Oleh pada 27 Feb 2020 kategori

Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang termaktub pada bulan Februari tahun 2020 seringkali dipertanggungjawabkan ke atas usaha sesetengah pihak, cuba mewujudkan kerajaan baru sebagai pengganti dengan cara jalan belakang atau 'backdoor.'

Bagaimanapun, bagi mereka yang sudah pun mengikuti perjalanan politik kita sejak dahulu - kita pasti mengetahui tentang satu cubaan oleh pihak pembangkang yang pada ketika itu diwakili pihak Pakatan Rakyat, dalam menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Insiden itu yang digelarkan oleh pihak Pakatan Rakyat sebagai Peristiwa 169 akibat kesan daripada perubahan yang bakal berlaku, menggemparkan negara kita kerana keberanian pihak pembangkang melakukan sesuatu yang sangat drastik. Bagaimanapun, apa yang dirancang bukan semuanya akan memberikan hasil yang diharapkan.

Kenaikan Abdullah Badawi sebagai PM Malaysia ke 5

percubaan peralihan rampasan kuasa malaysia 2008

Proses peralihan kuasa yang berlaku daripada Perdana Menteri ke 4, Datuk Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini juga bergelar Tun) berlaku dengan lancar. Ini sesuatu yang sangat mengejutkan kerana pada ketika itu, kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Barisan Nasional sedang berhadapan dengan gerakan penentangan yang semakin tersusun, hasil daripada perjuangan gerakan reformasi.

Selepas desakan berundur semakin kedengaran, peralihan kuasa meletakkan DS Abdullah sebagai Perdana Menteri Malaysia, diharap dapat menjernihkan situasi serta mengembalikan kestabilan di negara kita yang sedikit tergoncang.

Terkenal dengan gelaran 'Mr. Clean' serta reputasi seorang yang ahli agama, DS Abdullah naik dengan sokongan baik, apatah lagi mengemudi Barisan Nasional mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya ke 11, memenangi 198 kerusi yang dipertandingkan. Barisan Alternatif dan parti DAP yang bertanding mengalami kekalahan memalukan, kerana kepercayaan rakyat pada ketika itu sudah beralih mahu melihat 'Mr. Clean' mentadbir.

Kemenangan terbesar Barisan Nasional dalam sejarah 52 tahun penubuhan gerakan itu bagaimanapun mula keruh, selepas propaganda pembangkang serta kritikan dalaman parti sendiri - mula menjatuhkan imej bersih yang dibawanya.

Peranan Pakatan dan pengaruh media

pak lah badawi tidur lena

Bagi memusnahkan reputasi, media-media pro pembangkang yang ditubuhkan selepas kekalahan blok pembangkang pada PRU 11 mula mempopularkan pelbagai jenis persepsi negatif terhadap beliau. Dia seringkali digambarkan kerap tertidur semasa waktu kerja selain daripada dilabel sebagai 'PM flip-flop' berikutan perubahan dasar yang berlaku secara tiba-tiba.

Selain itu tindakan pentadbiran beliau menaikkan harga petrol sehingga mencecah RM2.70 satu liter dipergunakan sebaik-baiknya, sebagai peluru bagi meraih sokongan orang ramai. Semua dasar DS Abdullah yang baik, seperti konsep 'Islam Hadhari' diperkecilkan dan ditertawakan sehinggakan lama-kelamaan, persepsi terhadap beliau amat sukar untuk diubah lagi.

Beberapa langkah yang diambil beliau seperti pembatalan projek-projek berprofil tinggi serta gerakan membanteras rasuah yang keras dijalankan, menyebabkan musuh-musuh dalaman partinya sendiri mula bersuara dan bangun. Apatah lagi beliau dituduh cuba memusnahkan legasi yang telah dibina PM ke 4 Malaysia sebelum itu.

Salah satu tindakan DS Abdullah yang dikritik partinya sendiri adalah bagaimana beliau mengambil keputusan membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara 15 tahun yang didapati bersalah dalam kes liwat dan salah guna kuasa.

Siapa sangka tindakan beliau cuba memberi bunga, akan dibalas dengan tahi.

Berdepan serangan pelbagai pihak

16 september 2008 rampasan kuasa

Walau serangan demi serangan mula hadir pada beliau dari pelbagai sudut, DS Abdullah tetap berjaya mengemudi Barisan Nasional mengharungi PRU ke 12, dengan majoriti menurun.

Berikutan 'kegagalan' mempertahankan jumlah kerusi yang dimenangi serta kenaikan jumlah kerusi direbut Pakatan Rakyat, tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan mula kedengaran lebih kuat. Beberapa orang pemimpin kanan UMNO yang mula menyerang beliau secara terbuka. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibantu sokongan Tun Mahathir Mohamad mula terbuka dalam kritikan, mendesak agar jawatan PM diserahkan segera kepada Muhyiddin atau Najib; bagi mengelakkan kerosakan lebih besar berlanjutan.

Di pihak Pakatan Rakyat sendiri, atas kejayaan merebut 61 kerusi serta kedudukan DS Abdullah yang mula goyah - mereka merasakan adanya peluang untuk merebut terus tampuk kerajaan melalui jalan belakang. Pilihanraya yang berlangsung pada bulan Mac 2008 memberikan momentum kepada Pakatan Rakyat untuk bergerak lebih jauh, dengan

DS Anwar Ibrahim yang pada ketika itu berdepan tuduhan meliwat Saiful Bukhari Azlan dilaporkan berasa sangat yakin Pakatan Rakyat akan berjaya membentuk kerajaan Malaysia yang baru. Kaedahnya? Dengan memujuk 30 orang atau lebih ahli parlimen Barisan Nasional yang sudah muak dengan DS Abdullah, melompat masuk ke dalam Pakatan Rakyat.

