Kisah-kisah kreatif kumpulan muzik memilih nama mereka sangat seronok untuk dibicarakan. Ada yang sekadar memilih daripada perkataan yang ditemui, ada yang mendapat inspirasi tertentu yang dijadikan petunjuk kepada pilihan masing-masing.

Ada kalanya barang-barang disekeliling mereka menjadi idea yang akhirnya menjadikan mereka terkenal di seluruh dunia. Berikut adalah lima kisah ringkas bagaimana lima buah kumpulan rock terkenal dunia mendapat ilham menamakan kumpulan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Green Day

green day

Kumpulan Green Day merupakan antara kumpulan rock terbesar di dunia ketika ini. Mula mendapat perhatian masyarakat dunia selepas kejayaan album 'Dookie' yang terbit pada tahun 1994 dengan single 'When I Come Around' yang menjadi siulan anak muda seluruh dunia, pasti ramai tidak menyedari nama kumpulan ini sebenarnya berasal daripada satu tabiat negatif.

Pada awalnya, Green Day menggunakan nama Sweet Children (?) semasa merakamkan demo pertama mereka pada tahun 1989 dan menukarkannya secara rasmi pada tahun 1990 kepada Green Day. Istilah 'Green Day' itu merupakan slanga masyarakat di kawasan mereka berkenaan hari-hari di mana seseorang itu melepak sepanjang masa sambil menghisap ganja.

Istilah itu diperkenalkan oleh rakannya kepada Billie Joe, vokalis kumpulan Green Day semasa mereka berehat di dalam sebuah bilik bawah tanah di Universiti Berkeley sambil khayal. Billie mencipta sebuah lagu berjudul 'Green Day' menceritakan tentang pengalamannya menghisap ganja kali pertama sebelum menggunakan nama kugirannya kepada Green Day secara rasmi.

2. AC/DC

acdc

Nama kumpulan rock gergasi ini sangat mudah diingati serta logonya menjadi antara logo paling banyak dicetak di atas t-shirt pakaian anak muda.

Kisah bagaimana kugiran ini mendapat nama mereka agak kelakar, kerana kisahnya langsung tidak mempunyai sebarang sifat 'rock and roll' di dalamnya. Semasa memulakan idea mahu menubuhkan kugiran, adik beradik Malcolm dan Angus Young tidak ada idea yang baik untuk menamakan kugiran mereka.

Adik mereka, Margaret terlihat ada label pada mesin jahit milik keluarga mereka yang tertulis AC/DC mewakili kepada bentuk litar yang boleh digunakan mesin jahit itu iaitu 'Alternating Current/ Direct Current.'

Mengambil inspirasi daripada jenis litar elektrik mesin jahit itu, mereka berdua menggunakan singkatan itu dan meletakkan logo petir pada nama kugiran mereka, supaya menonjolkan simbol tenaga yang mereka ada.

3. Avenged Sevenfold

avenged sevenfold

Avenged Sevenfold merupakan antara kugiran metal terbesar dunia ketika ini. Memulakan karier dengan memainkan lagu-lagu berentak metalcore, muzik Avenged Sevenfold mula matang dengan kemasukan elemen hard rock yang memberikan melodi baru, membuka penerimaan lebih besar masyarakat terhadap muzik mereka.

Nama Avenged Sevenfold diambil daripada kisah yang terkandung dalam kitab Bible berkenaan cerita tentang adik beradik Cain dan Abel, anak kepada Adam dan Eve. Dalam petikan yang diambil daripada bab Genesis 4:24 itu, ayatnya berbunyi ""If Cain shall be avenged sevenfold, Truly Lamech seventy and sevenfold."

Walaupun diinspirasikan oleh ajaran Kristian, mereka mengakui sebenarnya mereka jarang membaca Bible.

4. Weezer

weezer nama

Weezer mengalami naik turun karier muzik yang sangat panjang dan telah melalui banyak fasa perubahan, menyebabkan perbezaan pendapat serta perbincangan hangat di kalangan peminat mereka.

Kisah bagaimana kugiran ini mendapat namanya merupakan sebuah kisah yang menggelikan hati. Selepas menyertai beberapa kumpulan lain yang tidak panjang usianya, kesemua ahli kumpulan mereka meneruskan percubaan menjadi pemuzik tanpa nama kugiran yang asli. Diberikan peluang untuk melakukan persembahan pembukaan semasa sesi konsert kumpulan Dogstar yang menampilkan Keanu Reeves, mereka diminta memberikan nama.

Vokalis kumpulan itu, Rivers Cuomo mencadangkan nama 'Weezer' kerana itu adalah nama ejekan yang diberikan kepadanya semasa zaman persekolah kerana dia mempunyai penyakit lelah. Oleh kerana dia sentiasa perlu mengambil ubat lelah, dia digelarkan seorang 'weezer.' Mereka terpaksa bersetuju dengan nama itu kerana tidak ada nama lain yang lebih sesuai dan Weezer berkembang menjadi antara kugiran paling berpengaruh dunia sehingga kini.

5. Iron Maiden

ironmaiden nama iron maiden

Nama 'Iron Maiden' sebenarnya diinspirasikan daripada filem 'The Man in the Iron Mask' hasil novel tulisan Alexandre Dumas. Dalam filem tersebut, disebutkan berkenaan sejenis alat penyeksaan berupa seperti keranda besi yang digunakan bagi membunuh pesalah pada zaman tersebut.

Pesalah akan ditempatkan di dalamnya yang mengandungi besi-besi tajam dan keranda itu akan dikuncikan sebagai hukuman ke atas kesalahan yang telah dilakukan.

Walaupun alat penyeksaan 'iron maiden' ini sebenarnya hanyalah satu mitos yang popular, sehinggakan ramai percaya ia benar-benar pernah digunakan. Mengambil inspirasi daripada alat fiksyen tersebut, Steve Harris pengasas kepada kumpulan tersebut menggunakan nama tersebut sebagai nama kugirannya.

Ketika populariti mereka semasa era 80-an dan 90-an dulu, di Malaysia mereka dikenali dengan nama 'Iron Maidin.' Kami pasti nama itu tidak ada kaitan dengan pasaraya Mydin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)