amalan misogi shinto jepun

Amalan berpuasa sudah menjadi satu identiti yang kita amalkan di negara kita setiap tahun, berikutan majoriti rakyat Malaysia adalah orang Muslim yang akan berpuasa setiap kali tiba bulan Ramadan.

Walaupun demikian, amalan berpuasa sebenarnya merupakan satu amalan yang layak dikatakan universal, diamalkan oleh banyak agama lain sebagai satu keperluan atau kewajipan pada penganutnya.

Pernahkah anda mengetahui serba sedikit tentang amalan berpuasa di kalangan agama-agama lain di seluruh dunia? Berikut adalah lima perspektif tentang amalan berpuasa daripada lima agama di serata dunia.

1. Berpuasa dalam agama Hindu

hindu puasa makan

Amalan berpuasa dalam agama Hindu tidak mempunyai panduan yang tetap dan setiap penganut agama Hindu diberikan kebebasan memilih hari di mana mereka akan berpuasa. Walaupun begitu, amalan berpuasa banyak sekali dianjurkan dalam ajaran agama Hindu.

Dalam agama Hindu, amalan berpuasa dinamakan sebagai amalan 'upavasa' - yang membawa makna 'dekat (upa) dan Vasa (istilah Dewa). Ini bermakna amalan berpuasa diamalkan oleh orang Hindu sebagai satu amalan yang akan mendekatkan diri mereka dengan Tuhan atau Dewa yang mereka anuti.

Penganut Hindu mengamalkan kaedah amalan berpuasa yang berbeza mengikut keraian atau kepercayaan pada waktu tertentu. Pada hari perayaan agama, puasa sepenuhnya akan diamalkan. Ada juga harinya di mana mereka akan berpuasa daripada makanan dan hanya minum air.

Ketika hari-hari Purnima (bulan mengambang penuh) dan hari Ekadasi iaitu hari ke 11 selepas hari bulan penuh, penganut Hindu akan mengamalkan puasa sepenuhnya, tidak makan dan minum daripada detik matahari terbenam sehinggalah 48 minit selepas matahari terbit keesokannya. (rujukan - PDF)

2. Amalan puasa penganut Buddha

buddhist puasa

Penganut Buddha percaya setiap orang perlu mempunyai kawalan ke atas diri sendiri dan amalan berpuasa juga dilihat sebagai salah satu cara melatih manusia mengawal nafsu. Amalan berpuasa mereka juga dilihat mempunyai pengaruh agama Hindu kerana penganut Buddha juga akan berpuasa pada hari bulan penuh yang dikenali sebagai amalan Uposatha.

Berikutan wujud dua cabang ajaran Buddha yang diikuti iaitu Thevarada dan Mahayana, cara amalan puasa mereka juga mempunyai perbezaan.

Pengikut ajaran Thevarada yang ramai di sekitar Asia Tenggara mengamalkan latihan yang dinamakan sebagai dhutanga, iaitu melepaskan kesemua tuntutan dunia ke atas mereka dan salah satu daripadanya adalah makanan.

Pengikut ajaran Mahayana pula yang majoritinya berada di bahagian Asia Timur mengamalkan puasa, tetapi masih lagi memakan sayur-sayuran kecuali 5 kategori tumbuhan yang dilarang kerana mempunyai bau yang kuat seperti halia dan bawang putih.

Wujud juga satu kaedah berpuasa yang dinamakan sebagai 'nyoong-nay', diambil daripada amalan sami Buddha di kawasan Tibet. Nyoong-nay diamalkan selama dua hari, di mana hari pertama seseorang itu akan bertafakur tetapi masih makan dan minum. Pada hari kedua pula, mereka akan mengamalkan puasa sepenuhnya daripada makan dan minum serta tabiat berkata-kata.

