politik jepun ldp vs dpj

Sekiranya anda pengikut politik antarabangsa, anda pasti tahu peristiwa yang berlaku pada tahun 2009 apabila perubahan besar melanda politik Jepun. Parti Demokratik Jepun (DPJ) berjaya menamatkan penguasaan tampuk kerajaan Jepun yang selama hampir separuh abad dipegang oleh Parti Demokratik Liberal atau LDP.

Apa yang lebih mengejutkan, DPJ ketika itu bukan sahaja berjaya menguasai bahagian parlimen yang sama dengan dewan rakyat negara kita (lower house of parliament) malahan mereka juga turut sama menjadi majoriti dalam 'the upper house of parliament.'

Secara keseluruhannya, DPJ berjaya menguasai 64% jumlah keseluruhan kerusi yang secara tak langsung, memberikan mereka platform yang kukuh untuk memerintah. Berkempen membawa propaganda perubahan dan pembebasan daripada rejim LDP yang telah memerintah terlalu lama, DPJ berjanji akan melakukan pembaharuan kepada politik dan juga polisi Jepun.

Malangnya, kerajaan DPJ akhirnya tumbang pada tahun 2012 selepas hilang sokongan dan kepercayaan pengundi.

Gergasi LDP - 'Barisan Nasional versi Jepun'

shinzo abe perdana menteri jepun samurai

Kejayaan DPJ menguasai kerajaan meruntuhkan imej kebal yang selama ini dimiliki LDP. Parti LDP selama ini tidak pernah berdepan dengan kumpulan pembangkang yang bersatu, memudahkan mereka menguasai kerusi-kerusi parlimen dek perpecahan di kalangan parti pembangkang sendiri.

Penyatuan parti-parti pembangkang yang seterusnya diharapkan membawa agenda reformasi kepada seluruh spektrum pemerintahan negara tersebut, menjadi daya penarik utama pengundi memilih mereka. Perubahan kepada polisi fiskal, pengangkutan awam, pendidikan, polisi sosial, hubungan kerajaan pusat dan tempatan serta bermacam lagi janji manis - ditaburkan pemimpin DPJ.

Malangnya, selepas memegang tampuk kuasa - majoriti janji yang gah diperkatakan gagal direalisasikan. Pelbagai janji manifesto yang didokumenkan terpaksa dikecilkan skopnya atau terus dipinggirkan tanpa sebarang alasan munasabah.

Kemenangan DPJ banyak dibantu perubahan sistem pilihanraya Jepun yang dilakukan pada tahun 1994. Pada tahun tersebut, rombakan besar-besaran ke atas sistem parlimen Jepun yang digantikan dengan sistem baru bergelar 'satu keahlian satu daerah' atau 'single member district' (SMD) diperkenalkan. Jumlah pengundi dalam satu kawasan juga diseimbangkan, memberikan insentif baru kepada kempen ahli politik dan faktor besar pengundi dalam memilih pemimpin setempat mereka.

parti politik jepun dpj

Secara tak langsung sistem pilihanraya Jepun dilihat mula seimbang dari segi pembahagian kerusi, seterusnya menghilangkan kelebihan yang selama ini digunakan sepenuhnya oleh parti pemerintah LDP.

Walaupun demikian, sistem ini juga dikatakan telah mewujudkan situasi ketidakstabilan dalam pola pengundian Jepun, menyebabkan ahli dan parti politik tidak lagi mampu meramal dan mengambil mudah pilihanraya yang diadakan. Kelebihan LDP yang menguasai pengundi luar bandar juga mula kendur selepas sempadan pilihanraya digaris semula, menyeimbangkan corak pengundi yang selama ini didakwa pro pemerintah.

Pengenalan sistem pengambilan calon berdasarkan orang awam tempatan yang diamalkan DPJ menyebabkan ramai calon mampu mewakili DPJ, berbeza dengan pembangkang-pembangkang Jepun sebelum itu. Ini membolehkan DPJ bertanding disemua kawasan dengan meletakkan calon-calon yang terpilih daripada komuniti tersebut juga.

Kegagalan DPJ menguasai hati orang ramai

parti dpj jepun

Selepas kemenangan besar mereka dalam pilihanraya tahun 2009, pandangan orang ramai terhadap kerajaan baru Jepun berada pada tahap tertinggi. Bagaimanapun, bermula tahun 2010 beberapa kesilapan besar mula dilakukan DPJ.

Skandal melibatkan Presiden DPJ, Yukio Hatoyama yang dikatakan terbabit dalam isu rasuah mula mendominasi berita. Selain itu kesilapan Hatoyama mengekalkan pengkalan tentera Amerika Syarikat di Okinawa juga menyebabkan populariti DPJ mula menurun.

