Terdapat banyak undang-undang di seluruh dunia mengenai tempoh waktu bekerja bagi setiap pekerja. Secara purata, masa bekerja bagi seseorang pekerja adalah antara 40 - 44 jam bagi setiap minggu. Di kebanyakan negara juga, terdapat undang-undang yang menyatakan jumlah masa bekerja maksimum yang dibenarkan untuk seseorang pekerja.

Walau bagaimanapun, terdapat juga pekerja yang gemar bekerja dalam tempoh yang lebih panjang. Tempoh waktu bekerja ini juga biasanya dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti lokasi, jenis pekerjaan, budaya dan gaya hidup seseorang. Faktor elaun tambahan bagi pekerja yang bekerja lebih masa juga mendorong seseorang itu bekerja lebih lama daripada kebiasaan.

Di internet, kita sering dipaparkan gambaran pekerja di Jepun yang sanggup bekerja dalam tempoh yang lama. Malah, seseorang pekerja yang tertidur pada waktu bekerja juga dipandang mulia kerana dianggap sanggup bekerja keras sehingga terlalu kepenatan dan tertidur di pejabat.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 5 negara dimana rakyatnya menghabiskan masa yang lama di tempat kerja. Menariknya, negara Jepun tidak berada dalam senarai ini. Kedudukan negara dalam senarai ini ditentukan berdasarkan purata jumlah jam dalam setahun yang dihabiskan pekerja di tempat kerja mereka. Kajian ini telah dibuat oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

1. Mexico

pekerja mexico

Berada di kedudukan pertama adalah negara Mexico. Secara purata, pekerja di negara ini meluangkan 2246 jam setahun, bersamaan kira-kira 10 jam sehari di tempat kerja. Mengikut undang-undang di Mexico, setiap pekerja dibenarkan untuk bekerja maksimum 48 jam sahaja setiap minggu.

Walau bagaimanapun, kerana kelemahan penguatkuasaan dan tahap ekonomi yang kurang memberangsangkan negara ini, ramai pekerja yang memilih untuk bekerja dalam tempoh yang lebih lama. Selain itu, kerana tahap pengangguran yang tinggi juga, kebiasaannya pekerja sanggup bekerja lebih masa kerana khuatir akan dibuang kerja oleh majikan masing-masing.

2. Korea Selatan

pekerja korea selatan

Secara purata, pekerja di Korea Selatan menghabiskan 2113 jam setahun di tempat kerja. Ini menjadikannya berada di kedudukan kedua dalam senarai ini. Tempoh masa bekerja yang panjang ini disebabkan sistem perindustrian yang diamalkan dan budaya bekerja waktu malam yang banyak diamalkan di sini.

Dari segi undang-undang, setiap pekerja dibenarkan untuk bekerja 40 jam maksimum setiap hari, atau purata 8 jam sehari. Walau bagaimanapun, kerajaan turut membenarkan setiap pekerja membuat kerja lebih masa sehingga 12 jam pada hari biasa dan 16 jam pada hujung minggu. Selain itu, pekerja di sektor swasta juga secara puratanya bekerja lebih 5 jam sehari daripada pekerja dalam sektor awam.

3. Greece

pekerja greece

Greece merupakan salah satu negara dalam organisasi Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang mempunyai tempoh masa yang bekerja panjang. Greece berada di tempat ketiga dalam senarai ini dengan purata 2,042 jam waktu bekerja setahun.

Dari segi purata mingguan pula, pekerja di Greece meluangkan masa selama 42 jam seminggu di tempat kerja. Statistik ini menjadikan Greece sebagai negara yang mempunyai waktu bekerja yang paling panjang di Eropah.

4. Chile

pekerja chile

Berada di tangga keempat dalam senarai ini adalah Chile dimana pekerja di negara ini meluangkan 1988 jam bekerja dalam setahun. Mengikut undang-undang pekerja di Chile, secara purata setiap pekerja dibenarkan bekerja selama 45 jam seminggu dan 2 jam tempoh bekerja lebih masa.

Selain itu, terdapat juga laporan yang menyatakan kira-kira 16% pekerja di Chile bekerja lebih daripada 50 jam seminggu. Hal ini boleh terjadi disebabkan tiada penguatkuasaan undang-undang yang ketat terhadap tempoh maksimum waktu bekerja.

5. Russia

pekerja russia

Russia pula berada di tangga kelima dengan jumlah purata 1978 jam setahun, kurang 10 jam berbanding Chile. Dari segi undang-undang pekerja, setiap pekerja hanya dibenarkan bekerja maksimum 40 jam seminggu. Undang-undang kerja lebih masa yang ketat menyebabkan hanya segelintir pekerja yang dibenarkan bekerja lebih daripada 50 jam seminggu.

Jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat, pekerja di Russia menghabiskan 200 jam lebih masa di tempat kerja berbanding pekerja di Amerika Syarikat. Jumlah tempoh bekerja yang lebih lama ini adalah kerana kekurangan peluang pekerjaan separuh masa di sana. Di Russia, hanya 5% pekerja yang bekerja separuh masa.

Kredit:

  1. Forbes
  2. CNN

tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)