Menjelajah kompleks gua semulajadi merupakan salah satu aktiviti pelancongan yang semakin popular di kalangan masyarakat kita.

Lokasi seperti Gua Niah di Sarawak, Gua Kelam di Perlis, Gua Tempurung di Perak dan banyak lagi lokasi gua membolehkan pengunjung merasai suasana duduk dalam 'binaan' semulajadi.

Berbeza dengan nama-nama gua di negara kita yang lebih mencerminkan alam, beberapa gua di serata dunia mempunyai nama yang ekstrim serta menggerunkan. Berikut lima gua di dunia yang namanya mampu membuatkan pengunjung berpeluh sebelum hadir menerokainya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Hellhole, Amerika Syarikat 

hellhole virginia

Hellhole atau Lubang Neraka, merupakan gua ketujuh paling dalam di West Virginia, Amerika Syarikat; merupakan antara lokasi eksplorasi gua paling sukar di dunia. Pintu masuknya saja sempit, memang muat-muat seorang individu untuk celus. 

Dari pintu masuknya, penjelajah gua perlu menuruni ruangan terowong sempit yang panjang sebelum turun ke ruangan gua yang pertama daripada ketinggian 47 meter.

peta lengkap 1989 hellhole cave map

Penjelajahan dan proses pemetaan kompleks gua ini cukup sukar pada kumpulan ekspedisi awal.

Oleh kerana itu banyak asas kaedah panjatan dan ikatan bagi penjelajahan gua sebenarnya dicipta di lokasi ini buat kali pertama, bagi membolehkan Hellhole diterokai lebih dalam.

Sejak dekad 90-an, tanah yang menempatkan Hellhole telah dipindah milik ke pihak swasta. Perubahan ini mengehadkan penjelajahan gua unik ini walaupun masih dibenarkan berlaku.

Kini sudah lebih 68 kilometer rangkaian gua di sini telah berjaya diterokai pada kedalaman 225 meter dan telah memakan nyawa ratusan pengembara yang berani untuk cuba meneroka misterinya.

2. Devils Hole, Amerika Syarikat

devilshole

Lokasi ini diketahui telah banyak meragut nyawa mereka yang berani mencabarnya. Jadi tidak menghairankan kenapa masyarakat di Nevada, Amerika Syarikat menamakan lokasi ini sebagai Devils Hole. 

Walaupun namanya kurang menyenangkan, apa yang ada di bahagian bawah gua ini  sangat indah bagi mereka yang pernah mengalaminya.

'Devils Hole' adalah sebuah kolam air panas biasa berdasarkan apa yang kita nampak dari permukaan.

peta gua devils hole

Bagi mereka yang berani menyelam lebih dalam, mereka akan menemui lubang di dasar tasik yang menghubungkan tasik itu lebih dalam melalui sebuah terowong sempit, sebelum sampai ke sebuah ruangan berbeza yang turut bersambung dengan pelbagai kompleks gua dengan tasik lain.

Sehingga kini keseluruhan kompleks Devils Hole belum dapat diterokai disebabkan oleh keperluan melindungi spesies ikan terancam, yang dinamakan sebagai Devils Hole Pupfish.

Devils Hole adalah satu-satunya lokasi di mana ikan jenis ini ditemui jadi sebarang aktiviti penjelajahan hanya akan dibenarkan dengan syarat yang sangat ketat. 

3. Caverna de Las Brujas, Argentina

caverna brujas argentina

Caverna de Las Brujas atau 'Witches Cave' adalah sebuah kompleks gua yang terletak di pekan Bardas Blancas, Argentina. Untuk memasuki gua ini, seseorang perlu mendaki gunung terlebih dahulu kerana pintu masuknya berada pada ketinggian 1,800 meter.

Dipercayai dibentuk sejak lebih 200 juta tahun dahulu, dikategorikan gua batu kapur zaman Jurassic - terdapat banyak kisah dan hikayat yang cuba menceritakan tentang asal-usul nama tempat ini.

Majoriti penduduk percaya gua ini satu masa dahulu adalah lokasi pemujaan masyarakat peribumi mereka.

Selepas dua orang tahanan wanita yang dipercayai ahli sihir berjaya melarikan diri dari kurungan dan menyembunyikan diri di situ, kejadian aneh serta jeritan ngeri mula kedengaran, dipercayai berpunca daripada amalan mistik yang mereka berdua amalkan.

Berpunca daripada fenomena aneh itulah orang tempatan mula menggelarkan gua itu sebagai Caverna de Las Brujas, bagi memperingatkan masyarakat mereka untuk tidak menghampiri gua itu bagi mengelak perkara tidak elok menimpa mereka.

4. Death Head Hole, England

death head hole england

Mempunyai kedalaman 64 meter dari permukaan bumi, Death Head Hole merupakan pintu masuk kepada sebuah jalinan gua yang sangat luas.

Rangkaian terowong dan gua ini dinamakan sebagai 3-counties system, menyambung kawasan Cumbria, Lancashire dan Yorkshire Utara di England melalui laluan bawah tanah semulajadi sepanjang 87 km keseluruhannya.

Selepas seseorang pendaki menuruni Death Head Hole, mereka akan sampai ke sebuah gua bernama Lost John's Cave, meredah jalan licin dan berair sebelum tiba ke sebuah gua yang menjadi persimpangan utama sistem itu, dinamakan sebagai Lyle Cavern. 

Dari situ, penjelajah boleh memilih beberapa opsyen berbeza bagi meneruskan penerokaan.

death head hole england

Dibuka kepada orang ramai sepanjang tahun, semua penjelajah yang mahu menerokai laluan ini haruslah mendaftar terlebih dahulu bagi mendapatkan kebenaran tuan punya pemilik tanah.

Daripada Death Hole, terpulang kepada mereka untuk memilih ke mana hala tuju selepas itu kerana laluan yang ada terbuka panjang, telah dijelajahi dan dipetakan sejak dekad 1880-an.

Informasi ini memudahkan eskpedisi bergerak jauh asalkan mereka faham tentang bahaya dan risiko yang ada.

5. Majlis al Jinn, Oman

majlis al jin gua di oman

Gua yang terletak di Muscat, Oman ini merupakan antara kompleks gua terbesar di dunia dengan anggaran saiz 340 m panjang, 228 m lebar dan 120 m tinggi. Suhu di dalamnya pula sentiasa berada pada tahap 17 ke 18°C.

Walaupun demikian kedudukannya yang sukar untuk diakses menyulitkan usaha kerajaan Oman mahu menukarkan lokasi ini, menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di sana.

majlis al jinn oman

Terletak di sebuah banjaran pergunungan bernama Banjaran Selma; ada tiga pintu masuk yang membolehkan seseorang mengakses gua ini selepas mengharungi perjalanan dengan mendaki sendiri atau menaiki trak pikap yang cukup mencabar.

Hikayat masyarakat terdahulu menyebut 3 pintu yang ada di Majlis al Jinn atau Tempat Perjumpaan Para Jin, dibuka oleh seekor jin bermata satu yang tinggal di sana.

Semasa jin tersebut mengejar seorang wanita bernama Selma yang telah menipunya, hasil panahan halilintar yang dikeluarkan tangan jin itu ditembak 3 kali, mengenai 3 tempat di atas tanah membolehkan tanah yang menyembunyikan gua itu terdedah.

Hasil daripada kisah inilah gua itu dinamakan sebagai Majlis al Jinn dan banjaran yang melindunginya, dinamakan Banjaran Selma.




Hakcipta iluminasi.com (2017)