3. Puasa penganut Sikh

orang sikh menganjurkan buka puasa untuk muslim

Berbeza dengan agama-agama besar di seluruh dunia, ajaran Sikh mempunyai perspektif yang jauh berbeza terhadap amalan berpuasa. Ajaran Sikh percaya puasa tidak membawa apa-apa kebaikan daripada segi spiritualiti dan hanya menggalakkan pengikutnya berpuasa apabila perlu, disebabkan oleh masalah kesihatan.

Amalan puasa juga menjadi salah satu amalan yang tidak dianjurkan dalam ajaran Sikh, kerana mereka percaya apabila seseorang itu tidak mengamalkan tabiat makan dan minum seperti biasa - dia sebenarnya sedang menyeksa dirinya.

Bagi penganut agama Sikh, puasa bukanlah sesuatu yang perlu. Jika mereka perlu berpuasa - mereka disarankan untuk berpuasa daripada mengganggu wanita yang sudah jadi isteri orang lain, berpuasa daripada bercakap bohong dan berpuasa daripada melangkahkan kaki kepada sesuatu yang tidak baik. Puasa daripada benda buruklah kiranya.

4. Puasa daripada perspektif penganut Shinto

shinto misogi

Agama Shinto yang majoriti penganutnya ada di Jepun turut sama mempunyai amalan berpuasa mereka sendiri. Amalan puasa yang dinamakan sebagai 'saikai' atau 'tsutsushimi' biasanya diamalkan oleh sami-sami Kuil Shinto, setiap kali sebelum tibanya hari festival kepercayaan mereka. Sami Shinto pada zaman dahulu mengamalkan 'saikai' selama sebulan namun kini dihadkan selama sehari saja, setiap kali festival tiba.

Selain itu, penganut agama Shinto juga akan berpuasa bila tibanya giliran mereka untuk melalui acara 'Misogi.' Misogi adalah satu ritual di mana penganut Shinto perlu duduk di bawah air terjun bersebelahan sebuah tokong, dengan beberapa lokasi destinasimenjafi  popular mereka menunaikan amalan ini.

Dianggap sebagai salah satu ritual wajib amalan Shinto, penganut Shinto akan berpuasa dan bertafakur serta bersembahyang bagi mempersiapkan diri mereka. Amalan Misogi boleh dilakukan sendirian atau beramai-ramai, namun ramai yang memilih untuk datang dalam bentuk kumpulan dengan seorang ketua akan menjadi pengantara kepada upacara ritual tersebut.

5. Puasa orang Kristian

kristian berpuasa 40 hari lent

Dalam agama Kristian, puasa memang memainkan peranan yang besar serta dilihat salah satu cara terbaik penganutnya mendekatkan diri dengan Tuhan. Salah satu amalan puasa paling popular di kalangan penganut Kristian adalah puasa 40 hari sempena musim Lent.

Puasa pada musim Lent dilakukan selama 40 hari bagi memperingati pengorbanan dan susah payah yang telah dilalui Jesus Christ, semasa perjalanannya di padang pasir. Kisah ini yang dicatatkan dalam Kitab Bible dengan nama 'The Temptation of Christ' menjadi asas kepada amalan berpuasa dalam tempoh tersebut.

Dalam zaman moden, amalan berpuasa sempena musim Lent ini mempunyai banyak kelonggaran, dengan berpuasa yang diamalkan tidaklah bermakna seseorang itu perlu menghindari makan dan minum sepenuhnya. Ada gereja yang membenarkan pengikutnya masih makan dan minum, dengan hanya mengelakkan diri daripada makan daging sahaja.

Amalan berpuasa sepenuhnya, menghindari makan dan minum serta perkara-perkara lain seperti merokok atau minum arak masih lagi diamalkan oleh beberapa golongan penganut ajaran Kristian. Amalan itu dinamakan sebagai 'Black Fasting' memerlukan seseorang Kristian tidak makan dan minum, mengelakkan makanan segar seperti daging, telur, keju dan susu, tidak mengambil alkohol dan hanya kembali makan dan minum selepas terbenam matahari.


tags : , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)