Oleh pada 24 Jun 2018 kategori

drama melayu berlakon kaya korporat celaka

Banyak temubual dengan produser serta penerbit filem mengatakan masyarakat Malaysia tidak gemar filem-filem yang membawa tema lebih berat. Pelakon Rosyam Nor apabila diminta mengulas tentang masalah isu stereotaip dalam filem dan drama kita - secara terbuka mengatakan perlunya elemen stereotaip seperti tema cinta, kerana disitulah  permintaan tinggi yang membolehkan rumah penerbitan meneruskan operasi.

Temubual yang dilangsungkan pada tahun 1999 itu malangnya tetap dilihat relevan sehingga kini, dengan keluhan-keluhan masyarakat berkenaan isu stereotaip dalam filem dan drama kita tetap kedengaran.  Mengapa?

Entah mengapa filem dan drama kita masih belum mampu berganjak keluar daripada unsur-unsur stereotaip yang kerap diulang-ulang tayang berpuluh tahun lamanya dan berikut adalah lima stereotaip yang biasa kita dapat lihat dalam filem dan juga drama kita - yang malangnya terus segar sepanjang zaman.

1. Keluarga kaya mesti banyak konflik

konflik keluarga kaya

Kami tak tahu mengapa penerbit dan pembikin drama Melayu kerap kali memaparkan keluarga-keluarga yang berada dalam drama atau filem, sebagai sebuah keluarga bermasalah - dengan ayah nak ceraikan mak dan anak pula lebih seronok melayan teman lelaki atau wanita berbanding keluarga.

Watak yang paling baik dalam kehidupan sebuah keluarga kaya dalam filem atau drama ni pula mestilah watak hero atau heroin, yang sedar kekayaan tidak akan membawa dirinya ke mana-mana sambil dibantu oleh pembantu rumah yang turut sama bertindak sebagai ibu angkat kepada watak hero dan heroin.

Tak boleh ke kita letakkan keluarga orang Melayu yang mampu ni berada dalam keadaan aman damai dan saling memerlukan antara satu sama lain? Balik-balik si ayah mesti ada saja yang tak puas hati dengan mak dengan mak akhirnya buat komplot sendiri belakang-belakang nak 'gulingkan' ayah dia. Bukankah ini akan memberi pengaruh pada penonton?

2. Pelajar IPT sibuk nak bercinta saja

pelajar ipt serius belajar

Cuba ingat balik realiti anda semasa belajar di universiti atau kolej dulu. Tak semua orang kemaruk nak bercinta kan? Pasti ada beberapa kumpulan yang nampak fokus kepada apa yang perlu dia buat, tetapi filem dan drama kita kurang berminat hendak menumpukan perhatian pada golongan ini.

Krisis percintaan yang dialami pelajar-pelajar IPT merupakan satu subjek yang menarik untuk dipaparkan namun sedikit-sebanyak, ini akan melahirkan persepsi kepada masyarakat kita yang itu sajalah perkara yang dilakukan oleh pelajar-pelajar IPT kita semasa zaman universiti.

Kita sepatutnya sudah mula berani mengangkat tema-tema yang lebih berat untuk dijadikan acuan kepada rupa sebenar apa yang dilalui pelajar IPT dan bukan hanya sekadar nak ber'dating' semata-mata. Watak pelajar dalam filem atau drama yang mampu memberikan inspirasi patut digarap dan diperbanyakkan lagi bukan hanya sekadar sebagai watak sampingan, malahan sebagai watak utama jalan cerita itu.

3. Gangster Melayu dialog ala orang Cina

kl gangster cakap ala cina

Pada pendapat saya, sudah tiba masanya kita buang budaya ini jauh-jauh sejauh laut China Selatan sana tu. Walaupun saya akui memang akan ada perubahan pada telo atau lenggok percakapan orang Melayu semasa bercakap dengan bangsa Cina atau India di negara kita - semakin lama trend ini nampak semakin merapu dalam filem dan drama.

