undi tidak percaya parlimen 2020 muhyidin mahathir agong

Pertukaran kerajaan yang dilakukan pada penghujung bulan Februari tahun 2020, dilihat akan meneruskan kemelut politik negara kita sehinggalah pilihanraya umum ke 15 berjaya dijalankan, pada bila masa sekalipun.

Usul undi tidak percaya yang kerap digembar-gemburkan menjadi senjata utama pihak pembangkang daripada Pakatan Harapan, dalam usaha mereka mengambil alih semula pemerintahan daripada gabungan Perikatan Nasional.

Apa situasi yang boleh berlaku kepada kerajaan, khasnya Perdana Menteri sendiri - seandainya beliau tewas daripada segi kiraan undi semasa undian di buka?

Sejarah undi tidak percaya

robert walpole

Sistem pentadbiran kita yang dibentuk berasaskan kepada sistem Westminster United Kingdom, membolehkan undian tidak percaya diadakan bagi mencabar kedudukan sesebuah kerajaan secara terbuka.

Sir Robert Walpole, Perdana Menteri Britain pertama menjadi individu terawal dicabar kedudukannya pada tahun 1742. Dia hilang sokongan akibat pelbagai tuduhan rasuah serta dianggap tidak mampu mengetuai kerajaan Britain dalam kempen perang Britain ketika itu. Walpole memegang jawatan itu sejak tahun 1721.

Beliau tewas 235-236 dalam undian yang dijalankan. Tewas, Walpole meletak jawatan tidak lama selepas itu namun tetap dilantik menjadi penasihat keluarga di-raja Britain, berikutan pengalamannya mentadbir.

Sejak pengenalan sistem undian tidak percaya, sudah banyak kali pemimpin-pemimpin kerajaan dunia dijatuhkan; majoritinya dirancang pihak lawan. 

Tujuannya berkisar kepada usaha mempercepatkan pilihanraya diadakan atau memberi tekanan untuk ketua kerajaan untuk ditukarkan, berikutan perubahan atau pengenalan dasar yang tak munasabah - tanpa perubahan kerajaan perlu dilakukan.

Dua kemungkinan yang akan berlaku selepas PM tewas

parlimen dewan rakyat

Oleh kerana banyak persamaan di antara sistem yang diamalkan negara kita serta apa yang dijalankan di United Kingdom, tak salah rasanya untuk kita melihat sistem mereka sebagai peramal kepada kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku.

Lagipun kita belum pernah berdepan situasi sebegini dalam kerajaan kita, seandainya Perdana Menteri (PM) berjaya ditewaskan dalam undian. Dalam situasi ini, kuasa sepenuhnya akan diberikan kepada Ketua Negara; YDP Agong bagi negara kita dan Permaisuri United Kingdom bagi negara mereka.

Berdasarkan apa yang telah berlaku di sana, walaupun PM tewas - dia sebenarnya masih lagi mempunyai dua opsyen pilihan yang akan ditentukan oleh Ketua Negara.

Pertama, PM boleh mendapatkan nasihat daripada Ketua Negara dalam menentukan langkah seterusnya. Kedua, dia boleh meletak jawatan seandainya diketahui ada individu lain mendapat sokongan majoriti daripada ahli Dewan.

Kedua-dua pilihan ini mengembalikan kuasa sepenuhnya kepada Ketua Negara, tetapi tugas PM yang tewas tidaklah terhenti di situ semata-mata.

Kuasa Ketua Negara

ydp agong malaysia

Dalam situasi PM tewas undi tidak percaya, Ketua Negara akan menjadi panduan utama PM udalam menentukan hala tuju seterusnya. Situasinya pula bergantung kepada apa yang telah berlaku ketika itu.

Seandainya PM ketika itu sudah meletakkan jawatan, Ketua Negara berhak untuk menerima atau menolak perletakan jawatan itu, sehinggalah penggantinya ditemui.

Sekiranya ada individu yang jelas mendapat sokongan majoriti, Ketua Negara boleh menggunakan budi bicara untuk terus melantik individu tersebut sebagai PM, membolehkan pembentukan kabinet baru dilakukan dan PM lama perlu meletakkan jawatan.

Ketua Negara juga mempunyai hak untuk menentukan perlukah pembubaran parlimen dilakukan membolehkan pilihanraya semula diadakan atau merasakan kerajaan masih boleh berfungsi untuk sementara di bawah pimpinan PM yang tewas undi tidak percaya - sehinggalah salah satu kondisi yang kami disebutkan di atas dipenuhi.

