Pada tahun 2012, hasil maklumat dan intipan yang dilakukan, polis Russia menyerbu ke rumah Faizrakhman Sattarov.

Ketika itu Faizrakhman sudah berusia 83 tahun. Hasil serbuan itu didapati wujud satu jalinan terowong yang digali sekian lama, bersambung dengan kediamannya. Yang lebih menakjubkan, bukan satu atau dua bilik sempit berjaya digali oleh beliau dan pengikutnya - wujud lapan tingkat bilik bawah tanah yang dibina bagi menempatkan kesemua yang percaya 'kebenaran' yang dibawa Faizrakhman.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka percaya Faizrakhman adalah Nabi yang diutus kepada mereka.

Faizrakhman Sattarov, bekas mufti yang terpesong

faizrakhman sattarov ketua ajaran sesat

Tidak diketahui dengan jelas apa sebenarnya yang mengubah pemikiran Faizrakhman. Dia terkenal sebagai seorang alim ulama' di Republik Tatarstan, yang tertakluk dalam pentadbiran Persekutuan Russia.

Pernah menjawat jawatan mufti pada era pertengahan 1960-an, Faizrakhman mula berubah selepas insiden hampir terkena percikan elektrik daripada wayar sebuah bas,  dipercayai oleh beliau sebagai petunjuk daripada Tuhan.

Ekoran kesedaran itu, dia menubuhkan gerakannya sendiri pada tahun 1970-an, membawa bersama lebih kurang 70 orang pengikut. Faizrakhman mula mengatakan dirinya adalah Nabi dan Rasul yang diutus bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Mengakui dirinya khalifah Islam, mesejnya kepada pengikutnya berkisar kepada usaha untuk membina semula sistem khalifah di bumi.

Walaupun diisytiharkan sebagai ajaran sesat oleh majoriti ahli agama Islam Russia, pengikut setianya yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Muammin' tetap berpegang teguh dengan pegangan yang Faizrakhman adalah seorang Nabi dan Rasul.

Mula mengasingkan diri daripada masyarakat

bilik bawah tanah yang dibina

Bagi mengabdikan diri mereka pada kepercayaan yang mereka pegang, Faizrakhman dan pengikutnya berpindah ke sebuah rumah tiga tingkat yang terletak di wilayah Kazan pada tahun 1996. Di sinilah bermulanya kegiatan mereka secara serius, dengan gerakan tersebut mengisytiharkan kawasan mereka bebas daripada undang-undang dan hubungan dengan dunia luar.

Sebuah madrasah juga dibuka bagi membolehkan penyebaran ajaran mereka berjaya dilakukan dengan lebih terbuka. Untuk menempatkan pengikutnya, kumpulan 'Muammin' mula mengorek kawasan bawah tanah rumah pusat kegiatan mereka bagi membina bilik-bilik sebanyak lapan tingkat semuanya. Setiap satu tingkat dilengkapi dengan kemudahan bilik air, sinki serta dapur memasak.

khalifah ajaran tutup pagar

Ruang itu siap sepenuhnya pada tahun 1997. Secara sembunyi mereka semua hidup dalam komuniti mereka itu, terasing daripada masyarakat.

Hanya pada tahun 2012 kegiatan mereka ditemui. Ekoran siasatan yang dilakukan ke atas pembunuhan beberapa orang ahli agama Tatarstan serta serangan yang semakin kerap berlaku dipercayai dilakukan kumpulan radikal, pihak polis bertindak menyerbu ke rumah Faizrakhman. Dalam serbuan tersebut ditemui jalan masuk ke bahagian bawah tanah yang telah dibina lebih 15 tahun. Apa yang mereka temui, sangat mengejutkan masyarakat Russia.

Hidup sepanjang hayat di bawah tanah

pandangan daripada bahagian bawah tanah

Dalam serbuan pada 1 Ogos 2012 yang dijalankan, pihak polis menemui beberapa keluarga yang menjalani hidup mereka dalam keadaan daif. Lebih 38 orang dewasa hidup di bawah tanah bersama dengan 27 orang kanak-kanak.

Pasangan-pasangan kumpulan Muammin yang sudah berkahwin dan melahirkan anak di situ tanpa bantuan luar, bertindak menghalang anak mereka untuk terus tinggal dalam kawasan tersebut, membesar tanpa pernah dibenarkan meninggalkan kediaman mereka dengan majoritinya tidak pernah tahu ada kehidupan lain di luar mereka.

Kesemua mereka percaya Faizrakhman adalah seorang Nabi yang diutus serta mempelajari kitab dan buku yang dikarang sendiri beliau. Semasa serbuan dilakukan, pihak polis mendapati Faizrakhman berada dalam keadaan tenat,tidak mampu bangkit serta meracau-racau, dijaga oleh pengikutnya.

Khalifah wilayah mereka serta pengikut Faizrakhman paling setia, Gumar Ganiyev tetap mempertahankan tidak berlaku sebarang salah laku, dalam segala perbuatan mereka. Seluruh pengikut gerakan Faizrakhman percaya syaitan telah menghantar tenteranya, bagi memusnahkan kehidupan Islam yang telah mereka bina selama ini.

Rujukan

BBC News




Hakcipta iluminasi.com (2017)