Teknologi sudah membawa permainan video ke satu tahap yang sangat tinggi, sehingga mampu menghasilkan grafik yang semakin mirip dengan dunia nyata, kesan bunyi keliling yang membolehkan arah di kesan hanya dengan telinga serta kualiti permainan yang semakin lama, semakin berkembang konsepnya.

Peminat videogame sejak mula pasti belum mampu membayangkan betapa luasnya teknologi permainan video berkembang, daripada grafik ringkas berbentuk piksel yang hanya mempunyai satu warna - sehinggakan pada zaman sekarang, kita sudah mempunyai sistem grafik yang mampu melakukan perkiraan bagaimana simulasi cahaya dihasilkan secara realistik, dengan bersahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap satu pasti ada permulaannya termasuklah judul-judul permainan videogame. Berikut adalah lima judul videogame yang pertama, dalam sejarah permainan video yang menjadi kegilaan jutaan individu di seluruh dunia.

1. Permainan video pertama

tennis for two a9j49

Permainan video pertama di dunia dihasilkan pada tahun 1958, oleh seorang ahli fizik bernama William Higinbotham. Mendapat inspirasi daripada permainan tenis, Higinbotham menghasilkan permainan yang sangat popular di kalangan rakan sekerjanya, ketika itu di Brookhaven National Laboratory.

Perpustakaan tersebut kerap kali mengadakan acara yang dibuka kepada pelawat tetapi maklumlah, sebuah perpustakaan - apa sangatlah yang boleh dipamerkan. Melihat masalah itu, Higinbotham memikirkan cara untuk menghasilkan tarikan yang bersifat lebih interaktif.

Dengan menggunakan alat bernama osciliokop yang mampu menghasilkan lengkungan dalam bentuk visual, Higinbotham serta rakannya bernama Robert Dvorak, seorang jurutera mengubah suai mesin itu untuk membolehkan visualnya dikawal. Dengan paparan sebesar 5 inci yang hanya mempunyai satu warna - permainan itu yang dinamakan 'Tennis for Two' menjadi tarikan utama pameran. Ramai ke perpustakaan ketika itu.

2. Konsol permainan video pertama dunia

magnavox odyssey a9j43

Generasi pertama permainan video memang mempunyai idea yang sangat terhad, disebabkan kekangan teknologi yang ada ketika itu. Idea untuk mewujudkan televisyen yang interaktif sebenarnya sudah dimulakan pada tahun 1951 namun hanya pada tahun 1966, prototaip pertama televisyen yang mempunyai paparan mampu dikawal dihasilkan.

Daripada prototaip pertama sehinggalah prototaip ketujuh pada tahun 1969, barulah pasukan yang diketuai oleh Ralph Baer merasakan teknologi yang ada cukup baik untuk dijual secara komersial. Mereka membawa rekaan mereka kepada sebuah syarikat bernama Magnavox untuk dihasilkan. Magnavox bersetuju tetapi beberapa modifikasi dilakukan bagi membolehkan konsol itu dijual secara besar-besaran - dinamakan sebagai Magnavox Odyssey.

Odyssey mula dipasarkan pada tahun 1972, menerima pesanan lebih 50,000 unit pada harga $99 atau $50 sekiranya dibeli sekali dengan televisyen jenama Magnavox. Tidak diketahui dengan tepat berapa unit terjual, dianggarkan sekitar 100,000 ke 125,000 keseluruhannya. Penerimaan terhadap konsol itu rendah dipercayai berpunca daripada harganya yang agak mahal, pada ketika itu.

3. Pembangun judul permainan pihak ketiga pertama dunia

activision penerbit game third party

Tika generasi pertama konsol permainan video, kebanyakan perkakasan akan datang siap dengan perisian yang biasanya dibangunkan sendiri oleh pengeluar konsol dengan bantuan studio penerbitan. Bagaimanapun, trend ini mula berubah selepas tertubuhnya sebuah syarikat yang bernama Acitivision pada tahun 1979.

Wujud krisis di antara syarikat gergasi konsol permainan video ketika itu iaitu Atari dengan beberapa orang penerbit perisian yang digunakan, disebabkan oleh layanan Atari terhadap mereka yang dianggap sebagai pekerja tanpa diberikan hak perkongsian atau royalti ke atas mana-mana judul yang mereka bangunkan.

Selepas permintaan mereka ditolak, David Crane, Larry Kaplan, Alan Miller dan Bob Whitehead memilih untuk menubuhkan sendiri studio tanpa ada kaitan dengan mana-mana pengeluar konsol permainan video dengan nama Computer Arts Inc. secara sementara, sebelum memilih nama Activision iaitu gabungan Active dan Television sebagai nama mereka. Kini Activision masih aktif, kekal sebagai salah satu rumah studio terbesar dunia.

4. Permainan pertama mempunyai grafik 3-dimensi

mazegame guna kaset tape

Sebelum wujudnya sistem grafik menggunakan bentuk-bentuk legap yang dinamakan sebagai 'poligon', penghasilan grafik dilakukan dengan menggunakan kaedah lukisan 2 dimensi atau hanya sekadar menggunakan bentuk geometri asas.

Grafik 3 dimensi mula menjadi popular selepas diperkenalkan kepada pengguna komputer sebelum Sony Playstation menjadikan grafik 3 dimensi satu norma dalam pembangunan permainan video. Bagaimanapun, pembangunan grafik 3 dimensi pertama dalam judul permainan video sebenarnya sudah bermula pada tahun 1978, dengan penerbitan sebuah judul bernama 'Maze Game' untuk sistem komputer Apple II.

Diterbitkan oleh sebuah syarikat bernama Muse Software, permainan ini dibangunkan oleh seorang pengaturcara bernama Silas Warner -'Maze Game' memaparkan grafik yang sangat ringkas sekiranya dibandingkan dengan apa yang ada sekarang, tetapi kemampuan menghasilkan perspektif seolah-olah kita sedang berdiri dalam ruangan maya, merupakan sesuatu yang sangat menakjubkan ketika itu.

5. Judul pertama mampu dimainkan atas talian

game online pertama dunia

Sebut saja permainan video zaman sekarang, semuanya pasti mempunyai fungsi untuk dimainkan atas talian. Kita bernasib baik dapat merasai faedah infrastruktur yang sangat canggih, berbeza dengan 30 atau 40 tahun lepas. Bagaimanapun, kekangan teknologi tidak menghalang dua orang rakan iaitu John Taylor dan Kelton Flinn daripada Universiti Virginia - membangunkan sebuah judul permainan yang dinamakan 'Dungeon of Kesmai' yang mampu dimainkan enam orang serentak pada tahun 1980.

Tidak puas dengan itu, mereka menubuhkan sebuah syarikat pada tahun pada tahun 1982, mengeluarkan versi judul pengembaraan mereka yang telah tambah baik, dinamakan sebagai 'Island of Kesmai'. Versi ini mampu menampung input daripada 100 orang pemain serentak.

Oleh kerana komunikasi mempunyai kos yang agak tinggi pada zaman tersebut, judul itu diberikan sahaja secara percuma tetapi pemain perlu membeli pek-pek data yang dijual supaya hubungan di antara pemain dengan pelayar (server) dapat dilakukan. Untuk bermain, seorang pemain perlu membelanjakan sekurang-kurangnya $6 sejam bagi membolehkan hubungan aktif.

Setiap arahan yang dikeluarkan pemain memerlukan masa 10 saat untuk diproses dan setiap satu arahan, akan menggunakan 1.75 sen dalam tempoh sejam sekiranya pemain bermain dengan konsisten.




Hakcipta iluminasi.com (2017)