Ini adalah cara penubuhan 'kerajaan backdoor' dengan kaedah memanipulasi sistem yang sangat licik. Pengumuman usaha ini dibuat tidak lama selepas Pakatan Rakyat berjaya menggegarkan kekuatan Barisan Nasional serta berdasarkan sentimen 'anti PM ke 5' yang pada ketika itu, sangat sukar untuk dibendung.

Rancangan itu diumum pada bulan Mac 2008, mendapat reaksi positif penyokong Pakatan yang mendoakan agar usaha itu berhasil dan Pakatan dapat mengambil alih kerajaan sepenuhnya pada tarikh 16 September 2008, sempena hari Malaysia tahun tersebut.

Usaha meyakinkan orang ramai

kerajaan back door pintu belakang sebelum ini

Dalam tempoh beberapa bulan berikutnya, gerakan yang diistilah sebagai 'Hari Baru Untuk Malaysia' itu mula melaporkan semuanya berjalan lancar.

Sidang media pada bulan Ogos 2008 yang dilakukan DS Anwar Ibrahim bersama isterinya DS Wan Azizah Wan Ismail berjaya meyakinkan orang ramai bahawa semuanya sedang berjalan lancar dan jumlah ahli parlimen BN yang bakal melompat keluar, memadai. Tarikh 27 Ogos disebut sebagai tarikh di mana lompatan itu bakal berlaku dan 16 September sebagai tarikh peralihan kerajaan bakal dilakukan.

Bagaimanapun, apabila tibanya tarikh peralihan kerajaan boleh berlaku - seperti yang digembar-gemburkan, pasangan itu hanya sekadar melakukan sidang media bagi mengingatkan agar DS Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa dengan aman, tanpa menjawab kebenaran tentang jumlah sokongan yang diterimanya.

Dengan lantang DS Anwar Ibrahim memberitahu penyokongnya bahawa mereka yakni Pakatan Rakyat, memberikan tempoh 1 atau 2 minggu kepada DS Abdullah menyerahkan kuasa dan melakukan peralihan kuasa. Reaksi DS Abdullah? Dia menyifatkan apa yang berlaku hanyalah cakap kosong DS Anwar Ibrahim.

Sememangnya, itulah yang berlaku. Cubaan menubuhkan kerajaan melalui cara 'backdoor' oleh Pakatan Rakyat ketika itu gagal dan senyap tanpa apa-apa berlaku.

Hanya pada tahun 2010, informasi tentang kisah sebenar apa yang terjadi mula dibongkarkan. Beberapa orang ahli parlimen parti PKR di bawah Pakatan Rakyat mula bertindak meninggalkan parti, seterusnya mendedahkan rahsia tentang taktik licik yang dimainkan ketika itu oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Terkuburnya Hari Baru Malaysia 16 September 2008

kerajaan pintu belakang 2008

Walaupun memang ada beberapa orang ahli Barisan Nasional yang mahu berpaling tadah, jumlah yang disebutkan langsung tidak pernah mencukupi bagi menjatuhkan kerajaan. Selain itu, beberapa propaganda kosong seperti gerakan itu mendapat perkenan YDP Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta mendapat kerjasama pihak tentera sekiranya digagalkan DS Abdullah Badawi, turut sama didedahkan hanya omongan kosong.

Pendedahan yang dilakukan itu menyebabkan laporan polis dilakukan ke atas pihak-pihak yang menyebarkan banyak propaganda palsu ini, khasnya dilakukan oleh ahli parti UMNO sendiri yang pada ketika itu kembali stabil di bawah pemerintahan DS Najib Tun Razak, naik menggantikan DS Abdullah pada bulan Mac 2009.

DS Anwar pula terpaksa akur dengan kekalahan apabila melihat rancangan beliau yang diusahakan, bukan saja tidak berjaya malahan langsung tidak menampakkan apa-apa berlaku. Dalam temuramah beliau selepas pendedahan tentang isu itu berlaku, DS Anwar menyifatkan kegagalan gerakan yang ditunjangi beliau - adalah disebabkan oleh DS Abdullah Ahmad Badawi yang enggan proses demokrasi berjalan dengan baik.

DS Anwar mendakwa DS Abdullah menggunakan kuasanya menghalang Speaker Dewan Rakyat daripada membuka usul mengadakan undian tidak percaya. Kegagalan itu menyebabkan sebahagian besar sekutu beliau khasnya dari Sabah dan Sarawak yang dipercayai setuju mahu melompat, mengambil langkah berdiam diri kerana merasakan hanya Parlimen cara terbaik mereka menunjukkan kehilangan sokongan pada pentadbiran DS Abdullah.

kerajaan backdoor dulu dulu 2008

Alasan sama diulang sekali lagi semasa perbicaraan beliau di mahkamah tinggi, pada tahun 2017 - tetap meyakini bahawa dia mempunyai jumlah yang mencukupi bagi mengambil alih kerajaan pada ketika itu.

Walaupun gagal, kita semua tahu DS Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti mencuba sementara DS Abdullah Ahmad Badawi nampak tenang berehat menikmati hari tua, walaupun sering uzur. Individu yang digantikannya, Tun Mahathir Mohamad pula tampak masih bergelut cuba mendamaikan suasana kelam-kabut yang tidak diketahui apa puncanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)