Kawasan larangan penerbangan atau juga dikenali sebagai 'no fly zone' merupakan kawasan di mana sebarang bentuk penerbangan baik menggunakan kapal terbang, helikopter atau dron dilarang.

Wujud bermacam sebab mengapa larangan ini diperkenalkan, kebiasaannya atas faktor keselamatan, bukan saja untuk melindungi kawasan tersebut malahan yang lebih penting melindungi penumpang yang sedang terbang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita mungkin sudah biasa dengan kawasan larangan penerbangan yang ada disebabkan faktor peperangan, seperti di Ukraine yang telah menyebabkan MH17 ditembak jatuh. Bagaimana pula dengan beberapa kawasan lain yang agak unik kisahnya? Berikut adalah lima kawasan yang kami rasakan unik dijadikan kawasan larangan penerbangan di dunia.

1. Banjaran Himalaya, Tibet

banjaran himalaya tibet

Banjaran Himalaya yang menjadi lokasi gunung-gunung tertinggi di dunia sehingga digelarkan 'bumbung kepada bumi' menjadi salah satu lokasi di mana sebarang bentuk penerbangan diharamkan. Semua pesawat komersial biasanya mampu terbang setinggi 50,000 kaki tetapi hanya dibenarkan naik setinggi 45,000 kaki atas faktor keselamatan.

Pesawat tidak dibenarkan melalui lokasi ini kerana dalam keadaan di mana tekanan udara berkurangan, juruterbang perlu menurunkan ketinggian pesawat sekurang-kurangnya 10,000 kaki bagi membantu menstabilkan oksigen dalam kapal terbang.

Keadaan kawasan yang bergunung-ganang di lokasi tersebut akan menyebabkan juruterbang ketiadaan ruang yang cukup untuk menurunkan pesawat, atas risiko bertembung dengan gunung yang tinggi. Selain itu, risiko kerosakan enjin yang memaksa pesawat terbang lebih rendah juga diambil kira, jadi Banjaran Himalaya, Tibet sangat terkenal sebagai kawasan larangan penerbangan di dunia.

2. Taman tema Disneyland, Amerika Syarikat

dumbo disneyland

Salah satu kawasan larangan penerbangan yang unik adalah dua taman tema Disney yang terletak di Florida dan California. Bagaimanapun larangan ini bukanlah larangan menyeluruh. Pesawat masih boleh melalui dua taman tema tersebut - asalkan melebihi ketinggian 3,000 kaki.

Alasan yang digunakan semasa permohonan larangan itu kepada kerajaan Amerika Syarikat menyebut bahawa Disney mahu melindungi pengunjung yang hadir daripada bunyi bising enjin pesawat serta mencegah kejadian 9/11 berulang. Bagaimanapun, banyak pihak menyebut tujuan sebenar larangan itu diperkenalkan adalah kerana Disney tidak mahu ada pihak menerbangkan iklan di atas udara taman tema Disney.

Apa yang menjadi bahan ketawa, selepas larangan itu berjaya dikuatkuasakan atas permintaan Disney pada tahun 2003 - Disney terpaksa melakukan rayuan untuk mewujudkan pengecualian bagi penggunaan dron di taman tema mereka sendiri, kerana sekiranya dron digunakan walaupun oleh Disney, pelanggaran undang-undang telah berlaku. Selepas melobi pengecualian, akhirnya pada penghujung tahun 2016 - Disney dibenarkan menerbangkan dron di taman tema mereka sendiri. (rujukan)

3. Pulau Imrali, Turki

pulau imrali turki

Pulau Imrali merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai keluasan 9.98km persegi yang menempatkan sebuah penjara yang digunakan bagi mengurung tahanan-tahanan politik kerajaan Turki.

Salah seorang tahanan yang pernah dikurung dan dibunuh di penjara tersebut adalah Adnan Menderes, perdana menteri Turki yang telah digulingkan kerana cuba memperbetulkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh Mustafa Kemal Ataturk, pada tahun 1961. Mana-mana individu yang tidak bernasib baik dipenjarakan di sini akan terus terputus hubungan dengan dunia luar kerana tiada sebarang bentuk bantuan guaman dibenarkan. Lawatan keluarga juga dilarang.

Tidak ramai banduan dikurung di situ, dengan anggaran 4-5 saja ada di situ sekarang. Abdullah Ocalan, seorang pemimpin parti PKK di Turki dihukum penjara seumur hidup dan dia dilaporkan pernah menjadi satu-satunya banduan yang dipenjarakan di Pulau Imrali bermula tahun 1999 hingga 2009.

4. Machu Picchu, Peru

machu pichu

Salah satu lokasi yang menjadi bukti keagungan Tamadun Inca, Machu Picchu yang merupakan destinasi pelancongan paling terkenal bagi negara Peru - menjadi kawasan larangan bagi sebarang bentuk penerbangan sejak tahun 2006. Larangan ini diperkenalkan selepas kumpulan aktivis alam sekitar menyifatkan aktiviti penjelajahan Machu Picchu dengan menggunakan helikopter sebagai tindakan yang merosakkan lokasi bersejarah tersebut.

Helikopter juga dikatakan bertanggungjawab menyebabkan kehilangan beberapa spesis orkid liar yang tumbuh di kawasan tersebut serta ketiadaan spesis burung jenis Andean Condor yang sebelum itu menjadikan Machu Picchu rumah mereka.

Kontroversi besar timbul selepas larangan ini diperkenalkan, kerana beberapa hari sebelum itu kerajaan Peru baru saja membenarkan aktiviti dengan helikopter dibenarkan untuk dijalankan di kawasan bersejarah itu. (rujukan)

5. Rumah Lionel Messi di Barcelona

lionel messi larangan penerbangan

Sebuah insiden pada tahun 2018 menimbulkan kontroversi melibatkan pemain bola sepak terbaik/kedua terbaik dunia, Lionel Messi. Presiden kepada sebuah syarikat penerbangan tambang murah Vueling yang bernama Javier Sanchez Prieto mengkritik kegagalan projek pembesaran lapangan terbang El Prat kerana kediaman Lionel Messi berada berdekatannya.

Rancangan menambah baik lapangan terbang itu terpaksa dihentikan, dipercayai oleh Prieto disebabkan Messi menggunakan statusnya yang dianggap anak emas Barcelona untuk menghentikannya, sehingga syarikat penerbangan terpaksa mengehadkan tempahan hanya semata-mata menjaga hati Messi.

Bagaimanapun, semakan rekod mendapati keseluruhan kawasan yang bukan saja didiami oleh Lionel Messi, malahan dua rakan sekelabnya iaitu Luis Suarez dan Philippe Countinho - memang merupakan kawasan di mana sebarang bentuk penerbangan dilarang lalu disebabkan oleh usaha perlindungan alam.

Hanya secara kebetulan pula Lionel Messi tinggal dalam kawasan di mana kapal terbang tidak dibenarkan terbang di atasnya. Kini anda dah tahu lah, kita tidak boleh terbang di atas rumah beliau. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)