Walaupun emel kini menjadi pilihan bagi menghantar mesej rasmi kepada seseorang, peranan pejabat pos masih lagi penting bagi menghantar surat, poskad dan barangan. Kedudukan pejabat pos pula biasanya di tengah-tengah bandar dan kawasan tumpuan penduduk.

Kali ini, kami ingin berkongsi 5 pejabat pos di lokasi paling pelik di dunia. Walaupun pejabat-pejabat pos ini kebanyakannnya terletak di tempat pelik dan sukar diakses, namun kerana terdapat permintaan daripada pengguna tempatan dan pelancong  terutamanya yang ingin menghantar poskad, maka ianya tetap dibuka.

1. Gunung Everest

BESARKAN TEKS     A-  A+

Gunung Everest sememangnya terkenal sebagai gunung tertinggi di dunia yang menjadi cabaran besar buat para pendaki. Percayakah anda di Gunung Everest terdapat sebuah pejabat pos milik China Post? Pejabat pos ini terletak di kawasan Base Camp dan telah dibuka sejak tahun 2008.

Berada di kedudukan 5300 meter, pejabat pos ini diiktiraf sebagai pejabat pos tertinggi di dunia. Kerana keadaan cuaca yang ekstrim di kawasan ini, setiap tahun pejabat pos ini hanya dibuka pada bulan April hingga Ogos sahaja. Waktu operasinya adalah daripada pukul 10 pagi hingga 6 petang.

2. Dalam air

pejabat pos dalam air

Vanuatu adalah sebuah pulau kecil yang terletak di kawasan Pasifik Selatan. Uniknya, di pulau ini pejabat posnya terletak di dalam air. Pejabat pos ini telah dibuka sejak 2003 dan terletak kira-kira 10 kaki dari paras air.

Waktu operasinya dipaparkan di kawasan pantai berhampiran. Pekerja yang bertugas pula memakai pakaian scuba diving dan merupakan seorang penyelam yang bertauliah. Surat yang dihantar akan dibalut dengan plastik khas yang kalis air. Jika seseorang penerima atau penghantar surat tidak mampu berenang ke dalam air untuk menerima atau mengambil surat, staf yang bertugas akan tolong mengambilkannya.

3. Antartika

penguin post office

Antartika merupakan tempat yang sangat sejuk dan terkenal sebagai pusat pelancongan bagi melihat penguin. Percayakah anda, disini terdapat sebuah pejabat pos yang diberi nama “Penguin Post Office” yang terletak di Port Lockroy, menjadikannya pejabat pos paling selatan di atas muka bumi.

Pejabat pos ini diuruskan oleh pihak UK Heritage Trust dan hanya dibuka selama 5 bulan dalam setahun. Kebanyakan yang menggunakan perkhidmatan disini adalah para pelancong yang datang ke sini menaiki kapal pelancong. Pejabat pos ini biasanya mempunyai 4 orang staf dan dibayar gaji sebanyak $1,700 sebulan.

4. Atas Kapal

marine post office

J.W. Westcott II adalah satu-satunya kapal di dunia yang berfungsi sebagai sebuah pejabat pos. Ianya berfungsi sebagai pengantara untuk menghantar surat kepada kapal-kapal yang melalui Sungai Detroit. Fungsinya sebagai pejabat pos bermula sejak tahun 1948 lagi.

Seperti pejabat pos lain, terdapat penurunan jumlah surat yang dihantar ke sini. Namun, ianya menyaksikan peningkatan jumlah barangan yang dihantar terutamanya barang yang dihantar melalui syarikat kurier FedEx dan USP.

5. Kutub Utara

ny alesund

Tiada apa yang menarik di kutub Utara. Kawasan yang dahulunya popular sebagai pusat perlombongan dan ekspedisi kutub utara ini kini menjadi tumpuan bagi kumpulan penyelidik dan pelancong. Terdapat kira-kira 10 pusat penyelidikan di sekitar kawasan ini. 

Walau bagaimanapun, terdapat sebuah pejabat pos yang masih berfungsi disini di bandar Ny-Alesund, menjadikannya sebagai pejabat pos paling utara di atas muka bumi. Ianya digunakan oleh kebanyakan pelancong yang mahu menghantar poskad kepada kenalan mereka di serata dunia.

Kredit:

  1. MSN
  2. BBC



Hakcipta iluminasi.com (2017)