Apabila berbicara mengenai negara Jerman, kita seringkali akan mengaitkannya dengan zaman Perang Dunia, kehebatan pasukan bola sepaknya atau pun kemajuan teknologi kejuruteraan automotifnya. Mungkin ramai yang tidak tahu Jerman juga merupakan negara yang mencatatkan kadar kitar semula tertingi di dunia.

Dalam kajian yang dilakukan oleh pihak Organisation for Economic Co-operation and Development, negara Jerman kini mengungguli tangga teratas negara yang mempunyai kadar kitar semula tertinggi. Mengikut statistik yang dikeluarkan, kira-kira 65% barangan terbuang akan dikitar semula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sementara itu, Korea Selatan menduduki tangga kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh OECD dengan peratusan 59% sementara Slovenia pula ditempat ketiga dengan peratusan 58%. Apakah faktor kejayaan Jerman dalam program kitar semulanya berbanding negara lain?

Tong sampah dengan kod warna

program kitar semula jerman

Antara usaha utama bagi menggalakkan rakyat untuk mengitar semula adalah pengenalan tong sampah dengan kod warna tertentu. Di Jerman, terdapat beberapa kod warna tong sampah seperti hiju, kuning, biru, coklat dan hitam. Setiap warna ini mewakili jenis sampahtertentu antaranya kertas, plastik dan sebagainya yang perlu diasingkan oleh setiap pemilik atau penghuni rumah.

Pengenalan tong sampah dengan kod warna ini mungkin tidak asing bagi sesetengah rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor mengapa ianya lebih berjaya di Jerman berbanding di Malaysia:

1. Bagi memastikan ianya benar-benar dilakukan, pihak yang mengutip sampah ini akan memastikan sampah-sampah ini benar-benar diasingkan mengikut kod warna yang betul. Sekiranya salah, sampah tersebut tidak akan dikutip dan anda perlu menunggu sehingga waktu berikutnya mengikut jadual yang telah ditetapkan.

2. Anda boleh melihat tong sampah berwarna ini di kebanyakan tempat di Jerman. Setiap tong sampah ini juga dilabelkan dengan jenis sampah bagi memudahkan setiap pengguna sekiranya mereka terlupa kod warna untuk setiap jenis sampah. Malah, label tong sampah bukan sahaja ditulis dalam bahasa Jerman tetapi juga bahasa Inggeris bagi memudahkan pelancong luar mengasingkan sampah mereka.

Malangnya di Malaysia, perkara ini tidak dipraktikkan dengan bersungguh-sungguh. Malah, amat sukar sebenarnya untuk menemui tong sampah pelbagai kod warna ini. Pada tahun lepas, kerajaan juga telah mengumumkan kewajipan bagi setiap penghuni rumah mengasingkan sampah di rumah. Namun nampaknya usaha tersebut nampaknya hanyalah hangat-hangat tahi ayam, sunyi sepi tanpa sebarang penguatkuasaan.

Insentif pemulangan botol untuk dikitar semula

Ini merupakan sebuah program unik yang menggalakkan setiap rakyat untuk mengitar semula. Botol minuman yang boleh dikitar semula boleh dipulangkan ke pasar raya atau Getränkemarkt (kedai minuman) dan bergantung kepada jenis, anda akan dibayar 8 - 25 sen bagi setiap botol yang dipulangkan

Dengan pengenalan program ini, setiap orang mempunyai lebih sebab untuk tidak membuang bekas minuman begitu sahaja sebaliknya akan membawanya kembali ke pasar raya berhampiran untuk menebus sedikit wang insentif.

Sementara itu, di bandar-bandar besar seperti Munich misalnya, adalah normal sekitaranya terdapat botol-botol yang diletakkan di luar kedai atau tepi jalan bagi membolehkan gelandangan mengutipnya dan menebusnya untuk sedikit wang saku. Program insentif seperti ini sememangnya sangat unik dan mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat, pengeluar minuman dan kerajaan.

Untuk setiap botol atau bekas minuman yang dipulangkan, anda akan memperoleh resit yang menyatakan jumlah yang diterima. Anda boleh memilih sama ada untuk menebus wang tunai mengikut jumlah yang tertera ataupun mendapatkan diskaun untuk pembelian anda di pasar raya tersebut.

program pemulangan botol

Polisi Kerajaan

Kejayaan Jerman dalam program kitar semulanya juga disebabkan oleh polisi kerajaan Jerman dan pengurusan sisa pepejal dan bahan terbuang. Pada tahun 1991, kerajaan memperkenalkan satu ordinan yang menetapkan bahawa pengeluar produk bertanggungjawab dalam pengurusan kitar semula pembungkusan produk mereka. Hal ini termasuklah sisa bungkusan ketika pengangkutan produk, bungkusan sekunder (contoh: kotak karton air) dan bungkusan primer (contoh: tin minuman).

Pada tahun 1996, kerajaan telah memperkenalkan sebuah akta yang mewajibkan sesiapa sahaja yang menghasilkan, memasarkan dan menggunakan sesuatu produk bertanggunjawab untuk proses guna semula (reuse), kitar semula (recycle) dan pelupusan sisa sampah.

Akta ini bertujuan untuk menggalakan setiap pihak yang terlibat untuk memfokuskan kepada salah satu strategi pengurusan bahan terbuang yang berikut - mengelakkan penghasilan sisa buangan, pemulihan sisa buangan dan pelupusan sisa buangan mesra alam sekitar.

Kredit:

  1. NY Times
  2. Packing My Suitcase



Hakcipta iluminasi.com (2017)