Tidak tahan berdepan tekanan, Hatoyama meletakkan jawatannya sebagai presiden membolehkan pengundian presiden baru diadakan. Menteri kewangan Jepun ketika itu, Naoto Kan dilantik sebagai presiden seterusnya Perdana Menteri baru dan melakukan rombakan kabinet. Tindakan ini membantu melindungi populariti DPJ buat sementara sebelum sokongan kembali menjunam ekoran tiada reformasi dijalankan.

manifesto parti politik dpj jepun

Sekali lagi berlaku perubahan Presiden dengan Yoshihiko Noda dilantik sebagai presiden pada bulan September tahun 2011 untuk mengembalikan sokongan orang ramai. Rombakan kabinet sekali lagi dilakukan  dengan rancangan mahu mengurangkan beban hutang Jepun dijadikan agenda utama DPJ.

Walaupun demikian, pengundi Jepun mula hilang sabar; wujud penurunan ketara dan stabil pada tahap sokongan pengundi setiap kali DPJ melakukan pertukaran Presiden dan juga rombakan kabinet. Ini bermakna - apa yang dilakukan DPJ tidak berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap parti itu.

Kenapakah fenomena ini berlaku?

DPJ dilihat oleh rakyat Jepun, sebagai parti yang gagal mengotakan janji dan agenda mereka. Perubahan polisi yang dijanjikan tidak dijalankan dan pemimpin DPJ sendiri dilihat gagal atau tidak pandai mentadbir.

Berikutan persepsi yang semakin buruk, orang ramai mula membandingkan perubahan polisi yang telah dilakukan kerajaan-kerajaan Jepun sebelum itu, khasnya kerajaan dibawah pentadbiran Ryutaro Hashimoto (Januari 1996-November 1996, November 1996-Julai 1998) dan Junichicro Koizumi (April 2001-November 2003, November 2003 - September 2005).

politik jepun harapan

Kedua-dua era itu dilihat oleh masyarakat Jepun sebagai era di mana reformasi sebenar benar-benar dilakukan kerajaan. Berbanding dengan kedua-dua kerajaan di bawah LDP itu, DPJ didakwa gagal melakukan apa-apa perubahan besar dan sekadar berpuas hati dengan pengenalan akta dan dasar baru yang tidak signigfikan impaknya.

Berbeza dengan kempen pilihanraya DPJ yang boleh diibaratkan seperti harimau, DPJ hanya mampu menjadi kucing yang jinak apabila diberikan kuasa.

Hanya lantang bila membangkang

presiden dpj skandal rasuah

Apapun kekurangan DPJ, salah satu sumbangan paling besar yang dilakukan DPJ dan seterusnya mengubah sistem pilihanraya Jepun - adalah pengenalan dokumen manifesto rasmi pada tahun 2003. Langkah ini dipuji sebagai satu langkah progresif. Atas tekanan itu, kerajaan Jepun ketika itu di bawah LDP terpaksa melakukan tindakan serupa menerbitkan manifesto mereka bagi membantu mengawal persepsi.Tiada siapa yang menjangka manifesto akhirnya menjadi punca kejatuhan DPJ.

Sama seperti sebelumnya, DPJ menerbitkan manifesto untuk pilihanraya tahun 2009 yang dipenuhi dengan bermacam janji agenda reformasi; membawa janji lima perubahan utama : mengurangkan pembaziran belanja kerajaan, mengurangkan kos penjagaan anak dan pendidikan, mereformasikan skim pencen dan perubatan, mempertingkatkan kedaulatan negara dan yang terakhir memacu kembali ekonomi Jepun.

Selepas 3 tahun memerintah, perbandingan yang dilakukan oleh banyak badan kerajaan dan bukan kerajaan mendapati majoriti agenda reformasi yang mahu diperkenalkan gagal dilaksanakan. Kiraan yang dilakukan mendapati DPJ hanya berjaya melunaskan 30% daripada keseluruhan 170 janji manifesto mereka.

Apa yang dikritik kuat - banyak langkah DPJ sebenarnya hanya merupakan kesinambungan apa yang telah dilakukan kerajaan terdahulu di bawah LDP. Orang ramai mula tertanya-tanya di mana reformasinya?

Jatuhnya DPJ pada pilihanraya seterusnya

Pelbagai alasan diberikan DPJ atas segala kegagalan mereka melaksanakan janji manifesto mereka. Salah satunya adalah kekangan ekonomi. Walaupun ada asasnya berikutan kejatuhan ekonomi Jepun yang telah pun berlaku sejak tahun 1991, alasan DPJ sukar diterima orang ramai.

