Kepercayaan-kepercayaan tradisional masih terus dipegang masyarakat di seluruh dunia, walaupun laungan kesaksamaan gender semakin hari semakin kuat kedengaran.

Banyak pihak khasnya golongan aktivis feminis kerap kali melaungkan agar tidak lagi wujud segregasi yang membezakan antara lelaki dan wanita setiap masa, di mana wanita perlu diberikan peluang serupa dalam semua perkara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Disebabkan pertembungan antara amalan tradisional ini yang kelihatan bercanggah dengan pemikiran era baru, wujud beberapa lokasi di dunia yang terus keras mempertahankan pendirian mereka. Berikut adalah lima lokasi di dunia di mana wanita ditegah keras daripada menghadiri mahupun menghampirinya.

1. Kuil Shabarimala, India

sharibala kuil hindu

Kuil Shabarimala adalah sebuah kuil penganut Hindu yang terletak di Kerala, India. Sejak tahun 1991, kuil ini menjadi kawasan larangan bagi mana-mana wanita yang masih menjalani proses ovulasi.

Larangan ini bagaimanapun berjaya dicabar oleh kumpulan pejuang hak asasi pada tahun 2018, mengakibatkan mahkamah India mengisytiharkan bahawa semua penganut Hindu tak kira jantina dan usia harus dibenarkan masuk ke dalam kuil itu.

sabarimala india kuil

Pengisytiharan ini menyebabkan kontroversi besar-besaran setelah beberapa kumpulan wanita cuba memasuki dewan utama kuil itu tetapi dihalang. Selepas dua orang wanita berjaya masuk ke dalam dewan utamanya melalui pintu belakang dengan bantuan polis - kuil itu ditutup bagi tujuan penyucian.

Pada penghujung tahun 2019, kerajaan Kerala mengumumkan mereka akan mengenakan larangan ke atas wanita selepas kes ini dibuka kembali di mahkamah untuk dibicarakan.

2. Pulau Okinoshima

pulau okinoshima world heritage

Pulau Okinoshima merupakan salah sebuah kawasan yang dianggap suci oleh masyarakat Jepun, terletak berdekatan Kyushu.

Mempunyai keluasan sebesar 240 ekar, pulau ini telahpun diisytiharkan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2017, berikutan kesan sejarahnya.

Apa yang menarik, pulau ini bukan saja melarang wanita hadir malahan hanya membenarkan 200 orang lelaki saja masuk ke pulau itu pada satu tarikh sahaja; 27 Mei setiap tahun.

Ritual yang dijalankan setiap 27 Mei sempena memperingati perang yang berlaku tidak jauh daripada pulau tersebut memerlukan individu lelaki yang hadir berendam di pantai - tanpa berpakaian seurat benang pun.

Berendam ini dijadikan peraturan wajib, bagi menyucikan semua pelawat lelaki sebelum mereka dibenarkan masuk ke kawasan-kawasan seterusnya.

3. Gunung Omine

pulau omine jepun kawasan larangan

Kawasan suci Gunung Omine menjadi salah satu lokasi penyembahan utama agama Shugendo, sebuah agama kuno yang dianuti kumpulan minoriti warga Jepun.

Diasaskan sekitar abad ke 7 hasil penggabungan beberapa ideologi dan doktrin Buddha, Tao, Shinto dan Vajra, 'Shugendo' dalam bahasa Jepun membawa makna 'orang gunung' dan Omine menjadi salah satu pusat utama ajaran ini.

Untuk lebih 1,300 tahun hanya kumpulan lelaki saja dibenarkan mendaki gunung ini untuk sampai ke sebuah tokong yang dibina di puncaknya, pada ketinggian lebih 5,000 kaki.

gunung omine jepun larangan

Walaupun pada tahun 1872 kerajaan Jepun mengharamkan sebarang bentuk dekri yang menghalang kehadiran sesuatu ke sesuatu lokasi disebabkan oleh faktor jantina, sami-sami di Gunung Omine terus berkeras mempertahankan tradisi ini.

Apa yang unik, kaum wanita juga tidak menimbulkan kontroversi - sebaliknya turut menghormati permintaan sami-sami di situ. Tidak seperti apa yang berlaku di Kuil Sharimabala.

4. Pergunungan Athos, Greece

gunung athos greece no entry woman

Sebuah kawasan pergunungan yang agak luas dengan saiz melebih 335km persegi, Pergunungan Athos merupakan pusat ajaran Ortodoks yang sangat penting di Eropah.

Dikenali dengan nama 'Agion Oros' di Greece atau 'Gunung Suci,' sudah lebih 1,000 tahun kawasan pergunungan ini dibuka bagi melatih sami yang datang daripada negara Eropah Timur, seperti Romania, Russia, Bulgaria, Serbia dan Moldova.

Seluruh kawasan semenanjung ini menjadi kawasan larangan, bukan sahaja kepada golongan wanita malahan turut sama melibatkan haiwan betina. Kami tidak tahu siapa yang ditugaskan untuk melakukan saringan terhadap haiwan yang ada.

mali athos kawasan laranga

Bukan saja wanita dilarang daripada masuk, malahan wanita juga turut dilarang daripada mendekati pesisir pantai semenanjung ini - hanya dibenarkan berada pada jarak 500 meter sebelum dianggap masuk ke kawasan larangan.

Tradisi ini dikekalkan bagi mengormati kehadiran Virgin Mary ke kawasan itu yang menukarkan kawasan itu daripada dipenuhi penganut ajaran paganisme kepada ajaran Ortodoks Kristian.

Selepas permintaan Mary untuk menjadikan kawasan itu miliknya dimakbulkan, penganut ajaran Ortodoks di situ berusaha untuk memastikan hanya Mary satu-satunya wanita yang pernah menjejakkan kaki ke situ.

5. Lorong Herbertstrasse, Jerman

herbertstrasse jerman pelacuran

Jika ke empat-empat lokasi di atas larangannya datang daripada dengan kepercayaan dan spiritualiti, Herbertstrasse pula sebaliknya. Lokasi unik ini yang mempunyai sejarah panjang di Jerman dilarang daripada dimasuki wanita - disebabkan kegiatan pelacuran yang dijalankan didalamnya.

Terletak di Hamburg, Herbertstrasse merupakan lokasi popular yang telah wujud agak lama sejak abad ke 19 lagi, sehinggakan semasa era pemerintahan Nazi sendiri - kerajaan Nazi Jerman memilih untuk mendirikan pagar penghadang bagi 'menutup' aktiviti yang berlaku di dalamnya.

Pagar yang didirikan walaupun sudah banyak kali diruntuhkan oleh gerakan-gerakan aktivis yang mahu menghalang pengeksploitasian wanita tetap didirikan semula. Larangan untuk wanita masuk berjaya dikekalkan.

herbertstrasse jerman

Sehingga kini aktivis gender berusaha untuk 'membebaskan' kawasan tersebut daripada sindiket-sindiket yang beroperasi di dalamnya.

Dalam tunjuk perasaan sempena hari wanita sedunia pada bulan Mac tahun 2019, sekumpulan feminis dengan menggunakan peralatan pertukangan berjaya membuka pagar besi yang didirikan, bagi membolehkan kaum wanita menggunakan lorong tersebut.

Satu saja masalahnya - mereka bertukang bersama-sama menurunkan pagar tersebut, dalam keadaan tidak berbaju. Apa keperluannya di situ?




Hakcipta iluminasi.com (2017)