Setiap kali tibanya bulan Ogos, negara kita Malaysia mula meriah untuk bersedia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang kita sambut setiap 31 haribulan pada bulan tersebut.

Selain itu, kita juga mempunyai satu lagi sambutan iaitu sambutan Hari Malaysia yang berlangsung pada 16 September setiap tahun bagi merai penubuhan Persekutuan Malaysia. Jiran-jiran kita yang berdekatan juga turut sama mempunyai sambutan hampir serupa di negara mereka, pada tarikh yang berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya di sini - ada tak negara yang langsung tak menyambut apa saja bentuk hari kemerdekaan atau kebangsaan negara mereka?

Apa majoriti sambutan yang dirai negara luar?

empayar british raja george

Kami ajukan satu soalan kepada anda - anda rasa lagi banyak negara menyambut hari kemerdekaan atau hari kebangsaan?

Jawapannya : lebih banyak negara di seluruh dunia meraikan sambutan hari kemerdekaan kerana banyak negara memegang status sebagai negara yang pernah  dijajah. Majoritinya adalah negara yang dijajah kuasa-kuasa Eropah lah!

48 buah negara menyambut kemerdekaan daripada Britain, 22 daripada Perancis, 19 daripada Sepanyol, 8 daripada Portugal dan Kesatuan Soviet sementara 5 daripada Empayar Uthmaniyah.

Negara selebihnya pula merdeka disebabkan bebas dalam situasi-situasi unik. Kami sebutkan beberapa contoh di bawah.

Negara yang merdeka bukan daripada kuasa kolonial

singapura merdeka dari malaysia

Selain penjajahan kuasa besar ada juga beberapa negara yang merdeka dalam situasi berbeza.

Antara negara yang merdeka tergolong dalam kumpulan ini seperti Singapura yang meraikan kemerdekaan daripada Malaysia, Namibia daripada Afrika Selatan, Bangladesh daripada Pakistan dan Korea Selatan daripada Jepun.

Ada tak negara yang berkongsi sambutan hari kemerdekaan sama dengan Malaysia? Ada! Kita berkongsi tarikh yang sama dengan dua buah negara lain iaitu Kyrgyzstan dan Trinidad & Tobago.

Kyrgystan bebas daripada cengkaman Kesatuan Soviet pada 31 Ogos 1991 sementara Trinidad & Tobago pula sama seperti kita, merdeka daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1962.

Ada tak negara yang amal sambutan unik?

sambutan hari portugal

Bagi negara-negara yang tidak dijajah kuasa kolonial atau kuasa lain, mereka mempunyai banyak sebab berbeza dalam meraikan apa yang diistilahkan sebagai Hari Kebangsaan.

Jepun misalnya menyambut Hari Kebangsaan setiap 11 Februari sempena penubuhan Jepun berdasarkan kepada hikayat Maharaja Jimmu.

Maharaja Jimmu dipercayai merupakan pengasas asal masyarakat Jepun sekitar tahun 660SM/BC. Bagaimanapun, tidak ada bukti kukuh menunjukkan legenda sejarah mereka ini benar.

Jiran kita Thailand menjadikan tarikh 5 Disember setiap tahun sebagai Hari Kebangsaan, sempena hari kelahiran Raja Bhumibol yang baru saja melepaskan takhta pada tahun 2016.

Kerajaan Thailand memilih agar tarikh itu dikekalkan sebagai sambutan hari kebangsaan walaupun telah berlaku penyerahan takhta mengekalkan sambutan tersebut serentak dengan Hari Bapa Nasional mereka.

Portugal pula menyambut sambutan Hari Portugal sebagai hari kebangsaan mereka. Berbeza dengan negara-negara lain, rakyat Portugal meraikan tarikh kematian sasterawan terkenal masyarakat mereka Luis de Camoes iaitu 10 Jun 1580.

Sambutan bagi meraikan tarikh kematian Camoes bermula semasa era pemerintahan Republik Kedua Portugal atau 'Estado Novo', diisytiharkan pada tahun 1944.

Camoes menjadi antara tokoh dalam sejarah yang berpengaruh besar membentuk identiti baru masyarakat Portugal melalui penulisannya dan namanya diangkat sebagai simbol masyarakat.

Oleh kerana tiada siapa mengetahui tarikh kelahiran beliau, tarikh kematiannya dijadikan tarikh sambutan Hari Portugal.

Dua negara tanpa sambutan hari kebangsaan atau kemerdekaan

denmark hari perlembagaan

Di seluruh dunia, hanya dua negara sahaja yang tidak meraikan sebarang bentuk sambutan hari kebangsaan atau kemerdekaan secara rasmi. Yang pertama adalah Denmark yang meraikan Hari Perlembagaan Negara setiap 5 Jun.

Tarikh tersebut dipilih kerana perlembagaan negara Denmark berjaya dibentuk dua kali pada tarikh yang sama, sekali pada tahun 1849 dan pindaannya pada tahun 1953.

Sebuah lagi negara yang tiada hari kebangsaan adalah Britain sendiri, merujuk kepada United Kingdom khasnya.

Disebabkan oleh pembentukan United Kingdom yang disertai oleh beberapa buah negara berbeza - setiap satu negara di dalam gabungan tersebut tiada hari kebangsaan mereka; sebaliknya menyambut beberapa sambutan berbeza.

England meraikan Hari Santo George, Scotland meraikan Hari Santo Andrew, Wales menyambut Hari Santo David dan Ireland Utara memperingati Hari Santo Patrick.

Usaha untuk mencipta Hari Kebangsaan Britain sehingga kini gagal mencapai kata putus disebabkan oleh perbezaan pendapat, walaupun sudah banyak tarikh diusulkan bagi menyatukan sambutan kebangsaan mereka dalam satu hari.




Hakcipta iluminasi.com (2017)