Oleh pada 25 Jun 2018 kategori

Stesyen Angkasa Antarabangsa (International Space Station - ISS) merupakan sebuah stesyen di angkasa lepas yang dimiliki, dibina dan dioperasikan oleh banyak negara antaranya Amerika Syarikat, Russia, Kanada, Jepun dan beberapa buah negara Eropah yang bergabung di bawah European Space Agency (ESA).

Idea mengenai penubuhan ISS dimulakan sejak tahun 1984 lagi apabila Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Ronald Reagan mengarahkan NASA agar membina sebuah stesyen di angkasa lepas dalam tempoh 10 tahun. Pada tahun 1998, Russia telah melancarkan modul pertamanya ke ISS. Sejak itu, banyak negara lain juga turut menghantar modul mereka ke ISS dan sejak itu ISS semakin berkembang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kini, ISS merupakan sebuah stesyen angkasa seberat 460 tan dan mempunyai saiz sebesar padang bola sepak. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 5 fakta menarik mengenai ISS yang tidak diketahui ramai. Bagi rakyat Malaysia khususnya, ISS merupakan satu perkara yang asing sehinggalah pada tahun 2007 apabila Malaysia menghantar angkasawannya yang pertama ke ISS.

1. Menerima pancaran matahari setiap 90 minit

iss mengelilingi bumi

ISS tidak berada pada kedudukan yang statik sebaliknya akan mengelilingi bumi setiap 90 minit. Akibat daripada pergerakannya ini, angkasawan yang bertugas di sini akan merasai pancaran matahari setiap 90 minit. Secara total, mereka akan melihat 16 kali peristiwa terbenamnya matahari dan 16 kali peristiwa terbenamnya matahari dalam satu hari.

Menariknya, walaupun angkasawan ini akan melihat peristiwa terbit dan terbenamnya matahari, mereka tidak dapat menyaksikan peristiwa subuh dimana matahari mula naik dan peristiwa senja dimana matahari mula terbenam kerana ianya bergerak sangat laju.

Walau bagaimanapun, angkasawan yang berada di ISS ini dapat melihat garis terminator pada setiap masa, iaitu garisan yang membezakan kawasan malam dan siang di bumi. Sekiranya anda berada di bumi, anda sebenarnya berada di kedudukan garisan terminator ini ketika berlakunya peristiwa timbul dan tenggelamnya matahari.

2. Tidak terkecuali daripada politik Antarabangsa

roscosmos

Seperti yang diperkatakan di atas, ISS bukanlah hak milik sesebuah negara tetapi dikongsi secara bersama oleh Amerika Syarikat, Russia, Japan banyak lagi. Setiap negara ini mempunyai modul dan bahagian ISS masing-masing. Secara umumnya, ISS terbahagi kepada dua bahagian - satu bahagian milik Russia yang ekslusif untuk Russia sahaja dan satu bahagian lagi milik Amerika Syarikat yang dikongsi bersama-sama dengan negara lain.

Pembahagian-pembahagian ini menyebabkan ISS juga tidak boleh lari daripada politik antarabangsa. Sebagai contoh pada tahun 2014 apabila Amerika Syarikat mempunyai konflik dengan pihak Russia dan beberapa agensi dari Russia, antaranya Roscosmos. Roscosmos merupakan agensi eksplorasi angkasa berpangkalan di Russia, sama seperti NASA. Kerana tiada roket yang dilancarkan oleh NASA ke angkasa, maka Amerika Syarikat terpaksa juga mendapatkan bantuan daripada pihak Rosmoscos untuk menghantar segala bantuan dan keperluan saintis Amerika Syarikat yang berada di ISS.

Mahu atau tidak, NASA terpaksa juga menebalkan muka meminta bantuan Rosmoscos. Tanpa bantuan mereka, NASA terpaksa memanggil pulang para angkasawan mereka yang berpangkalan di ISS dan perkara ini tentulah akan mencalarkan imej dan maruah NASA dan Amerika Syarikat.

