Oleh pada 28 Jun 2018 kategori

Eksplorasi angkasa lepas sangat penting untuk pelbagai kajian baru sains. Maka, tidak hairanlah kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Russia dan China berlumba-lumba membangunkan teknologi untuk pelbagai projek eksplorasi angkasa lepas mereka.

Selain NASA milik Amerika Syarikat, sebenarnya terdapat banyak lagi organisasi yang diwujudkan untuk tujuan ini seperti JAXA (Japan Aerospace Exploration Agency) milik Jepun, Roscosmos milik Russia, European Space Agency (ESA) iaitu gabungan 22 buah negara Eropah dan banyak lagi. Terdapat juga syarikat swasta seperti SpaceX yang turut sama berlumba-lumba dalam eksplorasi ke angkasa ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain kos dan pelaburan yang tinggi untuk tujuan ini, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa projek eksplorasi ke angkasa sebegini sememangnya sangat berisiko tinggi. Oleh itu, kepakaran yang tinggi dan kebolehan membuat keputusan yang betul dalam masa yang singkat diperlukan.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 kemalangan besar yang pernah dicatatkan dalam sejarah eksplorasi angkasa lepas. Setiap kejadian ini mempunyai hikmah masing-masing dan memberi pengajaran bagi kepada para saintis untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

1. Kemalangan kapal Soyuz 1

3 bulan selepas Amerika Syarikat melancarkan kapal angkasa Apollo 1 ke angkasa lepas, Russia turut melakukan perkara yang sama dengan pelancaran kapal Soyuz. Kolonel Vladimir Komarov telah dipilih untuk misi ini dan dalam hanya selepas 9 minit dilancarkan ke angkasa, kapal Soyuz mula mengalami masalah teknikal.

Misi Soyuz adalah mengorbit bumi dan ketika melakukan pusingan yang kedua, panel solar yang menghasilkan tenaga elektrik untuk Soyuz gagal dibuka dan lama kelamaan, tenaga elektrik semakin rendah dan kritikal. Ketika sedang melakukan pusingan ke 13, Russia telah bercadang menghantar Soyuz 2 untuk memberikan bantuan tetapi malanganya misi tersebut dibatalkan apabila tempat pelancarannya disambar petir.

Kekurangan tenaga elektrik menyebabkan kapal angkasa ini semakin sukar dikawal. Oleh itu, Kolonel Vladimir Komarov terpaksa mengambil keputusan drastik mengalihkan laluan Soyuz 1 menghala ke bumi. Beliau bercadang untuk melompat keluar daripada kapal tersebut dan menyelamatkan diri menggunakan payung terjun. Malangnya, beliau tidak dapat mengurangkan kelajuan Soyuz 1 dan tidak sempat untuk melompat keluar. Beliau terkorban akibat letupan sebaik sahaja kapal ini menghentam bumi.

2. Kemalangan kapal angkasa Soyuz 11

soyuz 11

Kapal angkasa Soyuz 11 merupakan kapal angkasa milik Russia dan merupakan misi pertama yang dihantar untuk ke stesyen angkas lepas Salyut 1. Dilancarkan pada 30 Jun 1971, kapal ini membawa 3 orang krew dan telah berada di stesyen angkasa Salyut 1 selama 22 hari.

Selama kira-kira 3 minggu di sana, mereka telah berjaya melakukan pelbagai kajian sebelum pulang ke bumi. Kira-kira 30 minit sebelum sampai ke bumi, tiba-tiba satu injap kritikal terbuka, menyebabkan tekanan yang sangat tinggi di dalam bahagian kabin dan membunuh kesemua angkasawan ini dalam masa kurang 1 minit.

Autopsi yang dilakukan ke atas 3 orang mayat ini mendapati dalam tempoh 60 saat yang cukup menyeksakan itu, dalam keadaan tekanan yang sangat tinggi ini para angkasawan ini mengalami pendarahan otak, pecah gegendang telinga dan pendarahan dalaman pada bahagian telinga. Ketiga-tiga mereka mungkin terselamat sekiranya mereka memakai pakaian khas angkasa lepas.

3. Letupan kapal angkasa Challenger

kemalangan kapal angkasa lepas

Kemalangan kapal angkasa Challenger milik NASA merupakan kemalangan yang menyayat hati dalam dunia eksplorasi angkasa lepas. Kejadian ini berlaku pada 28 Januari 28, 1986. Kemalangan berpunca daripada kerosakan pada "O-ring", iaitu gasket yang menyambung bahagian utama kapal angkasa dengan bahagian booster.

