Bandar Paris di Perancis sememangnya sinonim dengan mercu tandanya, Menara Eiffel (Eiffel Tower). Tidak sah sekiranya pergi melawat Paris tetapi tidak bergambar di hadapan menara ini. Menara ini juga merupakan tempat paling popular di Perancis dan Eropah dengan anggaran 200 juta pelancong pernah melawatnya sejak dibuka.

Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu akan kisah menarik dan sejarah mengenai pembinaan menara ini. Malah, suatu ketika dahulu cadangan pembinaan menara ini juga pernah ditentang oleh masyarakat setempat. Terdapat juga pihak yang mencadangkan agar menara ini dirobohkan atas sebab-sebab tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini, kami ingin berkongsi kepada para pembaca iluminasi.com serba sedikit mengenai menara popular yang menjadi mercu tanda bandar Paris ini.

Idea Asal Pembinaan Menara Eiffel

eiffel tower 654

Pada tahun 1880, bandar Paris telah menjadi tuan rumah kepada sebuah expo sempena menyambut ulangtahun Revolusi Perancis yang ke 100 tahun. Lebih 100 orang peserta telah menghantar cadangan pelan pembinaan sebuah monumen untuk dibina di kawasan Champ-de-Mars yang terletak di tengah bandar Perancis.

Daripada penyertaan yang dihantar, akhirnya Eiffel et Compagnie, iaitu sebuah syarikat konsultan dan pembinaan milik Gustav Eiffel telah dipilih sebagai pemenang. Walaupun beliau diberikan kredit sebagai orang yang mereka bentuk menara ini, tidak ramai yang tahu bahawa rekabentuk menara ini sebenarnya dihasilkan oleh Maurice Koechlin, iaitu salah seorang juruteranya.

Pembinaan Menara Eiffel

paris menara eiffel

Idea dan rekabentuk Menara Eiffel dipilih kerana keunikannya yang tidak menyamai mana-mana bangunan yang pernah dibina pada ketika itu. Ketika itu, menara setinggi 300 meter ini adalah bangunan paling tinggi dibina oleh manusia. Rekabentuk struktur bangunan ini yang sangat unik menggambarkan kemajuan Revolusi Perindustrian pada ketika itu.

Bangunan ini juga sangat unik kerana ianya seolah-olah hanya kerangka besi tetapi sangat kukuh dan stabil. Pembinaannya yang bermula pada 26 Januari 1887 boleh dianggap murah pada ketika itu dan hanya menggunakan tenaga kerja yang sedikit.

Menara ini juga dipasang elevator yang merupakan satu teknologi baru pada ketika itu. Rekabentuk menara ini yang melengkung ke atas sememangnya memberikan cabaran tersendiri kepada para jurutera untuk memasang elevator ini. Di beberapa bahagian menara ini, terdapat juga beberapa ruang meninjau dan satu bilik rahsia yang dibina oleh juruteranya.

Penentangan terhadap pembinaan Menara Eiffel

pembinaan menara eiffel

Walaupun Menara Eiffel kini merupakan lambang kebanggaan bandaraya Paris, tidak semua orang pada ketika itu bersetuju dengan cadangan pembinaan menara ini. Terdapat beberapa golongan yang menentang pembinaannya kerana berpendapat menara ini kelak akan merosakkan pemandangan Champ-de-Mars, iaitu sebuah kawasan taman yang menjadi tumpuan pelancong.

Selain itu, pembinaannya juga turut ditentang kerana pandangan skeptikal bahawa menara yang berupa seakan-akan kerangka besi itu mampu disiapkan dan tidak akan mendatangkan masalah kelak. Walau bagaimanapun, atas sokongan penuh Edouard Lockroy, iaitu seorang Menteri ketika itu, pembinaan menara ini diteruskan. Beliau percaya pembinaan menara ini akan memberikan impak positif kepada Perancis dan ternyata sangkaannya benar.

Pembukaan rasmi Menara Eiffel

percutian di paris

Menara ini secara rasminya dibuka pada 31 Mac 1889. Pada hari yang bersejarah ini, Eiffel sendiri telah memanjat ke bahagian paling tinggi menara ini dan mengibarkan bendara Perancis sebagai simbolik perasmian menara ini.

Menara ini kekal sebagai bangunan tertinggi di dunia sehinggalah Chrysler Building yang terletak di New York, Amerika Syarikat siap dibina pada tahun 1929. Pada tahun 1957, sebuah antena telah ditambah pada bahagian atas menara ini, menjadikannya lebih tinggi daripada Chrysler Building. Pada peringkat awal, hanya tingkat kedua menara ini dibuka kepada orang awam sebelum akhirnya ketiga-tiga tingkat dibuka kepada orang awam. 

Menariknya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pembinaan menara ini adalah untuk sementara sahaja dan bukan kekal selamanya. Dalam sejarah, beberapa kali menara ini berjaya diselamatkan daripada diruntuhkan. Seawal 1909, menara ini hampir diruntuhkan sebelum pihak berkuasa mengambil keputusan untuk mengekalkan binaan ini kerana menyedari fungsinya sebagai stesyen pemancar komunikasi.

Semasa Perang Dunia Pertama, menara ini memainkan peranan penting memintas komunikasi pihak musuh dan menghantar mesej kecemasan. Semasa Perang Dunia Kedua, Hitler juga pernah mengarahkan menara ini diruntuhkan tetapi arahan tersebut tidak pernah direalisasikan. Semasa bandar Perancis ditawan oleh askar Jerman, pihak Perancis juga telah memotong kabel elevator bagi menyukarkan askar Jerman daripada menaiki ke puncak menara ini.

Menara Eiffel juga pernah dijadikan lokasi untuk melakukan pelbagai aksi terjunan merbahaya dan kajian sains. Pada tahun 1911, seorang saintis Jerman Theodor Wulf telah melakukan satu eksperimen menggunakan elektrometer untuk mengesan kadar radiasi yang lebih tinggi pada puncak menara ini berbanding kadar radiasi di bahagian bawah menara ini, seterusnya membawa kepada penemuan sinaran kosmik (cosmic rays). Rekabentuk menara ini yang unik juga telah menjadi inspirasi kepada 30 replika dan binaan sepertinya di seluruh dunia.

Kini, Menara Eiffel masih berdiri megah sebagai menara paling popular di dunia. Bagi memelihara ketahanan menara ini, ianya akan dicat setiap tujuh tahun. Kira-kira 500 orang pekerja bertugas disini dimana sebahagiannya bertanggunjawab menjaga keselamatan pelancong, bekerja di restoran, melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan sebagainya.

Kredit:

  1. History.com
  2. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)