Oleh pada 24 Mar 2018 kategori

Pada tahun 2012, Mark Zuckerberg ketika berlangsungnya majlis IPO atau Initial Public Offering Facebook, yang membuka jualan saham syarikat tersebut kepada orang awam memberitahu matlamat Facebook adalah untuk menghubungkan orang ramai dengan individu lain yang mereka mahu dan berkongsi perkara yang orang ramai mahukan.

Bagaimanapun, 6 tahun berikutnya, kebanyakan janji dan impian yang dinyatakan oleh Mark Zuckerberg dalam suratnya itu tidak banyak yang menjadi kenyataan. Facebook dilihat semakin lama semakin agresif mengawal kandungan serta perkongsian orang ramai, sehinggakan dinding pengguna kini lebih banyak dipenuhi apa yang Facebook rasakan kita gemar, bukan lagi perkara yang kita tetapkan ditunjukkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami bukan hendak ajak anda #unfriendfacebook seperti hashtag yang sedang popular ketika ini, ekoran kontroversi yang melanda Facebook. Bagi kami, semua tabiat manusia ada baik dan buruknya, cuma bagaimana kita mengawal tabiat kita itulah yang akan menyelamatkan kita daripada perkara buruk. Bagaimanapun, keburukan penggunaan Facebook semakin lama semakin ketara dan berikut adalah 5 keburukan yang semakin hari semakin dilihat runcing situasinya.

1. Terlalu banyak maklumat yang tidak penting

aliff syukri gila perhatian dan sanjungan

Bagi mereka yang mengikuti Facebook sejak mula, Facebook pada asalnya hanyalah sebuah laman web untuk membolehkan perkongsian-perkongsian perkara kehidupan yang lebih mirip dengan pesaing awalnya, Myspace dan Friendster. Namun lama-kelamaan Facebook dilihat seperti mahu menjadi pintu pertama kepada internet.

Cuba anda lihat balik bagaimana anda menggunakan internet satu masa dulu berbanding sekarang. Perbezaan paling ketara, dulu kita yang mencari maklumat yang diperlukan melalui penggunaan enjin carian seperti Yahoo, Google ataupun AltaVista (jika anda sempat merasai zaman itu). Namun kini Facebook adalah pintu utama kepada perkongsian berita dengan berita-berita yang menarik perhatian kita, adalah apa yang dikongsikan melalui dinding Facebook.

Tengok balik tabiat anda membaca. Adakah anda lebih banyak membaca apa yang Facebook letakkan untuk anda, tak kiralah perkongsian rakan, perkongsian laman yang kita ikuti atau mungkin juga pautan laman web informasi yang muncul tanpa diundang - ataupun kita sendiri mengawal apa yang kita baca?

Pola pembacaan melalui Facebook berjaya membuatkan kita lebih banyak menghabiskan masa membaca apa yang disajikan oleh Facebook, sehinggakan ramai yang bergentung kepada Facebook untuk 'menyediakan' bahan bacaan pada hari itu.

2. Terlalu ramai orang yang merasakan pandangan mereka penting

alvin tan social media influencer

Kemunculan 'social media influencer' ataupun 'individu berpengaruh media sosial' boleh dilihat dalam pelbagai perspektif, namun ada kalanya pengaruh mereka ini dilihat mampu mencapai tahap menjengkelkan.

Dengan ramai 'individu berpengaruh' yang menjadikan jumlah 'like' serta 'sharing' sebagai matrik populariti mereka, terlalu ramai individu-individu lain yang berusaha menjadikan akaun Facebook mereka setaraf dengan 'influencer-influencer' ini.

Masalahnya, kadangkala pandangan yang dikongsikan mereka ini tidak masuk akal, sehinggakan mampu memecah-belahkan masyarakat atau menimbulkan pergaduhan, namun pembaca dilihat terlalu terpesona dengan jumlah follower atau pengikut yang ada, sehingga membenarkan segala-gala yang dikongsikan tanpa mahu berfikir panjang.

Lagipun, kebanyakan 'social media influencer' ini sebenarnya bukanlah pakar dalam bidang yang diulas, tetapi oleh kerana ulasan mereka sedap dibaca, membuatkan pengikut ketagih untuk membaca. Benar atau tidak ditolak ke tepi.

3. Facebook sudah jadi medan propaganda

perhimpunan di malaysia agenda pihak tertentu

Pernah anda cari tentang sesuatu dalam Facebook dan kemudiannya anda mula dapati iklan-iklan mirip perkara yang anda cari itu, mula bertambah kuantitinya? Itulah yang dinamakan iklan bersasar minat, salah satu cara Facebook berjaya dijadikan medan propaganda pihak yang sudi membayar harganya.

