Pasti tidak ramai yang menyangka sebuah filem kuasi-fiksyen sejarah kini bergelar filem paling tinggi kutipannya dalam industri perfileman Malaysia.
Kejayaan filem 'Mat Kilau' merupakan satu perubahan yang telah lama dinanti-nantikan peminat filem tempatan, menjadi penanda yang membuktikan minat dan citarasa masyarakat terhadap filem sejarah tetap ada; sekiranya karya yang dihidang kena dengan selera kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Selain kisah Mat Kilau, sejarah negara kita juga punya banyak peristiwa menarik dan kontroversi seandainya difilemkan yang pasti hebat hasilnya. Berikut adalah lima peristiwa bersejarah masyarakat kita yang layak untuk difilemkan.
1. Peristiwa Sook Ching
Dalam lipatan sejarah negara kita, Peristiwa Sook Ching agak kurang popular diperkatakan - mungkin kerana sejarah ini lebih berkait rapat dengan masyarakat Cina di Tanah Melayu, dijadikan sasaran tentera Jepun.
'Sook Ching' atau 'pembersihan etnik' adalah nama gelaran kepada operasi besar-besaran tentera Jepun yang dijalankan di Singapura bermula 21 Februari sehinggalah 4 Mac tahun 1942, bertujuan untuk memburu dan membunuh mana-mana individu lelaki Cina berusia 18 hingga 50 tahun yang didakwa anti Jepun.
Bagaimanapun operasi itu jelas sekali tidak hanya terhad kepada kumpulan itu, menyebabkan jumlah kematian 5,000 menurut laporan rasmi dari pihak Jepun ataupun 50,000 lelaki Cina menurut sumber tidak rasmi.
Individu lelaki Cina dikumpulkan dan diperiksa oleh unit Kempeitai, polis tentera Jepun untuk ditentukan status mereka. Sesiapa saja yang disyaki akan dibawa ke lokasi pembunuhan yang terletak di Punggol, Changi dan Tanah Merah.
Mereka ditembak bertalu-talu. Rujuk gambar di atas.
Jeneral Yamashita - individu yang mengetuai pendudukan Singapura bagi pihak kerajaan Jepun menafikan wujud arahan khas operasi ini dikeluarkan. Sebaliknya dia menyalahkan sesetengah kumpulan tentera Jepun yang bertindak sendiri serta melampau dalam menjalankan arahan yang diterima.
2. Pencerobohan Lahad Datu
Dalam tahun 2013, sebuah filem yang didakwa dihasil berdasarkan kepada peristiwa pencerobohan Lahad Datu, Sabah oleh sekumpulan pejuang pembebasan mula dihasilkan. Namun pengarah filem berjudul 'Patriot' itu sendiri menafikan filemnya berkait dengan insiden tersebut.
Ini bermakna secara rasmi belum ada mana-mana karya cuba memaparkan insiden pencerobohan Lahad Datu oleh pasukan tentera bergelar Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara pada tarikh 9 Februari 2013, dalam bentuk filem.
Peristiwa ini bermula selepas sekumpulan pengikut kepada individu yang mengaku dirinya waris sah Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu - sebagai usaha untuk menekan kerajaan Malaysia agar mengembalikan Sabah kepada pewaris asalnya.
Usaha untuk berunding dengan kumpulan ini selama beberapa minggu gagal menemui penyelesaian.
Sehinggalah satu insiden di mana beberapa orang anggota polis yang berkawal, terbunuh dalam pertempuran tanggal 1 Mac 2013. Sebagai tindak balas serta usaha menamatkan konflik yang enggan dipanjangkan lagi, pihak tentera memulakan operasi yang dinamakan Op DAULAT pada 5 Mac 2013.
PDRM dan ATM bekerjasama dalam Ops DAULAT
Hasil serangan udara dan darat yang tersusun, pasukan penceroboh berjaya dileraikan kedudukan mereka serta mengalami banyak korban nyawa.
Selepas beberapa insiden pertempuran kecil yang berlaku di antara pasukan keselamatan negara kita dengan kumpulan penceroboh yang cuba menyelamatkan diri, Op DAULAT ditamatkan secara rasmi pada 24 Mac 2013.
Jamalul Kiram III meninggal dunia pada 21 Oktober 2013 akibat kegagalan buah pinggang dan perjuangan beliau untuk menuntut semula Sabah dipercayai diteruskan waris beliau.
