Bahasa Melayu seperti yang semua sudah sedia maklum, banyak meminjam istilah-istilah daripada beberapa bahasa besar dunia seperti Sanskrit, Inggeris dan Arab. Bahasa Arab merupakan antara penyumbang terbesar perkataan yang dipinjamkan ke Bahasa Melayu.

Banyak perkataan bahasa Arab diterjemahkan dan diubah ejaannya untuk disesuaikan penggunaannya dengan pertuturan orang Melayu zaman dahulu. Pengaruh Islam memainkan peranan yang sangat besar memperkembangkan lagi pertukaran istilah Arab ke bahasa Melayu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, ada masanya berlaku perubahan disebabkan perbezaan kefahaman bahasa sehingga makna asal perkataan itu mempunyai perbezaan yang samar-samar. Berikut adalah beberapa perkataan asal Arab yang biasa kita gunakan tetapi mempunyai makna yang berbeza berbanding perkataan asalnya.

1. "Alim"

tanda dahi alim

Kita selalu sebut 'orang alim' atau 'individu alim' dan kita mempunyai takrifan yang agak cetek tentang apa definisi sebenar 'alim' itu.

'Alim' daripada segi bahasa membawa beberapa makna, seperti berilmu, pandai dalam hal agama dan soleh. Perkataan 'alim' yang datang daripada bahasa Arab sebenarnya diambil daripada perkataan penuh 'alima-ya'lamu' yang membawa maksud 'seseorang yang tahu.'

'Alim' sebenarnya tidaklah bersifat khusus hanya mewakili seseorang yang pandai ilmu agama semata-mata, kerana 'alim' lebih sesuai digunakan secara am.

2. "Ulama"

ulama nik aziz

Berkait dengan perkataan 'alim',' perkataan 'ulama' juga sering disalah ertikan masyarakat Melayu negara kita. Salah tanggapan ini sering membuatkan kita tersalah sangka orang yang alim adalah orang yang berilmu dalam hal agama, sementara ulama pula merujuk kepada pakar-pakar ilmu agama.

Sama seperti 'alim', makna perkataan 'ulama' juga sepatutnya dibuka lebih luas, mewakili sekumpulan individu yang berilmu dalam bidang mereka bukan setakat bidang agama, tetapi juga boleh merangkumi sebarang cabang ilmu seperti ilmu sains, teknologi dan literatur. Sekiranya kita rujuk surah al-Fatir ayat 28, perkataan 'ulama' yang jelas disebutkan perkataan tersebut, membawa makna 'mereka yang mempunyai pengetahuan.'

Jadi, berdasarkan kepada huraian ini, harus dimengertikan bahawa takrifan 'alim ulama' sebenarnya lebih luas berbanding penggunaan yang biasa kita amalkan. Seseorang itu layak digelarkan 'alim ulama' walaupun bidang pengajiannya bukan bidang agama asalkan dia mengamalkan sifat-sifat takwa dalam dirinya.

Sementara seseorang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang agama tetapi tidak menunjukkan sifat takwa tidak layak digelarkan alim ulama kerana sifatnya jelas menunjukkan dia bukan seorang yang alim atau tahu.

3. "Mubaligh"

ustaz somad indonesia mubaligh

Sebut saja perkataan 'mubaligh' yang selalu kita dengar adalah 'mubaligh Kristian' sedangkan perkataan itu mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan Islam.

'Mubaligh' berasal daripada perkataan 'balagh' yang membawa makna 'penyampai yang menyampaikan'. Perkataan 'mubaligh' boleh membawa beberapa konteks berbeza dengan pemahaman umum adalah mereka yang menyebarkan agama, baik Islam atau agama lain.

Jika kita merujuk kamus, perkataan 'mubaligh' juga membawa makna 'individu yang mengubungkan makmum dengan imam' iaitu mereka yang memperkuatkan ucapan 'Allahuakbar' setiap kali gerakan solat, berikutan Imam yang bersuara perlahan bagi membolehkan jemaah di belakang solat dengan sempurna.

Perkataan 'mubaligh' memang sepatutnya difahami sebagai seseorang penyampai atau pendakwah namun skopnya perlu lebih luas dan bukannya hanya terlitup dari segi definisi seseorang yang 'kerjanya berdakwah.' Asalkan seseorang itu berdakwah secara sengaja atau tidak sengaja dan menyampaikan pengetahuan tentang agama, dia boleh didefinisikan sebagai seorang mubaligh.

Penggunaan perkataan 'mubaligh' untuk pendakwah agama lain tidaklah salah. Besar kemungkinan satu masa dulu masyarakat kita tidak tahu apa perkataan lain yang boleh menterjemahkan perkataan 'missionary', jadi perkataan 'mubaligh' digunakan bagi memudahkan kita faham 'missionary' adalah 'orang yang menyampaikan ajaran Kristian.'

4. "Fatwa" dan "Petua"

mufti wilayah

Tahukah anda daripada mana datangnya perkataan 'petua'? Perkataan petua sebenarnya diambil daripada perkataan 'fatwa' namun 'petua' mempunyai makna yang sangat berbeza berbanding perkataan asalnya.

'Fatwa' merujuk kepada undang-undang atau peraturan yang diputuskan oleh kumpulan mufti atau sekumpulan ulama' yang dilantik. Sementara petua pula boleh bermaksud kepercayaan turun-temurun yang diamalkan, pegangan atau dalam bahasa modennya 'tips' - tanpa perlu ada elemen agama di dalamnya.

Perkataan 'fatwa' datang daripada perkataan dasar 'fata-yaftu-fatwan' yang membawa makna 'membuat hukum atau membuat keputusan', yang mampu menjawab apa saja masalah berkait dengan syariat dalam sesebuah masyarakat.

Tidak dapat dipastikan bilakah perkataan 'petua' diambil untuk digunakan bagi merujuk sesuatu yang sangat berbeza berbanding perkataan asalnya. Apa yang menyedihkan, zaman sekarang ini - ramai orang lebih terikut dengan petua berbanding dengan fatwa. Walau apa pun, harapnya kita tidaklah terkeliru dan mencampur adukkan 'petua' ke dalam 'fatwa.'

5. "Rujuk"

pasangan rujuk cerai

Sebut saja 'rujuk' akan ada dua perkara yang biasa kita bayangkan iaitu 'tindakan menyambung kembali ikatan perkahwinan setelah perceraian' ataupun 'mencari maklumat daripada bahan bacaan. Diambil daripada perkataan asal 'Raja’a Yarji’u Rujuu’an waraja’atan' yang bermakna 'kembali'.

Bagaimanapun, oleh kerana penggunaan bahasa Melayu sudah membiasakan perkataan 'rujuk' digunakan bagi tujuan menjelaskan urusan berbaik semula selepas perceraian, skop untuk makna 'rujuk' dalam Bahasa Melayu menjadi lebih sempit berbanding perkataan asalnya yang membawa makna lebih besar.

Secara asalnya, perbuatan kembali ke rumah boleh juga disebutkan sebagai 'rujuk' dalam konteks bahasa Arab, namun perubahan yang telah dilakukan menukar makna perkataan ini berkemungkinan besar bagi memudahkan pemahaman di kalangan ahli masyarakat.

Rujukan

Journal of International and Comparative Education University of Malaya (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)