Oleh pada 04 Nov 2022 kategori

Setiap negara mempunyai struktur pentadbiran, yang menyumbang kepada pembentukan sesebuah kerajaan - dibentuk daripada individu yang dipilih atau mereka yang sudah ditentukan kedudukannya.

Sesebuah kerajaan pula mempunyai satu individu bertindak sebagai ketua kerajaan, bertanggungjawab melantik individu di bawah mereka bagi membentuk dasar dan mentadbir dalam satu organisasi yang sama. Di seluruh dunia, kerusi nombor 1 yang bakal bertindak sebagai ketua kerajaan menjadi idaman ahli politik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada negara memanggil ketua mereka sebagai Presiden. Kita di Malaysia pula menggelar individu itu sebagai Perdana Menteri. Ada juga negara yang menggelar ketua mereka canselor. Berikut adalah asal-usul lima nama jawatan pemerintah tertinggi kerajaan yang ada.

1. Perdana Menteri

seorang perdana menteri

Kita semua tahu di negara kita, ketua kerajaan digelarkan sebagai 'Perdana Menteri' walaupun dalam aspek tatabahasanya, istilah yang betul adalah 'Menteri Perdana.' Tak apalah, kita pejamkan saja mata kita. 

'Perdana Menteri' atau 'Prime Minister' merupakan gelaran yang biasa digunakan merujuk ketua kerajaan yang mengetuai bidang eksekutif sesebuah negara, dengan seorang ketua negara (YDP Agong bagi kita) duduk di atas sekali.

Istilah ini hadir daripada istilah premier ministre yang digunakan oleh kerajaan Perancis, bagi merujuk individu yang mengelola semua urusan pentadbiran yang mempunyai kuasa untuk menasihatkan Raja Perancis dalam membuat dasar. 

Seorang paderi, Cardinal Richelieu dilantik sebagai premier ministre pertama dalam sistem kerajaan Perancis ini, bertanggungjawab menasihatkan Raja Louis XIII selepas lantikan beliau pada tahun 1624.

Mengetuai badan penasihat yang dinamakan Conseil du Roi (Majlis Penasihat Raja), Richelieu menggunakan kedudukannya untuk membantu memusatkan kuasa Perancis di Eropah serta mengukuhkan lagi genggaman Raja Louis XIII selepas perebutan kuasa di antara Louis dengan ibunya sendiri Marie.

2. Presiden

potus usa amerika syarikat presiden

Bagi negara-negara yang ditadbir dalam sistem republik, ketua kepada sesebuah negara biasanya digelarkan sebagai Presiden. Bagaimanapun, bukan semua negara mengamalkan sistem serupa. 

Negara seperti Amerika Syarikat memusatkan kuasa sepenuhnya kepada Presiden negara mereka, yang bertindak bukan saja sebagai ketua kerajaan bahkan turut sama menjadi ketua negara dipilih melalui proses pilihanraya. Selain Amerika Syarikat, Brazil, Indonesia, Turki dan Filipina mengamalkan sistem sama.

Negara seperti Singapura pula mempunyai Presiden yang juga dilantik melalui pemilihan presiden, namun individu yang memiliki kuasa sebenar pemerintahan adalah Perdana Menteri. Ada negara yang mempunyai Presiden dan Perdana Menteri, tetapi kuasa sebenar jatuh ke tangan presiden seperti Korea Selatan, Tunisia, UAE, Argentina dan banyak negara lain.

'Presiden' atau 'President' dalam bahasa Inggeris, datang daripada istilah Latin 'praesidentum' yang membawa makna 'seseorang yang terpilih untuk memegang kuasa mentadbir.'

Istilah ini diperkenalkan ke dalam bahasa Inggeris sekitar abad ke 14 namun hanya mula digunakan oleh pemimpin koloni Eropah di benua Amerika sekitar awal abad ke 17 sebelum digunakan bagi mewakili ketua kerajaan Amerika Syarikat.