3. Peristiwa Memali
Sehingga ke hari ini tragedi Memali terus menimbulkan perdebatan hangat di kalangan ahli masyarakat, yang mempunyai perspektif masing-masing dalam menilai tragedi tersebut.
Populariti seorang pemimpin agama setempat bernama Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya mengundang rasa kurang senang beberapa orang individu dalam kerajaan, disebabkan oleh aliran politik beliau yang berbeza.
Allahyarham Ibrahim seorang lulusan dari Libya dan Universiti al-Azhar di Mesir didakwa membawa dakyah ajaran sesat serta mampu menjadi ancaman kepada ketenteraman masyarakat.
Atas tuduhan tersebut, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada bulan September 1984. Namun keengganan beliau untuk menyerah diri menyebabkan Ibrahim melarikan diri sehinggalah pasukan polis berjaya mengepung beliau di rumahnya, sekitar awal pagi tanggal 19 November 1985.
Dilindungi penduduk kampung, pertempuran di antara penduduk Kampung Memali yang terletak di Baling, Kedah berkesudahan dengan 14 orang kampung termasuklah Ibrahim dan 4 orang anggota polis terkorban.
Tragedi ini terus menghantui pentadbiran kerajaan, disebabkan oleh bermacam dakwaan yang timbul serta pengakuan sendiri mereka yang terlibat dalam operasi itu yang dikatakan dijalankan hanya atas dasar politik, berbanding keselamatan negara.
4. Zaman Konfrontasi Indonesia
Salah satu peristiwa yang mengeruhkan hubungan diplomatik di antara Malaysia (ketika itu Malaya) dan Indonesia, adalah konfrontasi Indonesia yang diisytiharkan pada 25 September 1963.
Ini semua berlaku ekoran kerajaan Malaya mahu menubuhkan sebuah persekutuan dengan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu kuasa pentadbiran - yang disifatkan Indonesia sebagai meneruskan legasi kolonial di Asia Tenggara.
Indonesia bertindak mewujudkan sekatan ekonomi dan hubungan diplomatik dalam usaha memastikan hasrat itu tidak berhasil. Namun kedegilan Malaya untuk meneruskan hasrat mengakibatkan tentera Indonesia mula menceroboh masuk beberapa kawasan strategik, bagi mencipta tekanan.
Beberapa pertempuran di antara tentera Indonesia berdepan Askar Melayu yang disokong tentera British mula berlaku.
Insiden itu berakhir selepas satu pemberontakan dalaman di Indonesia berlaku sehingga mengakibatkan Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno kehilangan kuasa dan sokongan apabila 6 orang kuatnya yang berpangkat pegawai tinggi tentera mati dibunuh.
5. Insiden 13 Mei 1969
Di antara banyak topik sejarah, peristiwa pertembungan etnik orang Melayu dan Cina yang berlaku di Kuala Lumpur tanggal 13 Mei 1969 pasti merupakan antara momen sejarah paling sukar untuk difilemkan.
Ini kerana apabila kita membicarakan berkenaan peristiwa ini, wujud terlalu banyak perspektif, cerita dan pandangan berbeza yang akhirnya tetap gagal merungkai siapa baik dan siapa jahat dalam kisahnya.
Kita semua tahu puncanya. Dalam pilihan raya yang dijalankan, parti Perikatan (kini Barisan Nasional) hanya berjaya memenangi majoriti mudah, gagal mendapatkan jumlah 2/3 yang diidamkan. Kejayaan parti politik pembangkang seperti DAP, GERAKAN dan PAS memenangi kerusi menjadi satu tamparan besar kepada kerajaan.
Bagaimanapun ada segelintir penyokong fanatik parti politik khasnya dari kaum Cina, yang berlebih-lebih dalam meraikan kemenangan ini - khasnya di Kuala Lumpur di mana berlaku beberapa insiden provokasi di kawasan bermajoriti masyarakat Melayu.
Bagi melawan provokasi itu, satu perhimpunan yang diserta orang-orang Melayu anjuran Menteri Besar Selangor, Dato' Harun Idris dirangka.
Dalam suasana yang sudah sedia tegang, beberapa insiden kecil yang berlaku membawa kepada pergaduhan lebih besar sehinggalah merebak ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur memaksa Rejimen Askar Melayu turun padang mengawal situasi.