Bagaimanakah populariti sesuatu tempat pelancongan itu ditentukan? Kebiasaannya, jumlah pelancong yang melawat sesuatu tempat pelancongan dalam setahun dianggap sebagai kriteria utama untuk menentukan popularitinya.

Walau bagaimanapun, dengan kemunculan media seperti Twitter, Instagram dan Facebook, terdapat kriteria lain yang boleh digunakan untuk menentukan populariti sesuatu tempat pelancongan, iatu hashtag. Hashtag atau 'tanda pagar' dalam bahasa Malaysia merupakan satu fungsi dimana pengguna boleh mengklasifikasikan gambar atau tulisan mereka dengan topik tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Contohnya, sekiranya anda berkongsi gambar di Instagram dan meletakkan hashtag #London, maka gambar anda akan turut sama terpapar dalam garis masa untuk hashtag #London sekiranya akaun anda tidak diletakkan dalam mod privasi. Fungsi ini boleh membantu anda mempopularkan gambar anda dan juga melihat gambar-gambar lain yang berkaitan dengan hashtag anda.

Setiap tahun, Hash Tag The World, iaitu sebuah organisasi yang berasal dari Belanda akan mengeluarkan senarai tempat pelancongan popular di dunia berdasarkan jumlah hashtag. Senarai ini telah dimulakan pada tahun 2015 yang menyaksikan bandar New York menduduki tempat teratas. Walau bagaimanapun, kedudukan dalam senarai ini berubah setiap tahun dan kali ini, kami ingin berkongsi 5 tempat pelancongan paling popular di media sosial pada tahun 2017 berdasarkan fungsi hashtag ini.

1. London 

london eye ferris wheel

Pada tahun 2017, London berada di tempat teratas dalam senarai bandar paling popular di sosial media. Bandar ini mencatatkan hashtag dalam 88.8 juta gambar, paling tinggi berbanding bandar-bandar lain di dunia. Pencapaian ini tidaklah mengejutkan memandangkan London sememangnya terkenal sejak dahulu lagi sebagai tempat pelancongan antarabangsa.

Antara hashtag popular bagi London adalah #londoneye yang merujuk kepada London Eye Ferris Wheel dan #londonbridge yang merujuk kepada London Bridge. Populariti 3 kelab Liga Perdana Inggeris yang berpangkalan di London iaitu Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea juga menyumbang kepada populariti bandar London ini. Selain itu, Kejohanan Olahraga Dunia yang dianjurkan di kota London pada tahun 2017 juga merupakan penyumbang besar yang menyebabkan bandar ini banyak diperkatakan di media sosial.

2. New York

tempat pelancongan new york

New York berada di kedudukan kedua bandar paling popular di sosial media pada tahun 2017. Bandar ini mencatatkan hashtag pada 88.5 juta gambar pada tahun 2017 atau secara purata 50,549 gambar setiap hari. Kedudukan ini jatuh satu anak tangga berbanding pada tahun 2015.

Populariti bandar New York ini sebahagian besarnya disumbang oleh kedatangan pelancong antarabangsa ke bandar ini. Pada 2017, perlantikan Presiden Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat juga mendorong ramai pengguna memperkatakan tentang New York di media sosial memandangkan beliau berasal dari bandar ini.

3. Paris

notre dame paris

Populariti bandar Paris dalam senarai ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Paris sememangnya memiliki banyak tempat pelancongan dengan pemandangan yang cantik dan sesuai untuk bergambar. Tidak sah sekiranya ke bandar ini dan tidak mengambil gambar di menara ikonik Menara Eiffel.

Populariti Paris dalam ini disebabkan kedatangan pelancong antarabangsa di mana kebanyakan pelancong datang ke bandar ini untuk menikmati pemandangan bandar ini yang kaya dengan sejarah dan rekabentuk bangunan yang unik. Notre-Dame de Paris, iaitu sebuah gereja klasik juga merupakan kawasan popular bagi penganut agama Kristian Katolik yang melawat bandar ini. Rekaan seni bina lamanya sentiasa menjadi latarbelakang pilihan untuk pelancong bergambar.

4. Dubai

dubai

Dubai merupakan antara negara yang sedang meningkat naik popularitinya dalam media sosial pada masa kini. Dengan kewujudan projek-projek mega seperti Burj Khalifa dan projek pulau buatan manusia, ianya menarik pemerhatian ramai pemerhati dan pelancong untuk memperkatakannya di media sosial.

Selain itu, kebanyakan gambar yang berkaitan dengan bandar ini juga memaparkan gaya hidup golongan kaya di Dubai yang unik seperti harimau yang dijadikan haiwan peliharaan dan penggunaan kereta-kereta mahal seperti Bugatti Veyron dan Audi R8 sebagai kereta polis. Pemandangan-pemandangan dan gambar-gambar seperti ini semestinya unik dan jarang dapat dilihat di tempat lain.

5. Istanbul

istanbul 540

Istanbul merupakan satu-satunya bandar popular dalam senarai ini yang tidak terletak di negara Barat. Malah, Istanbul juga bukanlah bandar maju berbanding 4 bandar teratas dalam senarai ini. Terdapat banyak bangunan lawa dengan seni bina mengagumkan di bandar ini seperti Masjid Biru dan Hagia Sophia.

Selain itu, Grand Baazar juga merupakan destinasi popular dalam kalangan pengguna sosial media yang gemar membeli belah. Disini, terdapat kira-kira 5000 buah kedai yang pastinya membuatkan pelancong rambang mata.

Kredit:

  1. Statista
  2. Jalopnik
  3. The Telegraph



Hakcipta iluminasi.com (2017)