Kami di Iluminasi kurang gemar untuk membicarakan tentang bab-bab sentimen politik, melainkan tentang fakta politik. Ini kerana dalam politik, terlalu banyak faktor spekulasi serta ketidak tahuan yang ada - membuatkan banyak isu dalam politik, perlu dinilai secara spekulatif.

Salah satu propaganda terhangat yang sedang dimainkan ketika ini adalah isu bagaimana mandat rakyat dirampas, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) terkubur dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya dibentuk.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang mengapi-apikan persepsi orang ramai dengan mengatakan kerajaan hari tidak sah, tidak mendapat undi seterusnya tidak mengangkat mandat sebenar rakyat. Benarkah dakwaan itu? Kami cuba kupas kebenaran propaganda itu dalam artikel ini.

'Mandat rakyat' dirampas?

ahli politik malaysia

Dalam politik di mana propaganda dan agenda boleh menyebabkan berlakunya pergaulan antara emosi dengan fakta, agak sukar untuk kita menamakan pihak yang salah atau betul.

Tetapi dalam hal 'mandat rakyat' telah dirampas, penulis sangat yakin untuk mengatakan tidak ada apa-apa mandat pun yang dirampas, akibat pertukaran kerajaan tempohari. Ini kerana naiknya kerajaan baru iaitu kerajaan Perikatan Nasional adalah melalui saluran yang betul.

Pihak pendokong PH boleh menyebutkan bahawa kerajaan PN tidak sah kerana berlakunya 'lompat parti' atau 'pengkhianatan' yang menyebabkan PN mampu terbentuk, dari segi teknikal dan undang-undang, perkara itu tidak salah berlaku dalam perlembagaan Malaysia.

Apatah lagi sudah banyak insiden 'lompat parti' turut melibatkan pimpinan PH yang datang daripada pihak lain, diterima masuk dengan tangan terbuka kerana berjaya melemahkan lawan dan memperkuatkan angka sendiri.

Kenapakah perbuatan 'lompat parti' hanya dikecam dalam waktu tertentu, tetapi tidak dikecam apabila menguntungkan pihak kita?

Untuk menyalahkan pihak lain yang lompat melompat, PH harus menerima hakikat semasa mereka menjadi kerajaan pun pihak mereka mempertahankan lompat parti sebagai sah.

Dr. Abdul Aziz Bari, seorang pakar perlembagaan yang juga ADUN Tebing Tinggi di Perak mewakili parti DAP menyifatkan menghalang seseorang lompat parti adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi berparlimen berasaskan Westiminster yang kita amalkan.

Beliau menambah - adalah menjadi hak seseorang wakil rakyat untuk keluar parti, menukar parti atau meninggalkan parti menjadi wakil bebas.

Siapa pegang mandat rakyat?

ydp agong malaysia bms76

Dari segi etikanya, nampak lompat parti sebagai satu perkara yang melanggar etika namun kita perlu mula menerima perkara ini dengan tangan terbuka. Apatah lagi apabila wakil rakyat yang kita undi turut terlibat sama.

Adakah anda merasakan lompat parti itu sesuatu yang keji dan adakah anda menganggap seandainya wakil rakyat anda lompat parti, dia mengkhianati mandat yang anda berikan kepada beliau? Perkara itu terpulang kepada penilaian anda kerana seperti penulis nyatakan di atas - politik ini gabungan emosi dan perkara teknikal.

Namun kita harus sedar, apabila kita mengundi seseorang itu - kita sebenarnya sedang mempertaruhkan keyakinan dan harapan kita kepada beliau. Ini kerana dialah pemegang sebenar mandat dari anda. Bukan kerajaan, tetapi dia.

Kita mengundi bukan untuk memilih kerajaan - kita mengundi kerana kita memilih wakil rakyat yang akan mewakili kita di peringkat negeri dan juga Parlimen.

Jadi seandainya wakil rakyat yang ada pilih melakukan lompat parti atau telah mengakibatkan tumbangnya sebuah kerajaan, dia melakukannya atas mandat yang telah kita berikan kepada mereka. Segala keputusan yang mereka ambil akan dibuat berdasarkan kepada apa yang mereka rasakan baik untuk penduduk yang telah mengundi dia.

Soal mandat dirampas tidak sepatutnya ditimbulkan - kerana setiap Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen di setiap negeri, merupakan pemegang mandat pengundi masing-masing.

