Oleh pada 15 Sep 2019 kategori

Kami yakin ramai peminat di luar sana. Genre manakah kegemaran anda?

Dalam kajian berkenaan muzik, wujud pelbagai jenis genre yang memudahkan kita mengkategorikan dan melabelkan muzik yang kita dengar - jadi bolehlah kita kata kita suka muzik jenis rock and roll atau ballad, mungkin juga blues.

Dari manakah datangnya istilah-istilah yang digunakan dalam mengkategorikan genre muzik dan kenapa perkataan-perkataan itu, yang sebenarnya langsung tak berkait dengan muzik digunakan? Jom kita pelajari tentang asal-usul lima nama genre muzik popular dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Blues

dari mana datang genre muzik

Istilah 'blues' dipercayai berasal daripada satu istilah yang popular masyarakat yang berbunyi 'the blue devils' - merujuk kepada situasi yang akan dilalui oleh seseorang selepas berhenti meminum alkohol dalam satu tempoh tertentu. Halusinasi yang akan dirasai seseorang itu mampu membuatkan seseorang merasa tertekan dengan situasi.

Mengapa 'blue' atau biru digunakan?

Ini berpunca daripada terma 'blue' yang akan digunakan masyarakat barat dahulu untuk menandakan kegiatan minum arak sehingga mabuk, sehingga menyebabkan wujudnya undang-undang yang dinamakan 'blue laws' (undang-undang biru) yang menghalang penjualan alkohol pada hari Ahad, bagi membolehkan orang bekerja pada keesokannya. Jadi 'the blue devils' dibentuk daripada rasa hanyut seseorang apabila dia tidak lagi mendapat bekalan arak.

Bagi menghilangkan rasa kedukaan itu, setiap kali mendapat peluang untuk mabuk - mereka akan menari beramai-ramai dalam tarian yang dinamakan sebagai 'the blues', sejenis tarian yang sangat dipengaruhi alkohol dan semua pemuzik yang memainkan muzik ketika itu secara langsung, dinamakan 'bluesman.' Dari situlah genre muzik yang mereka mainkan - dinamakan sebagai genre 'blues.'

2. Punk

muzik punk keras genre lagu

Muzik keras yang seringkali dikaitkan dengan keganasan, label 'punk' ini sebenarnya amatlah sesuai dengan bentuk muzik yang diwakilinya. Pada mulanya, sekitar abad ke 16 'punk' sebenarnya merujuk kepada seorang pelacur yang dipandang rendah. Bagaimanapun, penggunaannya mula bercambah - mula dikenakan kepada individu-individu lain seperti seorang ahli masyarakat yang bermasalah serta gemar menimbulkan masalah.

Perkara itu berlanjutan sehinggalah ke tahun 1904 apabila 'punk' mula digunakan untuk merujuk kepada golongan kanak-kanak atau remaja yang diambil untuk menjadi pengikut kepada individu samseng yang lebih berusia, untuk diajarkan ilmu-ilmu yang perlu mereka pelajari dalam menjalani hidup seorang penjenayah.

'Punk' berkembang lagi penggunannya, mula merujuk kepada kumpulan remaja yang perlu dilatih dalam kemahiran tertentu - bukan lagi terhad kepada kumpulan bermasalah. Tetapi satu makna yang kekal sejak dulu sehingga sekarang adalah penggunaan 'punk' bagi merujuk kepada hasil atau aktiviti seni yang rendah kualitinya. Jadi sebarang bentuk persembahan yang dilakukan bentuk kasar, akan dinamakan sebagai sebuah persembahan 'punk.'

Terma ini kekal dalam semangatnya, menggambarkan 'punk' sebagai sesuatu yang berkualiti rendah atau dilakukan ala kadar, sebelum era 1960 terma 'punk' mula digunakan media untuk melambangkan sesuatu yang dilakukan spontan, tidak formal dan di luar normaliti masyarakat.

3. Jazz

irama lagu jazz asal usul

Salah satu genre yang kerap dikaitkan sebagai muzik untuk masyarakat elit, muzik jazz sebenarnya datang daripada genre muzik yang lebih rapat dengan rakyat. Istilah 'jazz' pula datang daripada istilah 'jasm', perkataan Inggeris yang digunakan bagi mewakili tenaga, semangat dan keupayaan seseorang individu. Sebab itulah sehingga kini frasa 'let's jazz it up!' digunakan bagi menggambarkan usaha seseorang atau satu kumpulan untuk menaikkan semangat atau mencantikkan lagi usaha atau kerja mereka ketika itu.

