dibuang pusat pengajian setelah menyertai tunjuk perasaan badan pelajar, menyertai parti Kongres Nasional Afrika (ANC) pada tahun 1943. Mandela ditangkap buat pertama kali pada Disember 1956 atas dakwaan cubaan khianat bersama 156 aktivis lain dan dibicarakan tanpa berjaya dibuktikan bersalah, sebelum dibebaskan daripada tuduhan pada tahun 1961.

Selepas bebas daripada tuduhan, Mandela bertindak menubuhkan gerakan bersenjata Umkhonto we Sizwe (Spear of the Nation) dalam parti ANC, memegang jawatan komander. Tindakan ini menyebabkan kerajaan Afrika Selatan ketika itu menangkap beliau lalu disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, akibat membawa ahli-ahli ANC mendapatkan latihan ketenteraan di luar negara. Mandela dihukum penjara selama 5 tahun atas tuduhan ini.

Semasa masih dalam penjara, Mandela dibicarakan atas tuduhan lain melakukan sabotaj ke atas kerajaan yang berlaku di Johannesburg. Atas tuduhan itu serta semua tuduhan lain, Mandela akhirnya dikenakan hukuman penjara seumur hidup bermula pada tahun 1964. Pertukaran kerajaan selepas itu tidak banyak membantu nasib Mandela sebelum era 80-an apabila rundingan bagi pembebasan beliau mula digerakkan dengan lebih kukuh, hasil kerjasama Presiden Afrika Selatan PW Botha dan Timbalannya F.W. de Klerk.

Mandela berjaya dibebaskan selepas mendapat persetujuan kabinet pada tahun 1990 dan terus menggerakkan usaha membebaskan negaranya daripada dasar apartheid yang mengganggu masyarakat mereka selama ini, setelah bebas. Pada 10 Mei 1994, Nelson Mandela mengangkat sumpah menjadi Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan. Jawatan itu dipegang selama satu penggal sahaja. Mandela menolak lantikan untuk penggal berikutnya atas faktor usia dan kesihatan yang kurang baik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)