Bagi mereka yang meminati muzik, peralatan-peralatan atau instrumen yang dimainkan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Di kalangan ibu bapa pun ramai yang menggalakkan anak-anak mereka untuk mempelajari instrumen, bagi membentuk disiplin selain daripada melatih kemahiran sekunder yang memberikan manfaat kepada individu.

Tetapi tak ramai ambil kisah kenapa peralatan muzik dinamakan sedemikian rupa kan? Mari kita pelajari kenapa lima (atau enam) alat muzik dinamakan dengan istilah seperti yang kita kenal sekarang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Bass

flea bassist pemain gitar bass

'Bass' atau lebih dikenali dengan nama penuhnya 'bass guitar', merupakan peralatan muzik yang menghasilkan irama yang dalam, memenuhi ruangan belakang sesuatu lagu. 

Dalam bahasa Melayu, 'bass' ditulis sebagai bes, mewakili mana-mana alat atau vokal bernada rendah. Istilah 'bass' diambil daripada istilah asal Latin 'bassus' yang membawa makna ' berada pada kedudukan rendah dan pendek'.

Dari aspek bahasa Inggeris, istilah 'bass' juga membawa makna serupa dengan 'base,' yang membawa makna sesuatu penyokong atau platform kepada sesuatu struktur, karangan atau komponen.

2. Dram

set dram lengkap

Dram dari istilah bahasa Melayu mempunyai makna alat muzik seperti gendang, yang perlu dipalu bagi menghasilkan bunyi melalui rongganya, selain bekas untuk mengisi sesuatu.

Istilah asal dram pula dipercayai datang daripada perkataan Jerman kuno 'trommel', merujuk kepada sesuatu perkakas yang mempunyai badan berongga serta biasanya dipasangkan membran seperti kulit binatang yang akan diketuk, bagi menghasilkan bunyi.

Istilah Inggeris 'drum' yang ada sekarang merupakan pinjaman istilah 'tromme', hasil evolusi istilah asal Jerman tersebut. Pada awalnya masyarakat Inggeris mengejanya sebagai 'drom' sebelum standard ejaan sekarang digunapakai.

3. Gitar ritma 

pemain gitar asal usul istilah

Sekiranya anda cuba terjemahkan 'rhythm guitar' kepada bahasa Melayu, bunyinya akan menjadi gitar ritma. 'Ritma' menurut kamus Dewan Bahasa merupakan urutan proses yang berulang dalam sela masa atau kiraan tetap, secara teratur.

Seorang pemain gitar ritma akan memainkan not-not sokongan kepada lagu, menjadi pelengkap kepada muzik yang terhasil. 'Rhythm' merupakan istilah pinjaman dari bahasa Yunani 'rhythmos', merujuk kepada pergerakan yang tersusun, mengikut skala masa yang sekata.

'Rhythm' tidak semestinya hanya merujuk kepada muzik sahaja, sebaliknya boleh juga dirujuk untuk menunjukkan selang masa peristiwa atau kejadian.

4. Gitar utama 'lead guitar'

lead guitar gitaris handal

Dari aspek bahasa Melayu, pemain gitar yang memainkan melodi-melodi kompleks serta 'lari' daripada struktur lagu dinamakan sebagai pemain gitar utama atau 'lead guitar.'

'Lead' merupakan istilah yang diambil daripada istilah Jerman Kuno 'galiden', yang sebenarnya membawa makna bergerak atau ke satu lokasi berbeza.

Hanya selepas penggunaan istilah 'laedan' pada era Inggeris Kuno barulah perkataan tersebut ditambah untuk merujuk kepada tindakan mengetuai atau mendahului pergerakan, dari satu lokasi ke satu lokasi berbeza.

5. Plektrum

plektrum gitar instrumen

Tak sah untuk membicarakan berkenaan alat muzik gita, sekiranya kita tidak juga menyentuh berkenaan peralatan yang jarang diperkatakan - iaitu plektrum, juga dikenali sebagai 'guitar pick.'

Perkakas kecil yang biasanya diperbuat daripada bahan seperti plastik atau logam ini dinamakan daripada istilah 'plek', kata kerja bahasa Yunani yang merujuk kepada perbuatan memetik atau menggerakkan sesuatu.

Istilah tersebut mula digunakan bagi merujuk kepada peralatan atau perkakas yang digunakan untuk memetik tali instrumen semasa pembentukan istilah Latin 'plectra' sebelum mula digunakan secara meluas dalam industri muzik sebagai teman khas kepada pemain gitar yang selalu hilang apabila diperlukan.

6. Gitar

gitar elektrik popular

Untuk bahagian terakhir, kita cuba melihat dari mana datangnya istilah 'gitar' itu sendiri.

Dalam sejarah dunia, terdapat banyak versi ejaan gitar yang berbeza, seperti guitarra, gittar, guitarre dan giterne - bergantung kepada masyarakat yang menggunakannya.

Istilah 'gitar' atau 'guitar' sebenarnya dipercayai adalah pinjaman istilah 'sihtar', sebuah istilah Parsi lama merujuk kepada sejenis alat muzik bertali. 'Sihtar' mempunyai maknanya yang tersendiri.

'Sih' membawa makna '3' sementara 'tar' bermaksud tali, jadi 'sihtar' bermakna alat muzik yang mempunyai 3 tali untuk dimainkan. 

Istilah Inggeris yang ada sekarang merupakan pinjaman daripada istilah Perancis 'guitare', sebelum diubah suai ejaannya agar selari dengan standard moden bahasa Inggeris sekitar awal abad ke 17.

Sekiranya anda mengkaji peralatan muzik, pasti anda akan mengetahui tentang dua instrumen berbeza iaitu gitar dan sitar. Walaupun sekarang ini agak jauh berbeza, realitinya kedua-duanya mempunyai asal-usul yang sama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)