Kita hurai situasi ini lebih lebar di bawah ya.

Adakah PM perlu meletakkan jawatan kalau hilang sokongan majoriti?

muhyiddin yassin pm ke 8

Ramai tersalah faham menganggap tewas undi tidak percaya memerlukan seseorang PM itu perlu terus meletakkan jawatan. Tidak.

Seperti yang sudah kami sebutkan, seseorang PM masih mempunyai pilihan lain untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Ketua Negara bagi menentukan langkah seterusnya. 

Sekiranya Ketua Negara tidak menerima perletakan beliau yang telah dilakukan secara rasmi, PM masih lagi layak memegang jawatan itu walaupun tanpa sokongan majoriti.

Seorang PM yang tewas hanya perlu meletakkan jawatan selepas pihak lawannya berjaya menamakan secara jelas seorang wakil yang berjaya mendapatkan sokongan majoriti dewan. Seandainya syarat utama itu gagal dipenuhi, PM masih kekal sebagai PM tanpa berlaku kekosongan jawatan.

Satu perkara yang semua perlu tahu, PM sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan Ketua Negara siapakah calon yang sesuai untuk menjadi pengganti dia.

Ketua Negara akan melantik mana-mana individu yang berjaya membuktikan kepada Baginda, dia mendapat sokongan majoriti dewan. Semuanya adalah berdasarkan kepada angka sokongan.

Perbezaan situasi di UK dan Malaysia

politik malaysia usul undi tak percaya

Di UK, nama yang diangkat bakal menggantikan PM perlulah membuktikan dia mempunyai jumlah sokongan ahli parlimen yang melebihi jumlah kerusi yang dipegang kerajaan yang dibentuk sebelumnya.

Berdasarkan pemahaman kami, di Malaysia tidak ada peraturan sedemikian rupa. Asalkan pihak itu berjaya membuktikan dirinya menerima sokongan majoriti melebihi 111 kerusi sudah memadai untuk seseorang diangkat mengetuai kerajaan.

Ketika ini, situasi negara kita agar unik kerana tidak jelas berapakah pecahan angka kerusi yang dikuasai kerajaan dan pembangkang secara rasmi, melainkan hanya dengan angka-angka spekulasi.

Oleh sebab itulah pada pandangan penulis, pihak Pakatan Harapan melaksanakan usul undi tidak percaya ini bagi menentukan pecahan sebenar pembahagian kerusi parlimen.

Perdana Menteri menasihat, YDP Agong menentukan

muhyddin agong kabinet

Dalam situasi di mana kesemua faktor di bawah berlaku serentak:

a. Tan Sri Muhyiddin tewas undi tidak percaya

b. Pakatan Harapan gagal meyakinkan YDP Agong salah seorang ahli parlimen mereka mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen

c. YDP Agong tidak menerima perletakan jawatan Perdana Menteri (disebabkan ketiadaan pengganti)

Tan Sri Muhyiddin boleh meminta agar parlimen dibubarkan dan pilihanraya diadakan, bagi membentuk kerajaan baru.

Ini bermakna, asalkan Tan Sri Muhyiddin tidak bertindak gopoh terus meletakkan jawatan seandainya tewas sekalipun - beliau sebenarnya sekurang-kurangnya masih boleh menentukan hala tuju konflik politik yang melanda.

Dua faktor penghurai yang bakal menjadi kunci utama situasi ini adalah apakah tindakan Tan Sri Muhyiddin seandainya dia tewas usul di Parlimen? Yang kedua, mampukah Pakatan Harapan membuktikan mereka ada seorang pengganti PM yang mendapat sokongan majoriti?

Tan Sri Muhyiddin boleh mencadangkan pembubaran parlimen sementara Pakatan Harapan pula boleh menghalang pilihanraya umum berlaku sekiranya mereka pantas menamakan calon baru PM ke 9 Malaysia.

Kedua-duanya perlu mendapat perkenan YDP Agong, ketua negara kita.

Kami secara peribadi mengharapkan agar kemelut ini dapat diselesaikan segera. Kami yakin ramai rakyat Malaysia berpandangan serupa. Muak melayan kerenah politik sedangkan masih ramai rakyat kita sedang berduka.



Hakcipta iluminasi.com (2017)