Anda boleh katakan yang perkara itu tidak memberikan impak besar kepada anda, namun dengan terdedahnya bukti yang menunjukkan data-data Facebook pernah digunakan dalam mengawal sentimen pilihanraya yang berlaku di seluruh dunia, sudah jelas sekali kelebihan yang ada pada Facebook pasti akan diambil peluang pihak yang mahu menyampaikan agenda mereka.

Satu masa dulu, masyarakat mengeluh setiap kali iklan televisyen diudarakan ketika rancangan sedang berjalan tetapi iklan dalam Facebook berfungsi untuk memenuhi apa yang anda gemarkan. Dengan mengambil kira pendekatan itu, tak mustahil untuk mana-mana pihak untuk terus menyalurkan kepada anda agenda dan propaganda mereka, sama ada dalam bentuk artikel atau iklan bagi memastikan minat dan persepsi anda terus berada di pihak mereka.

4. Facebook kini sudah mengawal capaian status anda

facebook kini mengutamakan pengguna berbayar

Walaupun admin mengkritik social media influencer yang mengukur kejayaan mereka menggunakan like dan sharing, tahun demi tahun jelas berlaku penurunan ketara kepada jumlah capaian perkongsian kita ekoran penurunan pihak yang dapat membacanya.

Kami rasa semua pihak tahu yang Facebook memang mewujudkan satu algoritma yang akan mengesan sama ada sesebuah perkongsian itu patut dikongsikan kepada lebih ramai atau sekat perkongsiannya. Andaikan anda menggunakan Facebook hanya sebagai wadah perkongsian keluarga dengan 100 orang 'kawan' yang berfikiran serupa, hanya 5 atau 10 orang akan dapat melihat perkongsian anda, mengikut peratusan algoritma Facebook.

Besar kemungkinan 90 atau 95 orang individu yang lain akan terlepas perkongsian anda kerana langsung tidak pernah ditayangkan perkara tersebut, melainkan dia menekan sendiri laman akaun anda atau meletak anda sebagai 'see first.'

Jadi, apa perkara yang Facebook akan tunjukkan sekiranya kita disekat daripada melihat perkongsian kawan kita sendiri? Rujuk poin pertama dan ketiga artikel ini. Ada pembaca yang PM kami bertanya, bagaimana nak melayari laman Iluminasi tanpa melalui Facebook, dia kata dia jarang dapat update ada artikel baru kami di dinding Facebook. Jangan lupa anda juga boleh melayari Iluminasi melalui alamat laman web www.iluminasi.com

Begitulah contoh lain bagaimana Facebook mengawal tabiat pembacaan kita.

5. Terlalu banyak informasi yang mengalihkan perhatian kita

pergaduhan di plaza low yat

Dalam hidup kita, setiap orang sebenarnya ada had tentang berapa banyak maklumat yang boleh kita serap setiap hari. Dalam bidang media sosial, rakyat Malaysia sebenarnya banyak mendahulu negara-negara Asia Tenggara lain dari aspek penggunaan, masa penggunaan serta pengaruh hidup yang berpunca daripada media sosial.

18 juta rakyat Malaysia adalah pengguna Facebook dan kita mendahului dalam tempoh penggunaan Facebook berbanding negara Asean lain. 94% pengguna Facebook Malaysia mengenali sesuatu produk melalui Facebook dengan 62% daripada jumlah tersebut, melakukan pembelian selepas menemuinya. Ini menunjukkan Facebook mempunyai pengaruh yang cukup besar pada negara kita.

Namun, berapa banyak sebenarnya perkongsian yang betul-betul penting yang dapat kita hadam setiap hari? Daripada perkongsian rakan-rakan berkenaan hidup mereka, perkongsian video viral pada hari itu, artikel-artikel menarik untuk dibaca, kisah-kisah viral yang sensasi yang wajib diikuti serta bermacam lagi perkara yang direka untuk membuatkan kita tak lekang dengan telefon, kita perlu bertanya pada diri kita sendiri - di mana hadnya?

Adakah penggunaan Facebook sudah mengganggu konsentrasi kita semasa bekerja? Adakah kita terasa sunyi sekiranya makan tanpa membuka Facebook? Adakah anda pernah rasa rugi tidak mengikut perdebatan atau pergaduhan yang berlaku di kalangan 'rakan-rakan maya' anda?

Sekiranya ya, mungkin dah tiba masanya untuk kita sedar, dalam sehari kita ada 24 jam sahaja untuk hidup. Dengan 3 jam purata rakyat Malaysia habiskan sehari untuk menelaah Facebook, persoalannya - berapa baki masa kita habiskan untuk benar-benar menjalankan tugas dan tanggungjawab kita, di luar dunia maya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)