Pada awalnya, ejaan 'jazz' mempunyai pelbagai variasi - sama ada jass, jas, jaz atau jazz - kesemuanya membawa makna yang serupa sehinggakan liputan sukan besbol pada awal abad ke 20 juga kerap kali menggunakan istilah itu, bagi membakar semangat penonton.

Sekitar tahun 1915, beberapa buah lagu menggunakan istilah ini mula diterbitkan dengan sebuah lagu berjudul 'That Funny Jas Band from Dixieland' menjadi lagu pertama direkodkan, menggunakan perkataan itu. Semenjak itu, kumpulan yang memainkan lagu berentak serupa dengan lagu tersebut akan dikaitkan sebagai sebuah 'kugiran jas'. Lama-kelamaan, genre itupun mula dikenali dengan nama 'jas' dan ejaan 'jazz' mula dipopularkan sekitar era 1920-an.

4. Ballad/Balada

genre lagu balada asal usul

Bagi peminat muzik yang menenangkan, sudah pastilah lagu-lagu bergenre balada atau 'ballad' menjadi pilihan anda kan? Dari segi namanya sendiri, apabila disebut saja lagu balada kita sudah boleh membayangkan melodi lagunya yang seakan mendayu dan mengasyikkan. Dari mana datangnya genre ini?

Istilah balada berasal daripada istilah lama sebuah masyarakat yang duduk di Perancis, yang dinamakan sebagai bahasa Occitan atau bahasa Provencal, salah satu bahasa rasmi orang Catalunya kini di Sepanyol selain daripada bahasa Catalan. Perkataan 'ballad' datang daripada perkataan 'ballares' atau 'baladesc' yang membawa makna 'irama atau muzik yang dicipta untuk tarian.'

Muzik 'ballad' disebabkan oleh asal-usul dicipta sebagai latar belakang tarian, kebiasaannya mempunyai struktur lagu yang sama dan membawakan lirik yang iras dengan pantun. Pada awalnya sebuah lagu 'ballad' akan dinyanyikan untuk menyampaikan sebuah ceritera rakyat Eropah, mengandungi karya sastera yang berentak rancak. Pada era abad ke 16 zaman Eropah, wujud 4 genre balada yang berbeza iaitu balada orang ramai (folk ballad), balada bangsawan (minstrels ballad), balada bercetak (broadside ballad) dan balada literari (literary ballad).

5. Rock and Roll

long live rock and roll asal genre

Untuk memahami dari mana datangnya istilah 'rock and roll' yang sangat popular, kita perlu melihat kedua-dua perkataan itu secara berasingan terlebih dahulu. 'Rock' merupakan sebuah perkataan Inggeris lama 'roccain' hasil pinjaman daripada perkataan 'rykkja' yang membawa makna membuai atau menggerakkan sesuatu. Sebelum lagu rock muncul lagi - lagu 'rock a bye baby' yang sangat popular dinyanyikan golongan ibu merupakan lagu terawal menggunakan istilah 'rock' di dalamnya, merujuk kepada perbuatan membuai.

Bagi 'roll' pula, perkataan ini berasal daripada perkataan 'rotula' yang bermakna roda kecil. Bagi menggambarkan keadaan atau situasi yang mereka berada di laut, kelasi-kelasi kapal selalu menggunakan frasa 'rocking and rolling'; mengibaratkan mereka ketika itu sering rasa terbuai-buai seolah berada di atas sebuah roda kecil ketika berada di tengah laut.

Sekitar abad ke 20, istilah 'rocking and rolling' mula digunakan bagi mengistilahkan perlakuan melibatkan tarian dan hubungan seksual yang dilakukan, kerana gerakan yang perlu dilakukan oleh individu-individu yang terlibat. Istilah itu mula popular di kalangan masyarakat Amerika bagi mewakili dua 'aktiviti' tersebut sebelum seorang pengacara radio bernama Alan Freed menamakan rancangannya 'The Rock and Roll session'; mungkin disebabkan pengaruh istilah 'rocking and rolling.'

Freed gemar memutarkan lagu berbentuk R&B dan country tanpa ada genre yang tetap, jadi apabila peminat merujuk kepada rancangan itu - mereka akan menyebut saja nama siaran tersebut. Akhirnya rock and roll menjadi istilah yang digunakan bagi merangkumkan kesemua genre lagu berentak rancak dimainkan Freed, mewujudkan istilah slanga 'rock and roll' dipopularkan rancangan beliau.




Hakcipta iluminasi.com (2017)