3. Tiada fasiliti membasuh baju

kehidupan di angkasa

Secara purata, seseorang angkasawan akan menetap di ISS selama 6 bulan. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan mesin basuh untuk mencuci pakaian di angkasa. Jika ada sekalipun, mereka tidak dapat menggunakannya kerana tiada bekalan air yang mencukupi. Membawa jumlah pakaian yang banyak ke ISS juga tidak begitu praktikal kerana kos untuk membawanya begitu mahal. Selain itu, mereka juga tidak dapat membawa pulang baju kotor ke bumi kerana ruang yang sangat terhad. Apakah solusinya?

Kebiasaanya seseorang angkasawan akan memakai pakaian mereka dalam tempoh yang lama, iaitu 4 hari atau lebih. Suhu dan kelembapan di ISS juga dikawal bagi memastikan para angkasawan berasa selesa dan tidak cepat berpeluh. Pihak Russia juga kerap menghantar roket tanpa pemandu ke ISS untuk menghantar bekalan pakaian baru kepada angkasawan yang berpangkalan di sini.

Disebabkan roket ini hanya mampu bergerak dalam satu arah, sebaik sahaja angkasawan mengambil barang bantuan yang dihantar, mereka akan memasukkan segala sampah dan pakaian kotor ke dalam roket ini. Roket ini kemudiannya akan dilepaskan ke bumi dan akan terbakar seterusnya meletup di angkasa.

4. Penggunaan tandas bergantung pada kewarganegaraan seseorang angkasawan

tandas di stesyen angkasa antarabangsa

Pada peringkat awal kewujudan ISS, setiap angkasawan yang berpangkalan di ISS akan berkongsi apa sahaja termasuk makanan, peralatan dan segala fasiliti termasuk tandas. Segalanya berubah pada tahun 2003 apabila pihak Russia mula mengenakan bayaran kepada angkasawan dari negara lain yang mahukan menggunakan peralatan dan segala fasiliti mereka. Akibatnya, negara-negara lain telah mengambil tindakan yang sama kepada Russia dengan Mengenakan caj untuk setiap peralatan dan fasiliti yang digunakan oleh angkasawan Russia.

Konflik juga timbul antara Russia dan Amerika Syarikat pada tahun 2005 apabila Russia mula mengenakan caj untuk membawa angkasawan Amerika Syarikat ke ISS. Sebagai balasan, Amerika Syarikat telah menghalang angkasawan Russia daripada menggunakan segala peralatan dan fasiliti mereka, termasuk tandas. Bagi mengatasi perkara seperti ini, maka setiap angkasawan daripada negara yang yang berlainan hendaklah menyediakan fasiliti tandas mereka sendiri.

5. Angkasawan China diiharamkan menjejakkan kaki ke ISS

rekabentuk iss

Amerika Syarikat dan China sememangnya diketahui umum mempunyai pelbagai konflik dan ianya tidak terkecuali di ISS. Pada tahun 2011, pihak Kongres Amerika Syarikat telah mengeluarkan larangan kerjasama antara Amerika Syarikat dan China dalam program eksplorasi angkasa. Ini menyebabkan angkasawan China dilarang menjejakkan kaki ke ISS,

Larangan ini dikuatkuasakan kerana Amerika Syarikat bimbang bahawa China berkemungkinan besar menggunakan segala peralatan dan kemudahan yang terdapat di ISS untuk kegunaan kajian membangunkan teknologi ketenteraan mereka. Dalam kata lain, Amerika Syarikat tidak mahu membantu China membangunkan teknologi ketenteraan China secara tidak langsung dengan membantu mereka melalui program eksplorasi angkasa mereka.

Walau bagaimanapun ramai pihak beranggapan bahawa larangan ini sama sekali tidak akan menghalang China membangunkan program eksplorasi angkasa mereka sendiri. Sebagai sebuah negara besar, China sememangnya tidak mempunyai masalah kewangan malah mereka juga pernah menghantar misi ke bulan sebelum ini. China juga dikatakan mempunyai perancangan masa hadapan untuk membina stesyen angkasanya sendiri dan misi ekplorasi ke planet Marikh.

Kredit:

  1. NASA
  2. Slate
  3. The Atlantic
  4. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)