3. Pengerusi

chairman mao pengerusi

Dalam sesetengah bentuk kerajaan di mana sesebuah parti politik memegang kuasa mutlak mentadbir, ketua kepada parti itu yang biasanya digelar 'pengerusi' akan naik sebagai ketua kerajaan.

Mendiang Mao Zedong, ketua kepada parti Komunis China naik mentadbir negara itu dengan menggunakan gelaran Pengerusi Mao atau Chairman Mao, berikutan kedudukannya sebagai pengerusi parti.

Kedudukan sebagai pengerusi parti turut memberikan beliau kuasa sebagai ketua negara, dengan gelaran rasmi yang dipegang Mao adalah 'Pengerusi Republik Rakyat China.'

Seorang lagi pengerusi yang terkenal serta mempunyai terlalu banyak gelaran dalam mentadbir negara, adalah Pengerusi Kim Jong-un - pemerintah tertinggi Korea Utara. Selain bergelar pemerintah mutlak Korea Utara, Jong-un juga memegang kuasa sebagai Presiden Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga Pengerusi Utama Jawatankuasa Tentera Negara.

'Chairman' adalah istilah Inggeris yang didaftarkan pada abad ke 17, merujuk kepada 'seseorang yang diberikan kerusi kuasa.'

4. Canselor

canselor austria

'Canselor' atau Chancellor' adalah gelaran yang digunakan beberapa buah negara Eropah seperti Jerman dan Austria, dalam menamakan jawatan ketua kerajaan mereka.

Istilah ini pada mulanya semasa zaman Empayar Rom, merujuk kepada individu yang akan duduk di belakang pagar (digelarkan cancellus), bertanggungjawab menyelia pintu masuk mahkamah semasa perbicaraan berlangsung serta menjaga ketenteraman ketika keputusan dibacakan.

Oleh kerana mereka terkenal sebagai 'pegawai di belakang pagar', orang Rom mula menggelarkan mereka sebagai cancellarius atau 'penjaga pagar.'

Skop tugas seorang cancellarius mula diperkembangkan selepas itu di Eropah, diberikan kuasa menjadi orang tengah yang mampu menguruskan masalah di kalangan ahli masyarakat, membolehkan isu-isu kecil diselesaikan di luar mahkamah tanpa perlu campur tangan hakim.

Kepentingan mereka semakin diperhalusi, sehinggakan seorang cancellarius diberikan kuasa memegang cap mohor kerajaan serta menjadi penasihat utama kerajaan, berkaitan undang-undang.

Austria, Jerman dan Switzerland menamakan ketua kerajaan mereka 'Canselor', sementara negara seperti Finland, Sweden dan Denmark pula mengehadkan kuasa seorang 'Canselor' hanya dalam satu bidang, biasanya berkait dengan undang-undang.

5. Pemimpin/Pemerintah Agung

pemimpin tertinggi taliban

Bagi sesetengah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan yang agak unik, ketua kepada kerajaan mahupun negara mereka akan digelarkan sebagai 'Pemimpin/Pemerintah Agung' atau 'Supreme Leader.' 

Wujud beberapa negara yang mengamalkan sistem sebegini.

Contoh paling terkenal dan lama bertahan tradisinya adalah Iran, di mana seorang 'Pemimpin/Pemerintah Agung' adalah individu yang memegang kuasa pentadbiran bukan saja sebagai ketua kerajaan bahkan sebagai ketua negara, dengan Presiden Iran duduk di bawahnya dalam hirarki kerajaan mereka.

Mullah Haibatullah Akhunzada, ketua kepada gerakan Taliban yang memegang gelaran 'Pemimpin Agung Taliban' mengekalkan penggunaan gelaran itu selepas Taliban berjaya mengambil alih Afghanistan, pada tahun 2021.

Kini Haibatullah bukan saja bertindak sebagai ketua kerajaan bahkan dia juga menjadi ketua negara, dengan nama rasminya dalam kerajaan adalah Amirul Mukminin. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)