Akibatnya, kapal angkasa yang bergerak lebih laju daripada kelajuan bunyi tersebut meletup kira-kira 1 minit dilancarkan ke angkasa. Sebelum kejadian ini, beberapa pihak telah menyatakan kebimbangan mengenai bahagian O-ring ini yang dikatakan tidak boleh berfungsi dengan baik pada suhu yang rendah.

Walaupun suhu sekeliling ketika peristiwa pelancaran itu sangat rendah iaitu -3 °C, NASA tetap berdegil untuk meneruskan pelancarannya memandangkan pelancaran kapal angkasa Challenger ini sudah tertangguh banyak kali. Akibat daripada kemalangan mengerikan ini, semua program eksplorasi angkasa lepas telah dihentikan seketika dan sebuah organisasi khas, Rogers Commission telah ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kejadian malang ini daripada berlaku.

4. Letupan kapal angkasa Columbia

kemalangan kapal angkasa columbia

Letupan kapal angkasa Columbia merupakan kejadian paling tragis selepas kejadian letupan kapal angkasa Challenger. Dilancarkan pada 16 Januari 2003, sekumpulan 7 orang angkasawan telah berada di angkasa lepas selama 16 hari dan dalam tempoh ini, mereka berjaya menjalankan 80 kajian saintifik.

Kemalangan ini berpunca daripada bahagian penebat yang tertanggal dan terjatuh ke sehingga menyebabkan lubang kecil pada bahagian sayap kiri kapal angkasa. Lapisan penebat ini berfungsi sebagai insulasi untuk melindungi tangki bahan api dari haba dan mengelakkan pembetukan ais disekilingnya. Walaupun pihak NASA mengetahui akan perkara ini, mereka mengabaikannya kerana kejadian seperti ini sudah banyak kali berlaku sebelum ini dan mereka menjangkakan tiada perkara buruk yang akan berlaku.

Malangnya, ketika kapal angkasa ini mula bergerak memasuki orbit bumi, gas dan asap telah memasuki kapal angkasa lepas ini melalui lubang pada bahagian sayap kiri kapal ini telah merosakkannya sebelum akhirnya tertanggal daripada bahagian utama kapal. Beberapa saat kemudian, akibat keadaan dalaman pesawat ini yang tidak stabil akhirnya kapal ini meletup di udara. Kerana kemalangan ini, program eksplorasi angkasa NASA terpaksa dihentikan sekali lagi buat sementara waktu.

5. Projek Percubaan Apollo-Soyuz

apollo soyuz

Pada era awal eksplorasi angkasa lepas, semua mata tertumpu pada Amerika Syarikat dan Soviet Union yang berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama ke angkasa lepas. Walau bagaimanapun, pada Julai 1975, mereka telah bersetuju untuk satu projek percubaan untuk menggabungkan kedua-dua kapal angkasa Soyuz (milik Russia) dan Apollo (milik Amerika Syarikat).

Kapal Soyuz yang ketika itu membawa 2 orang angkasawan Russia dan kapal Apollo yang membawa 3 orang angkasawan Amerika Syarikat telah bertemu di orbit dan 'bergabung'. Penggabungan ini membolehkan angkasawan daripada kedua-dua belah pihak untuk memasuki kapal angkasawan lain dan bergerak bebas di dalamnya. Selepas 44 jam, kedua kapal akhirnya berpisah dan tidak lama kemudian memulakan perjalanan untuk kembali mendarat di bumi.

Ketika inilah, bahagian sistem kawalan kapal Apollo yang mengawal ketinggian mengalami kerosakan. Akibatnya, gas nitrogen tetraoksida telah memasuki bahagian kabin dimana para angkasawan ini tinggal. Kesemua 3 orang angkasawan selamat daripada terbunuh akibat keracunan gas kerana kabin ini mempunyai sistem ventilasi yang baik. Sebaik mendarat, mereka dikejarkan ke hospital dan disyaki mendapat penyakit pneumonia. Selepas beberapa minggu dirawat, kesemua mereka akhirnya disahkan kembali sihat sepenuhnya.

Kredit:

  1. NASA
  2. Britannica Encyclopaedia
  3. Russian Space Web
  4. Space.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)