Oleh pada 08 Mar 2018 kategori

kevin systrom pengasas instagram dari aplikasi arak burbn 2

Siapa sangka aplikasi Instagram hanya mengambil masa 8 minggu untuk dibangunkan sebelum dilancarkan dalam App Store (Apple), dan dalam masa setahun setengah sahaja selepas pelancaran, aplikasi ini telah dibeli oleh Facebook dengan harga $USD1 billion dalam bentuk tunai dan stok. 

Namun, kejayaan Instagram bukanlah dicapai dalam masa satu malam, ianya melibatkan cabaran dan kegagalan serta pelbagai konflik sebelum berjaya. 

Permulaan Kisah Instagram

kevin systrom pengasas instagram

Instagram diasaskan oleh Kevin Systrom, seorang graduan dari Stanford University. Pada tahun 2009, beliau bekerja di Nextstop, sebuah startup agensi pelancongan. Pada Julai tahun berikutnya, Nextstop dibeli oleh Facebook. 

Sebelum itu, Kevin turut pernah bekerja di Google sebagai pembantu pembangunan korporat, dan pernah menjalani latihan industri di Odeo, syarikat yang kemudiannya melalui penjenamaan semula sebagai Twitter. 

Aplikasi Minuman Keras: Burbn

aplikasi minuman keras burbn 537

Kevin tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang sains komputer. Ketika masih bekerja di Nextstop, beliau mempelajari cara untuk coding pada waktu malam dan ketika hujung minggu. Hasilnya, beliau berjaya membangunkan sebuah prototaip yang dikenali sebagai Burbn, sebagai inspirasi dari cita rasa beliau terhadap whiskey dan bourbons (arak). 

Titik Perubahan Bagi Hidup Kevin Systrom

pelabur awal marc andreessen dan ben horowitz

Segalanya berubah apabila Kevin menghadiri sebuah parti anjuran sebuah syarikat startup iaitu Hunch pada Mac 2010. Di parti inilah Kevin berkenalan dengan 2 orang pelabur masing-masing dari syarikat Baseline Ventures dan Andreessen Horowitz.

Beliau menunjukkan prototaip hasil ciptaan beliau kepada mereka, dan mereka membuat keputusan untuk bertemu dengan Kevin sekali lagi untuk berbincang lebih lanjut.

Selepas pertemuan pertama mereka, Kevin mengambil risiko dengan membuat keputusan untuk berhenti kerja dan memberi sepenuh perhatian kepada Burbn. Hanya dalam masa 2 minggu, beliau berjaya memperolehi modal hasil pelaburan daripada Baseline Ventures dan Andreessen Horowitz. 

Penyertaan Mike Krieger Sebagai Pengasas Bersama

kevin systrom bersama mike krieger sebagai pengasas bersama instagram

Dengan modal yang ada, Kevin mula menubuhkan sebuah pasukan, dan antara yang terawal yang menyertai beliau adalah pengasas bersama Instagram iaitu Mike Krieger, yang hanya berusia 25 tahun pada ketika itu dan berasal dari Brazil. Mike juga seorang graduan dari Stanford University.

Keduanya berkenalan ketika masih di Stanford dan mereka kerap kali terserempak di kedai kopi San Francisco. Mike pernah bekerja sebagai jurutera dan juga pernah menjadi pereka di Meebo, sebuah platform media sosial. 

Fokus Sepenuhnya Kepada Perkongsian Gambar

instagram fokus kepada perkongsian gambar

Selepas penyertaan Mike, mereka menilai semula Burbn dan membuat keputusan untuk hanya fokus kepada satu perkara, iaitu gambar. Mereka bermula dengan mengkaji secara berhati-hati dan terperinci aplikasi-aplikasi dalam kategori fotografi. 

Aplikasi Hipstamatic menyerlah antara aplikasi dalam kategori ini kerana popularitinya dan mempunyai ciri-ciri menarik seperti penggunaan filter untuk mencantikkan gambar. Namun, aplikasi ini kekurangan dari segi elemen keupayaan sosial. 

