Oleh pada 12 Jul 2020 kategori

Bagi peminat destinasi pelancongan serta sejarah peradaban dunia, Hagia Sophia merupakan salah satu mercu tanda indah yang kerap disebut sebagai destinasi wajib dilawati.

Bangunan gergasi tersebut telah menjalani sejarah panjang, menjadi saksi kepada perubahan kuasa besar dunia serta turut mencetuskan kontroversi disebabkan oleh ketegangan sentimen agama - melibatkan pihak yang menguasainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda kisah sejarah yang telah dilalui senibina indah di Istanbul, Turki ini? Jom kita baca serba sedikit tentang Hagia Sophia - mercu tanda indah yang menjadi saksi perubahan zaman dan tamadun dunia.

Rancangan Raja Justinian mengembalikan kuasa

lukisan gereja hagia sophia

Pada tahun 532, semasa era pemerintahan Raja Justinian I mentadbir bahagian timur empayar Rom; telah berlaku rusuhan besar-besaran bagi menjatuhkan kerajaan beliau yang dilabelkan sebagai 'Rusuhan Nika' di Constantinople.

Justinian pada ketika itu baru memerintah selama 5 tahun telah memperkenalkan sistem cukai yang menekan orang ramai. Perusuh bertindak melakukan tunjuk perasaan mereka membantah cukai tersebut, sambil menjerit 'nika' yang bermakna 'kemenangan' beramai-ramai.

Dalam rusuhan yang berlaku, kumpulan perusuh turut bertindak ganas membakar dua buah bangunan gereja utama yang ada di situ, pada ketika itu digelarkan sebagai 'basilica'.

pergolakan gereja sejarah hagia sofia turki

Yang pertama adalah Hagia Eirene, sebuah bangunan yang dibina semasa era pemerintahan Raja Constantine I pada abad ke 4; digunakan pada awalnya sebagai pusat penyembahan masyarakat yang masih mengamalkan Pagan, sebelum mula digunakan pengikut ajaran Kristian.

Gereja kedua adalah bangunan asal Hagia Sophia, yang telah dibina semasa era Constantine II sekitar tahun 360 beberapa tahun selepas Hagia Eirene, melengkapkan apa yang dinamakan oleh orang Rom sebagai 'Megale Ekklesia' atau 'Gereja Teragung', disebabkan saiznya yang jauh lebih besar berbanding gereja-gereja sezamannya.

Rusuhan Nika yang berlangsung selama 3 hari memusnahkan sebahagian besar binaan, sebelum Justinian berjaya mengawal keadaan di Constantinople dengan bantuan angkatan tenteranya.

Pembinaan semula Hagia Sophia

bertukar dari gereja ke masjid

Kerosakan yang dialami dua binaan tersebut malangnya tidak dapat diperbaiki dengan mudah, sebaliknya memerlukan pembinaan semula yang layak dikatakan terlalu besar skop keperluan kerjanya.

Bagaimanapun kedua-dua binaan itu sangat sinonim dengan ajaran Kristian era tersebut.

Disebabkan pengaruh ajaran Kristian yang kuat dalam komuniti Rom ketika itu, Justinian melihat pembinaan semula Hagia Sophia yang lebih agung dan besar akan membolehkan sokongan kepadanya berjaya diperbaiki dan dikembalikan.

Beberapa minggu selepas kejatuhan Hagia Sophia akibat rusuhan, Raja Justinian mengumumkan projek pembinaan semula bangunan gereja agung itu dalam skala yang lebih besar, menggunakan rekaan yang lebih indah serta mempunyai keunikan pada bahagian bumbungnya, yang akan menggunakan rekaan kubah dihiasi dengan lukisan-lukisan.

Atas arahan Justinian, dua orang arkitek ternama era Byzantine iaitu Anthemius dan Isidorus mula melakarkan binaan baru Hagia Sophia serta mencari jalan bagi memenuhi visi yang diimpikan kerajaan Rom ketika itu.

Pelopor cara binaan baru tamadun dunia

kubah hagia sophia hajar sofia turki

Salah satu kesukaran yang dihadapi kedua-dua arkitek adalah bagaimana mereka boleh membina bentuk kubah di atas sebuah struktur berbentuk segi empat, yang dikatakan bakal menjadi kubah terbesar di dunia ketika itu?

Anthemius seorang pakar matematik, menemui solusi unik - membina empat buah tiang gergasi di setiap bucu binaan tersebut, sebelum mula membina struktur lengkungan (arch) yang menghubungkan keempat-empat tiang tersebut.

Apabila empat tiang dan tiang melengkung itu siap dihubungkan, akan terbentuk satu ruangan kosong yang digelarkan sebagai 'pendentif'.

Anthemius dan Isidorus melakukan perkiraan bahawa ruangan 'pendentif' yang terbentuk (ilustrasi atas, warna merah) boleh diisi dengan bahan binaan membolehkan permukaan rata dibentuk di bahagian puncak; yang akan dijadikan tapak kepada kubah gergasi itu.

Selesai peringkat rekaan, 10,000 orang pekerja diketuai oleh Anthemius dan Isidorus mula membina Hagia Sophia baru, disiapkan dalam jangka masa yang pantas untuk zaman tersebut; hanya mengambil masa lebih 5 tahun 10 bulan.