Adakah mereka masih lagi ADUN dan Ahli Parlimen anda selepas kerajaan bertukar? Tidak. Yang terbubar hanyalah barisan kabinet kerajaan yang dipilih bukan oleh rakyat, sebaliknya dilakukan Perdana Menteri selepas beliau mendapat perkenan YDP Agong.

Adakah kerajaan Perikatan Nasional tidak sah?

penubuhan kerajaan perikatan

Sekali lagi, mari kita bincangkan isu ini dari segi teknikal dan bukan emosi. Kita imbau semula apa yang telah berlaku sehingga pembentukan kerajaan Perikatan Nasional berjaya dilakukan.

Tun Mahathir Mohamad menyerahkan surat perletakan jawatan beliau kepada pihak Istana Negara dan perletakan jawatan itu diterima sah. Secara automatik kabinet Pakatan Harapan perlu dibubarkan dan semua pemegang jawatan Menteri serta Timbalan Menteri hilang portfolio mereka.

Disebabkan ketiadaan Kabinet serta jemaah Menteri, kerajaan baru perlu dibentuk. Bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk, seorang individu yang diyakini YDP Agong mempunyai sokongan majoriti perlulah menampilkan diri dan YDP Agong perlulah memastikan tuntutan ini sahih.

Seperti yang kami jelaskan dalam artikel kami sebelum ini - YDP Agong tidak mempunyai kuasa untuk menolak calon yang berjaya meyakinkan Baginda dia adalah pemegang kerusi majoriti.

Kenapa Pakatan Harapan tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan?

muhyiddin yassin

Disebabkan oleh kemelut politik yang melanda, pihak Istana Negara memilih cara paling mudah untuk mengenalpasti siapakah nama yang patut diangkat sebagai Perdana Menteri.

Kesemua 222 Ahli Parlimen Malaysia yang diundi oleh anda dipertanggungjawabkan untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri ke 8 negara kita melalui sesi temubual. Hasilnya, pihak Istana Negara dan YDP Agong khasnya mendapati Tan Sri Muhyddin Yassin merupakan pemegang majoriti kerusi seterusnya bersetuju untuk melantik beliau.

Tidak ada apa-apa yang meragukan dalam keputusan yang telah dicapai oleh pihak Istana Negara, kerana dalam setiap perkara melibatkan perlantikan Perdana Menteri, YDP Agong perlu mengambil sikap 'apolitical' di mana Baginda tidak boleh berat sebelah kepada mana-mana pihak.

Apa yang menyebabkan ketidak puasan hati sesetengah pihak adalah ura-ura yang berlegar menyebut bahawa individu lain yang sepatutnya memegang majoriti, namun namanya tidak diumum sebagai bakal Perdana Menteri berdasarkan kepada perkiraan pihak itu sendiri.

Kami tidak gemar melayan ura-ura sebegitu kerana dalam zaman teknologi seperti sekarang, mudah untuk sesiapapun memulakan khabar angin yang tidak ada asasnya.

Ura-ura itu diperhangatkan lagi dengan beberapa pandangan yang dikongsikan oleh pimpinan gabungan tertentu, yang menyifatkan YDP Agong gagal menemui majoriti jelas dalam kiraan. Seperti biasa, sumber maklumat yang dikongsikan tidak disebutkan.

mahathir anwar pakatan harapan

Apa yang jelas pada penulis - daripada bermulanya detik perletakan jawatan PM ke 7 sehinggalah majlis angkat sumpah PM ke 8; tidak ada apa-apa isu yang menunjukkan berlakunya ketidak adilan ke atas pemilihan calon PM.

Pihak Pakatan Harapan gagal dalam membuktikan jumlah sokongan ke atas calon mereka yang penulis sendiri kurang pasti siapa sebenarnya, sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya dibantu oleh gabungan beberapa parti besar.

Berapa lama Perikatan Nasional akan kekal, belum kita tahu masa depannya tetapi jelas pada penulis tidak ada berlaku pengkhianatan ke atas mandat rakyat, disebabkan oleh pertukaran kerajaan yang berlaku. Kerajaan Perikatan Nasional ketika ini adalah kerajaan yang naik secara sah, membawa bersama mandat rakyat - walaupun secara lompat-melompat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)