Kedua usawahan muda ini sedar akan potensi dalam membangunkan sebuah aplikasi yang boleh menghubungkan Hipstamatic dan Facebook dengan elemen sosialnya. Kevin dan Mike terpaksa membuat keputusan yang getir dan kritikal untuk mengubah sepenuhnya ciri-ciri Burbn hanya kepada gambar, komen dan like

Kelahiran Sebuah Aplikasi Perkongsian Gambar: Instagram 

kelahiran sebuah aplikasi perkongsian gambar instagram

Pada masa yang sama, mereka menamakan semula Burbn kepada Instagram. Nama Instagram adalah hasil gabungan instant dan telegram, yang membawa maksud telegram segera. 

Kini dengan visi yang lebih jelas, Kevin dan Mike bekerja keras untuk menambaik pengalaman pengguna dalam perkongsian gambar. Mereka mempunyai fokus ke arah minimalis, yakni memerlukan tindakan yang paling minima dari pengguna ketika menggunakan aplikasi mereka. 

Selepas 8 minggu memperincikan aplikasi Burbn kepada Instagram, mereka berkongsi aplikasi berkenaan dengan rakan-rakan mereka sebagai beta test, memperbetulkan masalah bugs dan kemudiannya melancarkan Instagram. 

Pelancaran Instagram Di Dalam iOS App (App Store)

pelancaran instagram di dalam ios app

Instagram secara rasminya dilancarkan pada 6 Oktober 2010. Dalam masa beberapa jam selepas pelancaran, Instagram menjadi aplikasi perkongsian gambar percuma nombor 1 dalam App Store, dengan pengguna sebanyak 25,000.

Pada hujung minggu pertama Instagram dilancarkan, aplikasi ini menjadi sangat popular dengan muat turun sebanyak 100,000 kali, dan pada pertengahan bulan Disember, jumlah pengguna Instagram telah berjaya mencapai 1 juta. 

Instagram dilancarkan pada masa yang sangat tepat, pada ketika iPhone 4 dengan kamera yang lebih baik baru sahaja dilancarkan 4 bulan sebelumnya. 

Instagram Menarik Minat Twitter dan Facebook

instagram menarik minat twitter dan facebook

Kevin mengenali Jack Dorsey (Pengasas Twitter) ketika menjalani latihan industri di Odeo. Jack sangat berminat dengan idea Instagram dan syarikat berkenaan. Selepas Jack kembali ke Twitter sebagai Pengerusi Eksekutif pada Mac 2011, beliau telah dilaporkan menawarkan $USD500 juta dalam bentuk stok untuk membeli Instagram. Walaubagaimanapun, Kevin menolak tawaran tersebut kerana berpendapat Instagram akan terus kekal sebagai sebuah syarikat bebas. 

Sehingga Mac 2012, aplikasi ini telah mempunyai pengguna seramai 27 juta. Pada April tahun sama, Instagram dilancarkan untuk pasaran telefon Android. Dalam masa sehari sahaja, aplikasi ini telah dimuat turun sebanyak 1 juta kali. 

Kevin dan Mark Zuckerberg berkenalan di sebuah acara yang diadakan di Stanford, dan mereka berdua juga terus berhubung ketika populariti Instagram sedang meningkat naik. 

Pada April 2012, Facebook menawarkan $USD1 bilion dalam bentuk tunai dan stok bagi membeli Instagram, dan berjanji tidak akan campur tangan dalam pengurusan syarikat berkenaan. Tawaran berkenaan diterima oleh Kevin dan Instagram menjadi milik Facebook sehingga kini. 

Kesimpulan Tentang Kisah Instagram

kisah kejayaan instagram dalam infografik

Pembelian Instagram oleh Facebook terus melonjakkan jumlah pengguna Instagram. Walaupun kini menjadi milik Facebook, Instagram terus diterajui oleh pasukan yang sama memulakan aplikasi berkenaan.

Mereka ada membuat beberapa perubahan terhadap ciri-ciri Instagram, namun masih mengekalkan ciri-ciri asal iaitu keutamaan kepada perkongsian gambar yang mesra pengguna. Sehingga April 2017, pengguna aktif Instagram adalah sekitar 700 juta orang. 

Idea awal penubuhan Instagram bukanlah terhasil secara langsung, namun ia merupakan kesinambungan yang terhasil berdasarkan kajian permintaan oleh Kevin dan Mike. Mereka berusaha keras untuk mencapai kejayaan yang digapai hari ini.

Sumber:

  1. statista.com
  2. investopedia.com

tags : , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)