DPJ juga dikatakan menjadikan faktor masyarakat tua Jepun sebagai alasan, kerana beban menanggung kos perubatan dan bayaran pencen warga tua menyebabkan banyak projek yang dirancang terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Isu penghapusan tol yang dicanang mendapat tentangan daripada dalam DPJ sendiri yang menyedari kekangan bajet yang mereka hadapi. Sistem wang saraan bagi kanak-kanak yang diperkenalkan juga dikritik sebagai satu sistem yang sangat mudah untuk disalahguna serta tidak akan memberikan pulangan yang dihadapkan.

poster politik jepun dpj pengajaran untuk malaysia

DPJ juga terpaksa berhadapan dengan isu bencana alam selepas gempa bumi Tohoku menyebabkan banyak projek pembaikian dan pemuliharaan perlu dijalankan. Insiden ini dikatakan oleh DPJ sebagai punca utama kenapa janji manifesto untuk memansuhkan tol terpaksa dihentikan.

Pilihanraya yang diadakan pada bulan Disember 2012 menyaksikan LDP kembali memegang tampuk pemerintahan dengan sangat bergaya. Mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan jumlah kerusi yang ada, memenangi 294 kerusi, peningkatan 176 kerusi berbanding pilihanraya 2009.

DPJ pula yang sebelum itu menguasai 308 kerusi hanya berjaya mempertahankan 57 kerusi keseluruhan dengan tujuh pemimpin kanan dalam kabinet kalah dalam pilihanraya mereka, termasuklah Naoto Kan yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika era DPJ.

Perang dan masalah dalaman menjadi punca kekalahan

Penganalisis menyifatkan kemenangan besar LDP merampas kembali tampuk pemerintahan daripada DPJ, bukanlah sebenarnya disebabkan oleh tahap sokongan orang ramai terhadap LDP; faktor utama kejatuhan DPJ adalah disebabkan perang dalaman sesama mereka yang menyebabkan jumlah kerusi dikuasai mereka sudah pun menurun lebih awal, semasa mereka memerintah lagi.

Peratusan mengundi yang sangat rendah sekitar 58% juga menjadi penyebab utama menyumbang kepada kemenangan besar LDP. Realitinya, peratusan jumlah pengundi yang mengundi LDP pada tahun 2009 sebenarnya lebih tinggi berbanding 2012. Ini bermakna sokongan pada LDP sebenarnya tidak meningkat tetapi sokongan pada DPJ yang turun menjunam terlalu besar. Ini menunjukkan LDP tidak boleh mendabik dada atas kemenangan mereka.

parti politik haluan kanan jepun

Atas faktor-faktor itulah, Perdana Menteri Jepun ketika ini Shinzo Abe yang kembali mendapat mandat dalam pilihanraya tersebut terpaksa mengakui kemenangan besar LDP bukanlah disebabkan kekuatan LDP, tetapi kerana rasa kurang senang orang ramai terhadap apa yang telah dilakukan oleh DPJ apabila mendapat kuasa sebelum itu.

LDP kekal menerajui kerajaan Jepun dalam dua pilihanraya yang diadakan selepas itu pada tahun 2014 dan 2017, di mana LDP berjaya mengekalkan prestasi mereka dengan jumlah kerusi yang tidak banyak berlaku perubahan.

Bagaimana pula dengan DPJ?

Selepas tewas teruk dalam pilihanraya 2012 yang menyebabkan mereka kembali menjadi pembangkang, DPJ memperbaiki prestasi memenangi 73 kerusi pada pilihanraya 2014.

Bermula pada tahun 2016, DPJ memilih untuk bekerjasama dengan dua buah parti kecil blok pembangkang Jepun iaitu Japan Innovation Party dan Vision of Reform. Ekoran daripada penggabungan itu, satu parti baru dibentuk yang dinamakan sebagai Democratic Party atau DP, seterusnya membubarkan DPJ secara rasmi.

abe ldp menang politik jepun

Kisah bagaimana DPJ bangkit menyatukan barisan pembangkang sebelum hilang keyakinan orang ramai akibat kegagalan memenuhi janji sendiri, akan terus diperkatakan oleh warga Jepun dan masyarakat antarabangsa. Begitulah sukarnya untuk sesebuah parti terus kekal bekerjasama walaupun sudah memegang kuasa.

Cerita kebangkitan dan kejatuhan mendadak DPJ, 'kerajaan sepenggal Jepun' patut dijadikan tauladan oleh mana-mana ahli politik dalam negara kita - agar berhati-hati menabur janji, kerana orang ramai akan tetap menuntutnya dipenuhi.

Rujukan

The 2012 Japanese Election Paradox



Hakcipta iluminasi.com (2017)