Oleh pada 21 Oct 2019 kategori

Industri muzik mampu melahirkan ikon-ikon dunia yang akhirnya menjadi ikutan masyarakat sekelip mata.

Namun disebalik ikon-ikon ini, pasti wujud elemen-elemen spiritualiti yang diketengahkan sama ada secara atau tidak sengaja - tanpa disedari atau tidak disedari peminat mereka.

Kumpulan rock khasnya gemar menyelitkan elemen-elemen spiritual atau aspek kerohanian ke dalam muzik dan ada juga yang terang-terang mengambil istilah atau kepercayaan sesuatu agama, untuk digunakan sebagai label mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Wujud banyak kumpulan rock yang menggunakan nama yang jelas diambil daripada pengaruh sesetengah agama dan berikut - adalah lima yang paling besar dalam sejarah industri muzik dunia.

1. Black Sabbath

black sabbath lawan acara shabbath

Black Sabbath adalah sebuah kumpulan metal dari England yang ditubuhkan pada tahun 1968.

Dianggap sebagai salah satu kumpulan berstatus legenda dalam industri hiburan, Black Sabbath sangat terkenal dengan persembahan mereka yang agak berunsurkan mistik.

Vokalis kumpulan itu, Ozzy Osbourne pernah menggigit dan memutuskan kepala seekor kelawar semasa mengadakan persembahan.

Kenapa mereka menggunakan nama Black Sabbath?

Ini kerana mereka mahu membawakan mesej yang berlawanan dengan apa yang dikatakan sebagai Sabbath, bagi orang Yahudi. Sabbath adalah hari di mana penganut agama Yahudi akan berehat serta lebih banyak mengamalkan ibadat mereka.

Disebut dalam bahagian permulaan Genesis dalam kitab Bible, hari Sabbath atau Shabbath merupakan hari ketujuh di mana mereka perlu berehat bermula daripada waktu senja hari Jumaat sehinggalah muncul tiga bintang di langit pada malam Sabtu.

Dalam dunia moden, sambutan Sabbath kini disertakan dengan program yang dinamakan sebagai Shabbaton di mana majlis pengisian ilmu akan dilakukan, melibatkan kumpulan penganut kecil atau lebih besar.

2. Lamb of God

lamb of god rujukan bible

Istilah 'Lamb of God' merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk Jesus Christ sendiri, menurut kepercayaan orang-orang Kristian.

Dalam John 1:29, Jesus disebutkan sebagai 'Lamb of God' akan bertanggungjawab menanggung kesemua keburukan dan kejahatan di muka bumi.

Dianggap sebagai salah satu pegangan asas dalam kepercayaan ajaran Kristian, istilah 'Lamb of God' boleh juga disebutkan dalam bahasa Latin 'Agnus Dei'.

Ekoran daripada elemen inilah kambing biri-biri dianggap sebagai salah satu simbol kesucian dan kebenaran ajaran Kristian, sering diguna menghiasi dinding dan tingkap gereja.

Kugiran metal Lamb of God pula merupakan sebuah kumpulan muzik keras yang memulakan karier dengan nama 'Burn the Priest.'

Bagaimanapun, ekoran rasa gusar dikaitkan sebagai sebuah kugiran pemuja syaitan - 'Burn the Priest' yang sempat mengeluarkan album pertama mereka dengan judul serupa memilih untuk menggunakan nama 'Lamb of God.'

3. Muse

muse sempena nama dewi yunani

Antara kugiran dari Britain yang berjaya memecah pasaran Amerika Syarikat seterusnya popular di seluruh dunia, Muse secara teknikalnya merupakan sebuah kumpulan muzik yang sangat mengagumkan.

Dari satu album ke satu album mereka tidak pernah statik serta tidak takut bereksperimentasi dalam menghasilkan melodi jenis baru.

Nama 'Muse' yang digunakan kugiran tersebut datangnya daripada kisah-kisah kepercayaan dan mitologi orang Yunani lama, berkisar kepada sekumpulan Dewi yang tinggal di Gunung Helicon, Greece ketika ini.

