Bagi peminat muzik khasnya peminat muzik rock dan alternatif, perubahan yang dilakukan oleh kugiran dalam penghasilan karya mereka merupakan satu isu sensitif - apatah lagi apabila melibatkan pertukaran genre.

Kebanyakan peminat awal mana-mana kumpulan muzik sering mengharapkan agar idola-idola mereka terus mengekalkan identiti, tanpa mahu memahami pengkarya sendiri mengalami perubahan dan berevolusi; sehingga menukarkan hasil tangan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi 5 kumpulan ini pada awal kemunculan mereka, mereka cukup dikenali dengan muzik yang agak keras serta bingit, sebelum berubah di pertengahan jalan. Perubahan ini memperkembangkan pengaruh mereka tetapi dalam masa membuatkan peminat asal mereka rasa terpinga-pinga.

1. Coldplay

coldplay muda

Kumpulan Coldplay muncul sekitar tahun 1996, sebelum mendapat peluang merakamkan album pertama mereka 'Parachutes' yang diterbitkan pada tahun 2000, meledak dengan single utama 'Yellow.'

Sebuah album yang sarat dengan bunyi gitar dan dram yang berbunyi leka digarap bersama melodi indah, 'Parachutes' memperkenalkan Coldplay kepada dunia. Album itu memenangi kategori album alternatif terbaik Anugerah Grammy pada tahun 2002 - selepas dilancarkan di Amerika Syarikat.

Tema dan genre sama kekal untuk beberapa album Coldplay, kekal terjual hampir 10 juta unit untuk empat album terawal mereka sehinggalah album 'Mylo Xyloto' yang terbit pada tahun 2011, membawa elemen-elemen pop kontemporari kepada 'bunyi' Coldplay.

Album kelapan 'Everyday Life' pula yang terbit pada tahun 2019, menjadi antara album paling tak laku untuk Coldplay - terjual tidak sampai 1 juta unit walaupun mendapat ulasan baik.

Dari segi jualan, lagu Coldplay bersama duo The Chainsmokers berjudul 'Something Just Like This' merupakan lagu paling popular mereka, tetapi jika dibanding dengan lagu popular pertama mereka iaitu 'Yellow,' ketara benar jauh perbezaan bunyinya.

2. Maroon 5

maroon 5 kemunculan awal

Bagi mereka yang mengikuti perjalanan kugiran popular Maroon 5, pasti sukar untuk anda menerima perubahan bunyi standard kumpulan ini bukan?

Apatah lagi perubahan genre kumpulan berlaku dengan sebuah lagu yang berjudul 'Moves Like Jagger,' yang menjadi lagu paling popular mereka sehingga kini sejak terbit tahun 2011.

Pengaruh pengkarya pop jelas mengubah bunyi asal Maroon 5 yang agak keras sebelum itu, khasnya melalui album pertama mereka yang berjudul 'Songs About Jane.'

Menampilkan 3 lagu popular iaitu 'Harder to Breathe', 'This Love' dan 'She Will Be Loved' - genre asal Maroon 5 yang menggabungkan irama rock dan funk, membawa keunikan segar dibantu vokal yang unik dibawa vokalis Adam Levine yang mampu mengubah nadanya secara spontan.

Pengaruh irama seperti soul dan R&B mula mengubah corak penulisan dalam Maroon 5, mula membawa masuk elemen-elemen komersial ke dalam muzik mereka.

Elemen ini mula menenggelamkan identiti asal yang telah mereka bentuk meminggirkan peminat lama mereka; memperkenalkan Maroon 5 sebagai sebuah kugiran gitar dengan lelaki simbol seks sebagai vokalis utama.

3. 30 Seconds to Mars

30 seconds mars 430

Mula terkenal sebagai seorang pelakon, projek 'tepi' aktor Jared Leto pada awal kemunculan kugiran 30 Seconds to Mars memang mengejutkan banyak pihak.

Album pertama mereka terbit pada tahun 2002 sebelum album kedua mereka 'A Beautiful Lie' meletup di pasaran, memperbaiki cubaan mereka dengan buah tangan yang lebih matang.

Membawa muzik yang berkonsepkan opera rock, Leto dan rakan-rakannya menggabungkan unsur-unsur sinematik bukan saja dalam muzik mereka, bahkan menghasilkan video muzik berkualiti tinggi dari segi produksinya ibarat sebuah filem - sesuatu yang unik pada era tersebut.

Kugiran ini kekal dalam genre rock sama dalam album seterusnya, sebelum mula menjadi sebuah kugiran pop yang sukar untuk difahami apa halatujunya.

Kini '30 Seconds to Mars' lebih gemar menulis lagu-lagu pop dengan lirik sama diulang-ulang, diselangi bunyi yang dihasilkan tanpa menggunakan instrumen sebenar sambil mengangkat ego sendiri.

4. Linkin Park

linkin park era hybrid theory

Elemen unsur elektronik memang sudah sedia ada dalam muzik Linkin Park sejak mula pergerakan mereka, tetapi unsur rock yang digabungkan dengan vokal rap menjadi teras identiti mereka - walaupun eksperimentasi ada dijalankan dalam setiap enam album terawal mereka.

Bagaimanapun Linkin Park benar-benar mengejutkan semua pihak dalam album ketujuh mereka 'One More Light', menampilkan melodi pop yang jauh lebih ringkas, ringan dan santai. Instrumen seperti gitar dan dram menjadi alatan sampingan, dengan tekstur bunyi lebih banyak terhasil melalui penggunaan pensintesis.

Jeritan vokalis utama Linkin Park, mendiang Chester Bennington juga tidak lagi kedengaran.

Menjadi album paling teruk skor ulasannya, 'One More Light' dikritik pengulas dan peminat ekoran perubahan mendadak genre muzik mereka mengakibatkan berlakunya perang mulut di antara Bennington dan semua pihak yang dirasakan menyerang hasil karya mereka.

Selepas kematian Bennington akibat bunuh diri, album tersebut kekal sebagai album terakhir kumpulan tersebut setakat ini; memecahkan kumpulan peminat mereka yang terus setia dengan perubahan drastik itu dengan mereka yang tidak sanggup menerima Linkin Park telah berubah, menjadi sebuah kumpulan pop yang hilang identitinya.

5. Muse

muse masa era permulaan

Matthew Bellamy, vokalis utama kumpulan Muse bukan saja mempunyai kemampuan vokal yang sangat mengagumkan - bahkan dia juga adalah antara pemain gitar paling handal dan kreatif dalam menghasilkan melodi.

Bagi mereka yang mengikuti Muse sejak mula kemunculan, muzik yang dihasilkan oleh trio ini berbunyi sangat lengkap walaupun Bellamy perlu menyanyi dan bermain gitar serentak - disebabkan oleh kemahiran tingginya bermain melodi kompleks.

Muse menjadikan album kelima dan keenam mereka sebagai medan eksperimen besar-besaran, mula memperbesarkan skop karya mereka sebelum mengumumkan 'kematian' muzik berorientasikan gitar elektrik pada tahun 2018, dengan mengeluarkan sebuah album yang mengutamakan unsur muzik klasik, tema futuristik dan hip-hop.

Walaupun dari segi cabang muzik jelas sekali Muse telah berjaya memperkembangkan muzik ke satu tahap yang unik, bukan semua peminat lama Muse seperti penulis mampu menerima perubahan besar sebegini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)