Bangunan baru itu dirasmikan Justinian pada 27 Disember 537.

masjid hagia sophia hajar sofia

Malangnya, proses pembinaan kubah itu sejak awal sudah berdepan kesukaran besar selepas roboh beberapa kali. Perkiraan Anthemius dalam membentuk kubah tersebut kurang sempurna, menyebabkan kubah yang terhasil tidak berbentuk bulatan tepat sebaliknya sedikit elips.

Ini mengakibatkan struktur kubah tersebut agak longgar serta gagal menampung muatan dengan baik.

Bagaimanapun kubah tersebut bertahan agak lama juga, sebelum roboh pada tahun 558 akibat gempa bumi. Justinian I yang ketika itu masih memerintah, mengarahkan sepupu kepada Isidorus arkitek asal Hagia Sophia iaitu Isidorus the Younger, untuk mereka semula dan memperbaiki rekaan asal kubah yang telah tumbang.

Isidorus memperbaiki kerosakan dan keretakan yang ada, menggantikan bahan binaan asal dengan bahan yang lebih ringan untuk binaan kubah serta meninggikan kubah tersebut lebih 6 meter.

Binaan baru itulah yang kekal sehingga kini, lebih 1400 tahun usianya.

Diambil alih kerajaan Islam

sultan mehmed muhammad fateh penakluk

Pada awal abad ke 13, golongan Tentera Salib Kristian yang diketuai Henricus Dandolo berjaya mengambil alih Constantinople untuk sementara, sebelum kembali dirampas tentera Empayar Byzantine.

Sempat juga Dandolo melakukan beberapa perubahan pada Hagia Sophia yang kesannya masih ada sehingga ke saat ini.

Constantinople selepas itu terus berdepan dengan kewujudan empayar-empayar baru, khasnya kerajaan yang didokong oleh pemimpin Muslim yang mula meluaskan empayar mereka namun Empayar Rom tetap kekal bertahan.

Hanya ketika era Raja Constantine ke 11 pada abad ke 15, Constantinople menghadapi ancaman Sultan Muhammad Al-Fatih ke 2 (Mehmed II), seorang pemerintah kerajaan Islam dari Empayar Uthmaniyah yang terkenal dengan gelaran 'Sang Penakluk.'

Akhirnya Constantinople benar-benar tumbang dan Rom mengaku kalah.

Constantinople jatuh ke tangan Muhammad Fatih, membolehkan Hagia Sophia mula dikuasai masyarakat Islam memulakan perubahan paling ketara pada fungsi dan kedudukan seni bina unik itu, bermula pada tahun 1453.

Constantinople dinamakan semula sebagai 'Istanbul' oleh kerajaan empayar Uthmaniyah dan Hagia Sophia yang selama ini digunakan sebagai sebuah gereja, ditukarkan menjadi sebuah masjid rumah ibadah masyarakat Islam.

Kesemua mozaik yang memaparkan elemen-elemen ajaran Kristian serta lukisan-lukisan wajah Jesus Christ yang terpapar di kubah dan tiang Hagia Sophia, diturunkan atau ditutup.

Pembinaan minaret yang dilakukan secara berperingkat pembinaannya bagi membolehkan azan dilaungkan tidak lama selepas pembukaan Istanbul, menandakan transformasi Hagia Sophia daripada sebuah pusat ajaran Pagan, sehingga menjadi gereja kegunaan masyarakat Kristian telah memasuki fasa baru.

Hagia Sophia kekal sebagai rumah ibadah umat Islam sehinggalah tahun 1935.

Perubahan Hagia Sophia di bawah kerajaan sekular Attaturk

binaan dalam masjid gereja hajar sufiah hagia sophia

Fungsi Hagia Sophia kepada masyarakat Islam kerajaan Turki berubah selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah, yang pada itu diketuai kerajaan Tiga Pasha.

Kebangkitan kerajaan republik Turki yang melaksanakan dasar sekularisme di bawah pemerintahan Mustafa Kemal Ataturk, menyebabkan Hagia Sophia yang dikenali rakyat tempatan dikenali sebagai Masjid Aya Sofya - ditukar fungsinya kepada sebuah muzium.

Kajian berkenaan pertukaran itu menimbulkan kontroversi serta bantahan penduduk, namun kerajaan Turki berkeras untuk memulakan usaha menjadikan Hagia Sophia sebuah muzium yang mempamerkan karya-karya seni era Byzantine dan Uthmaniyah.

Perasmian pertukaran itu dilakukan serentak dengan hari pengisytiharan Mustafa Kemal Attaturk sebagai 'Bapa Orang Turki' pada 24 November 1934.

Dalam kenyataan berkenaan perubahan Hagia Sophia itu, kabinet Turki menyebut bahawa pertukaran Masjid Aya Sofya menjadi sebuah muzium adalah selaras dengan usaha untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat disebarkan secara saksama.

Muzium Hagia Sophia dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula pada 1 Februari 1935. Situasi itu kekal sehinggalah tahun 2018.

Usaha kerajaan Turki di bawah pimpinan Reccep Tayyip Erdogan mengembalikan status Masjid Aya Sofya sebagai sebuah masjid menimbulkan banyak kritikan, khasnya daripada masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun semua itu tidak menjejaskan usaha kerajaan Turki.

Pada 10 Julai 2020, Masjid Aya Sofya kembali diisytiharkan sebagai sebuah masjid selepas Erdogan menandatangani dekri pertukarannya, walaupun berdepan pelbagai jenis bantahan daripada dalam dan luar negara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)