Usaha tangga kejayaan! Itulah yang selalu diungkapkan setiap kali kita berdepan kegagalan atau kesusahan.

Lima nama besar di bawah besar kemungkinan merupakan nama-nama yang sudah terkenal di serata dunia, ekoran kemahsyuran mereka sebagai bintang rock yang berpengaruh.

Namun mereka juga perlu bermula dari bawah seperti orang lain sebelum menempa kejayaan. Berikut adalah lima kisah kerjaya awal bintang rock unik yang kami harap memberikan anda inspirasi untuk berjaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Vokalis kumpulan Korn bekerja sebagai seorang koroner

jonathan davis tukang awet mayat

Terkenal sebagai salah seorang ikon paling berpengaruh semasa kebangkitan era nu-metal dua dekad dahulu, Jonathan Davis cukup berminat dengan satu cabang bidang perubatan yang agak digeruni orang ramai - menguruskan mayat; selain daripada kecenderungan kepada muzik yang diwarisi daripada ayahnya yang juga seorang pemuzik.

Pada usia 16 tahun, Jonathan mencari pendapatan sambilan dengan bekerja sebagai pembantu koroner, menjalankan tugas-tugas am semasa autopsi mayat dijalankan.

Pengalaman beliau di situ mendorong beliau menyambung pendidikan dalam bidang sains mortuari di San Francisco College of Mortuari Science. Selepas itu Jonathan meneruskan kerjaya pengurusan mayat di Jabatan Koroner Kern County serta bertugas sebagai pengawet mayat secara sambilan.

2. Mendiang Chris Cornell suka bekerja di dapur

chris cornell suka masak

Nama Chris Cornell sudah sinonim dengan muzik rock, ekoran kemunculannya bersama-sama kumpulan Temple of the Dog, Soundgarden dan Audioslave. Malangnya masalah tekanan yang dihadapi mengakibatkan beliau membunuh diri dengan menggantung dirinya.

Chris mencapai kejayaan agak lewat berbanding bintang rock sama generasinya pada usia 27 tahun, jadi dia perlu menampung hidup dengan pelbagai cara sambil meneruskan kerjaya muzik secara sambilan.

Beliau pernah bekerja dalam beberapa bidang berbeza tetapi mempunyai satu persamaan - makanan. Pada usia muda, Chris bekerja sebagai seorang pembantu jualan makanan laut menguruskan bekalan ke restoran-restoran.

Semasa permulaan pembentukan kugiran Soundgarden, Chris menampung diri bekerja sebagai tukang masak di dua buah restoran sekitar Capitol Hill sehinggalah Soundgarden ditandatangani oleh syarikat rakaman besar. Pada tahun 2007, Chris akhirnya mempunyai dana bagi memiliki restoran sendiri.

3. Ozzy Osbourne suka menyembelih haiwan

ozzy osbourne sembelih daging lapah

Salah seorang individu yang dikategorikan ikon besar dalam industri muzik dunia, Ozzy Osbourne kini bukan saja dikenali kerana muziknya malahan turut mempunyai rancangan realiti kekeluargaan sendiri.

Satu ketika dahulu sebelum usaha keras dalam bidang muziknya menampakkan hasil, Ozzy hanyalah sebahagian daripada generasi anak muda era 1960-an di England yang perlu berdepan dengan tekanan ekonomi. Jadi dia melakukan apa saja kerja yang dia dapat; sebagai seorang buruh, tukang baiki paip dan pekerja kilang kereta.

Tetapi dia menemui minatnya yang sebenar semasa bekerja sebagai seorang tukang sembelih haiwan. Dia mengaku sangat berminat melihat sendiri bagaimana haiwan yang hidup diproses menjadi daging mentah setiap hari.

Selain itu, Ozzy juga mengakui kerjaya sebagai tukang sembelih mudah kerana waktu kerjanya yang pendek. Dia hanya perlu menghabiskan kuota sembelihan setiap pagi yang biasanya tamat pada jam 10, membolehkan dia ada banyak masa terluang.

4. Eddie Vedder mengawal keselamatan hotel

eddie vedder bekas guard hotel

Sama seperti Ozzy Osbourne, Eddie Vedder vokalis kumpulan gergasi Pearl Jam perlu menampung hidup dengan pelbagai kerja. Dia bekerja sebagai pembantu stesen minyak, pekerja kedai runcit dan pelayan restoran.

Nasibnya mula berubah semasa Eddie bertugas menjadi pengawal keselamatan di sebuah hotel bernama La Valencia Hotel yang terletak di California. Ditawarkan kerja kontrak selama 2 tahun, Eddie bertugas di situ dari tahun 1988 sehinggalah 1990.

Bekerja dalam shif malam memberikan kesan pada Eddie. Setiap hari dia perlu berjaga malam, sehingga selesai shif pada jam 9 pagi. Pada penghujung kontrak, hasil daripada rakaman demonya - dia ditawarkan untuk menyertai sebuah kugiran yang berpusat di Seattle.

Eddie memberanikan diri melakukan penghijrahan ke Seattle yang terletak 1,200 km jaraknya dan nasibnya selepas itu berubah.

5. Serj Tankian merupakan seorang pemilik syarikat teknologi

serj tankian kerjaya awal

Berbeza dengan nama-nama lain dalam senarai ini, Serj Tankian vokalis kumpulan System of a Down datang daripada latar belakang keluarga pertengahan, membolehkannya mendapat pendidikan yang sempurna.

Keluarganya memilih untuk berpindah dari Lebanon ke Amerika Syarikat pada tahun 1975, membolehkan Serj memulakan pendidikan di sekolah masyarakat Armenia yang terletak di Los Angeles. Dia menyambung pengajian tinggi dalam bidang pemasaran dan perniagaan di California State University.

Tamat pengajian, Serj mencari pengalaman bekerja dalam beberapa industri perniagaan sebelum membuka sebuah syarikat teknologi sendiri secara kecil-kecilan, membangunkan perisian pengurusan yang dinamakan Proprietary Vertical Industry Modular Accounting Software.

Perisian tersebut dibangunkan bertujuan untuk membantu pengurusan akaun syarikat-syarikat pengeluar barang kemas dan produk besi, dengan beberapa syarikat di California menjadi pelanggan utama mereka.

Tidak lama selepas itu, dia bersama-sama dua kenalan dari sekolah rendahnya menubuhkan System of a Down atas minat mereka kepada muzik dan menjadi antara suara paling unik, dalam arena rock dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)