Dipercayai wujud dalam kelompok 9 orang, kumpulan Dewi Muse ini merupakan anak kepada Dewa Zeus serta Mnemosyne - dinamakan Calliope yang bertindak sebagai ketua mereka.

Lapan orang lagi 'Muse' adalah Euterpe, Clio, Thalia, Melpomene, Terpsichore, Erato, Polymnia dan Urania.

Setiap satu Dewi Muse membawakan perwatakan yang berbeza serta kerap kali dijadikan inspirasi kepada pembinaan ukiran-ukiran tugu masyarakat Yunani purba.

4. Avenged Sevenfold

avenged sevenfold nama elemen agama kristian

Avenged Sevenfold merupakan sebuah kumpulan metal daripada California yang terkenal serta mempunyai peminat di seluruh dunia.

Mula aktif sejak tahun 1999, pada mulanya genre yang dimainkan mereka lebih keras sebelum mula berubah menjadi lebih ringan selepas menandatangani kontrak dengan Warner Records.

Dari mana datangnya nama mereka?

Terma 'avenged sevenfold' merupakan istilah yang digunakan dalam kitab Bible - disebutkan secara khusus sebanyak 12 kali melibatkan kisah berkaitan anak-anak kepada pasangan Adam dan Eve, iaitu Cain dan Abel.

Selepas Cain melakukan pembunuhan pertama di dunia dengan membunuh adiknya Abel atas sebab dendam, Cain dihukum atas perbuatannya.

Dikatakan, salah seorang waris kepada Cain iaitu Lamech, generasi ke 6 keturunan Cain diingatkan agar tidak membalas dendam terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Cain.

Sekiranya Cain dihukum 7 kali seksaan, mereka yang membalas dendam bagi pihak Cain akan dihukum 77 kali seksaan yang diterima Cain. Dalam bahasa Hebrew/Ibrani, avenged sevenfold diterjemahkan sebagai 'naqam shibathayim.'

Kami rasa nama itu turut sesuai untuk dijadikan nama kumpulan metal di Malaysia.

5. Nirvana

maksud sebenar nirvana

'Nirvana' dipilih sebagai nama kumpulan mereka berikutan gambaran yang dibawa perkataan tersebut melambangkan ketenangan dan keindahan hakiki.

Walau bagaimanapun pada awalnya wujud dua kumpulan yang menggunakan istilah ini sebagai nama rasmi mereka, satu dari Seattle dan satu lagi kumpulan yang kurang terkenal namun muncul lebih awal pada tahun 1965; kini lebih dikenali sebagai 'British Nirvana.'

Apakah 'nirvana'?

Daripada aspek agama, 'nirvana' merupakan satu tahap yang didambakan penganut agama Buddha - diletakkan sebagai makam atau tahap tertinggi seseorang yang hidup di dunia yang membawa kepada kesucian diri.

Hanya dengan mencapai 'nirvana' atau 'nibbana' membolehkan seseorang mengalami kelahiran semula kali terakhir dalam keadaan jiwa yang tenang, gembira dan bersih tidak lagi terikat dengan kehendak dunia.

Seseorang yang telah mencapai tahap 'nirvana' dikategorikan kepada dua kumpulan.

Kumpulan pertama adalah mereka yang mencapai 'nirvana' semasa hidup, digelarkan sebagai 'sopdhisesa nibbana'. Kedua adalah mereka yang mencapainya selepas mati, dipanggil 'nir upadhisesa nibbana.'

Kedua-dua cabang ajaran Buddha iaitu cabang Thevarada dan Mahayana mempunyai kefahaman serta pandangan yang agak berbeza tentang tahap 'nirvana' sebenar yang mampu dicapai, serta  mempunyai kelainan pada bentuk penekanan yang difokuskan dan matlamat yang digalakkan cuba dicapai dalam mengejar 'nirvana.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)