Sekiranya realitinya memang itulah cara percakapan samseng Melayu, itu menunjukkan ada sesuatu yang tak kena mengenai orang Melayu sendiri kerana terlalu terikut-ikut budaya bangsa lain. Alangkah baiknya jika paparan filem dan drama selepas ini mula membuang elemen-elemen ini daripada terus digunakan dalam memupuk perasaan hormat kita pada bahasa Melayu yang betul.

Sangat mengarut dalam adegan filem, dua orang gangster Melayu yang sedang bertekak pun bila bercakap nak kena guna slanga Cina dalam pertuturan mereka. Realistik? Entahlah. Saya pun tak pasti.

4. Kisah cinta lelaki kaya dengan gadis miskin

gadis kampung tapi make up tebal

Kenapalah tema ini daripada dahulu sehingga sekarang kerap diputar-putar, cuma yang berbezanya adalah zaman terbitan filem atau drama itu? Saya faham cinta merupakan satu topik yang besar dalam kehidupan kita namun apabila untuk ke beberapa ratus kali kita dapat tonton perkara sama dipaparkan - lama-kelamaan rasa mual itu tetap akan ada dalam diri.

Dari segi penceritaan, memanglah diakui lebih mudah bagi penonton untuk nampak perbandingan darjat di antara lelaki anak orang berada dan gadis kampung yang naif dan baru nak mengenali kota, tetapi stereotaip ini agak kurang relevan kerana perubahan taraf hidup masyarakat kita sudah berlaku menjadikan filem atau drama ini dilihat tetap cuba berdegil mengekalkan elemen-elemen lama.

Tidak ada salahnya sekiranya 'norma' ini digantikan dengan sesuatu yang lebih mirip dunia sebenar ketika ini. Balik-balik teman lelaki jemput si gadis pakai kereta mewah, si gadis pula takut-takut nak masuk kerana mewah sangat kenderaannya.

5. Lelaki direbut dua gadis yang sangat berbeza perwatakannya

pelakon watak jahat wajah garang

Boleh dikata berkait dengan nombor 4, salah satu stereotaip filem dan drama Melayu yang paling saya tak boleh terima adalah kewujudan watak pesaing, selalunya seorang gadis lain yang turut sama berebut lelaki yang sama dengan heroin.

Isunya di sini, watak pesaing ni selalunya digarap supaya menjadi 'anti heroin' dengan perangai buruk, kelakuan teruk, muka marah-marah, sifat tak berapa elok tapi wajah tetap cantik. Dari situ kita dah boleh nampak siapa yang baik dan siapa yang buruk kerana kita tahu tak ada siapa nak kat gadis yang kelakuan dia buruk walaupun muka lawa.

Bukan setakat perangai buruk, gadis ni pula sanggup buat apa saja untuk pastikan dia dapat lelaki yang dia nak sehinggakan sanggup main kasar, malukan atau jatuhkan maruah heroin. Penamatnya kita dah boleh agak dah apa - gadis lawa perangai buruk ni akan insaf, sedar diri dan berubah sambil rela 'melepaskan' lelaki yang dia minat sementara heroin akan memaafkan apa saja kesalahan yang pernah dibuat oleh gadis tersebut.


Sekiranya kita renung semula kebanyakan stereotaip drama dan filem Melayu, kita dapat melihat kecenderungan untuk menghasilkan watak yang baik atau jahat dan hitam atau putih. Ini memang memudahkan penonton untuk faham motif serta latar belakang watak-watak yang disampaikan, namun watak sedemikian tidak membawa kepada perbincangan yang lebih dalam kerana semuanya dipaparkan tanpa ada elemen tersirat.

Kami berharap agar usaha untuk memperbanyakkan lagi watak yang sifatnya 'kelabu' dapat digiatkan, kerana ini bukan sahaja akan menyedapkan lagi jalan cerita kerana sifat itu akan menyukarkan penonton meneka apa hala tuju filem atau drama - malahan secara tak sengaja akan membunuh stereotaip-stereotaip yang telah terlalu lama berlegar memualkan naluri masyarakat kita.


tags : , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)