Sistem penghantar bungkusan dan pos zaman sekarang memang menjadi satu elemen penting dalam hidup kita.

Penulis sendiri aktif dalam urusan pembelian barangan melalui dalam talian, jadi penghantaran bungkusan ke kediaman penulis kerap kali berlaku. Lagipun, kebiasaannya tak perlu pun kita menunggu untuk menerima pesanan apatah lagi harga yang ditawarkan juga sangat-sangat-sangat berpatutan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Zaman sekarang, daripada sekecil-kecil barangan sehinggalah sebesar-besar sofa sekalipun, semuanya mampu dihantarkan terus ke rumah kita. Tahukah anda, satu masa dahulu manusia juga boleh dihantarkan melalui pos?

Regulasi sistem pos yang kurang syarat

pos bayi zaman dulu dulu

Salah satu pengenalan perkhidmatan yang cukup besar impaknya kepada dunia, adalah pengenalan sistem pengeposan yang berlaku pada awal abad ke 20.

Dengan pengenalan sistem ini, orang ramai khasnya pihak-pihak yang berurusan dengan bungkusan-bungkusan bersaiz besar tidak lagi perlu bersusah payah melakukan penghantaran dan urusan logistik sendiri, sebaliknya boleh mengupah syarikat penghantaran bagi tujuan itu.

Namun pada era tersebut, ketetapan dan peraturan yang dijadikan regulasi agak longgar - membolehkan kelompongan pada jenis barangan yang boleh dihantar, diambil kesempatan ke atasnya.

Salah satu perkara yang berlaku ketika itu (mujurlah tidak menjadi kebiasaan) adalah bagaimana sesetengah ibu bapa memilih untuk menghantarkan anak mereka yang masih kecil, ke kampung halaman bagi dijaga datuk dan nenek.

Ya, jangan terkejut pula. Perkara ini memang benar-benar berlaku.

Individu pertama dihantar dengan pos

bayi diangkut posmen

Seorang bayi bernama James Beagle berusia 8 bulan, direkodkan menjadi individu pertama selepas pengenalan sistem pos yang dihantar oleh ibu bapanya - kepada neneknya yang tinggal 12 kilometer jauhnya dari kediaman mereka.

Disebabkan tiadanya regulasi tetap ketika itu, pihak pos memilih untuk menguruskan penghantaran 'bungkusan' itu seperti biasa, menimbangnya dan mendapati beratnya tidak melebihi had maksima 4.9 kg berat bungkusan yang ditetapkan.

James dihantar dengan selamat ke rumah neneknya dan bayaran yang dikenakan ke atas urusan penghantaran itu, hanyalah USD0.15.

Apa yang dilakukan oleh ibu dan ayah James, pasangan bernama Jesse dan Mathilda Beagle dilaporkan dalam akhbar menyebabkan penghantaran itu mendapat liputan meluas di kalangan ahli masyarakat.

Bila dah tular, mesti ada yang akan cuba tiru kan? Ada. Apatah lagi pihak pos sendiri tidak meminda peraturan mereka bagi menghalang perbuatan itu.

Kanak-kanak dan bayi dihantar bagi menjimatkan kos

kanak kanak dalam kotak

Sepanjang tahun 1913 sehinggalah tahun 1915, sebanyak 7 kes penghantaran serupa berjaya dilakukan oleh pihak pos melibatkan individu bayi dan kanak-kanak.

Kenapa tindakan ini dilakukan segelintir ibu bapa?

Pada era tersebut, kos untuk menghantar anak-anak mereka kembali ke kampung menggunakan keretapi agak tinggi berbanding dengan kos pengeposan. Oleh sebab itulah ada ibu bapa yang memilih jalan sebegitu.

Lagipun pada zaman tersebut, ahli masyarakat sendiri mengenali penghantar yang bekerja dengan syarikat pos membolehkan wujudnya kepercayaan bagi ibu bapa meyakini akan keselamatan anak-anak mereka.

charlotte may pierstorff

Salah satu kisah penghantaran anak paling popular melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun semasa diposkan, bernama Charlotte May Pierstoff.

Charlotte diposkan oleh ibu bapanya ke rumah datuk dan neneknya yang terletak 120 km dari kediamannya, pada bulan Februari tahun 1914 dibantu oleh penghantar yang juga saudara kepada keluarganya.

Sesuatu yang melucukan - bagi menanggung kos penghantaran itu, baju Charlotte ditampalkan dengan setem berjumlah USD0.53 sebagai bayaran.

Kisah penghantaran Charlotte menjadi titik tolak kepada perubahan sistem pengeposan setelah ceritanya tersebar, menyebabkan jabatan pos Amerika Syarikat meminda peraturan mereka menghalang pengeposan manusia dalam perkhidmatan mereka.

Bagaimanapun, peraturan baru itu lambat dikemaskini menyebabkan beberapa insiden serupa masih berlaku selepas itu untuk beberapa tahun.

'Bungkusan' kanak-kanak terakhir dalam sejarah

agensi pos manusia

Individu terakhir dalam sejarah perkhidmatan pos Amerika Syarikat dihantar sebagai bungkusan, adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun bernama Maud Smith.

Pada bulan Ogos tahun 1915, Maud yang dijaga datuk dan neneknya mendapat perkhabaran bahawa ibu kandungnya sakit. Tidak mempunyai kaedah lain, kedua-dua datuk dan neneknya memberanikan diri menghantar Maud pulang ke rumahnya.

Maud ditempatkan dalam sebuah keretapi pengangkut barangan melalui perjalanan sejauh 65 kilometer dan tiba di Kentucky, bersama bungkusan-bungkusan surat yang lain.

Posmen bernama James Haddix yang ditugaskan menghantarnya pada mulanya meragui status kesahihan penghantaran tersebut, namun tetap melaksanakan tanggungjawabnya kerana Maud diletakkan sekali bersama bungkusan-bungkusan yang lain dalam keretapi - dan setiap penghantaran wajib disampaikan kepada penerimanya.

Maud dipangku James sepanjang perjalanan, diberikan gula-gula dan epal serta kerap kali ketawa memandang ke luar.

Dijaket merah jambu yang dipakainya terlekat setem bernilai USD0.30, tag penghantaran serta kertas bertulis nama dan alamat penerimanya -  Cellina Smith, ibu kandung kanak-kanak itu.

Ekoran daripada insiden tersebut, siasatan di atas kecuaian pihak pos yang masih membenarkan regulasi mereka dilanggar dijalankan.

Ada pihak mendakwa Maud bukanlah manusia terakhir dipos, sebaliknya amalan itu tetap berterusan dan hanya berjaya ditamatkan sepenuhnya pada tahun 1920-an. Itu tidak penting.

Yang penting kini anda tahu, satu masa dahulu ada ibu bapa sanggup mengeposkan anak mereka bagi menjimatkan kos.

Nasib baiklah kanak-kanak itu tidak dicampak sahaja atau dibiarkan di luar rumah apabila sampai ke destinasi, seperti yang kerap dilakukan sesetengah pekerja pos tidak bertanggungjawab zaman sekarang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)