Adakah manusia zaman moden mampu memiliki 100 orang anak?
Masih belum ada jawapan untuk persoalan ini namun kita terbukti mampu menghasilkan keturunan yang sangat ramai.
Orang dewasa secara biologinya tertarik kepada wajah bayi yang comel dan pipi yang bulat, membuatkan sesetengah orang tidak mahu berhenti "menghasilkan" mereka.
Di zaman ini, memiliki anak yang ramai dan keluarga yang besar bukan lagi menjadi satu perkara biasa seperti satu ketika dahulu, namun ia masih wujud.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan antara 5 keluarga terbesar di dunia yang sangat terkenal disebabkan oleh saiz dan hubungan mereka.
5. Keluarga Bonell - 18 orang
Terdiri daripada Mama, Papa dan 16 orang anak mereka, keluarga Bonell adalah salah satu keluarga paling besar di Australia.
Jeni yang kini berusia 50-an pada mulanya tidak mahukan anak, namun suaminya Ray mempunyai rancangan lain.
Keluarga Bonell kini mempunyai 16 orang anak berusia dari 4 hingga 29 tahun.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana mereka menguruskan kehidupan seharian, Jeni mendedahkan bahawa setiap seorang daripada mereka membantu dalam melakukan kerja rumah dan barang dapur dibeli secara borong.
4. Keluarga Duggar - 21 orang
Jim dan Michelle Duggar bertemu di Arkansas pada tahun 1980. Jim melawat Michelle sebagai seorang ahli gereja Baptis selepas Michelle memberitahu niatnya untuk menukar agama.
Dan ketika inilah cinta mereka berputik. 4 tahun kemudian, Jim yang berusia 19 tahun dan Michelle pula berusia 17 tahun, berkahwin.
Mereka mahu menunggu sebelum memiliki cahaya mata, jadi Michelle melahirkan anak pertama mereka, Joshua, pada tahun 1988.
Sehingga kini, mereka memiliki 19 orang anak di mana separuh daripadanya bersekolah di rumah, serta memiliki 17 orang cucu.
Keluarga ini juga menarik perhatian media dan mengikut jejak langkah keluarga Radford dengan rancangan realiti sendiri iaitu 19 Kids and Counting.
3. Keluarga Bates - 21 orang
Pasangan Bates adalah keluarga Evangelical Amerika dari Tennessee yang mempunyai 19 orang anak.
Pasangan Gil dan Kelly Jo masing-masing hanya berusia 22 dan 21 tahun ketika mereka memutuskan untuk mengikat pertalian dengan berkahwin pada tahun 1987.
Pada awalnya, mereka sendiri tidak mahukan keluarga sebesar ini namun selepas dikurniakan anak pertama setahun selepas berkahwin, mereka meneruskan usaha itu kerana sangat menyukai bayi.
Sejak itu, pasangan ini mengembangkan keluarga mereka sehingga mendapat cahaya mata terakhir pada tahun 2012. Mereka juga mempunyai 10 orang cucu dan bakal menyambut 4 orang lagi tidak lama lagi.
Pasangan ini mempunyai rancangan realiti sendiri iaitu Bringing Up Bates.
2. Keluarga Radford - 23 orang
Noel dan Sue Radford bertemu ketika mereka masih kecil dan tidak menunggu lama untuk memulakan sebuah keluarga. Sue hanya berusia 14 tahun manakala Noel berusia 18 tahun ketika mereka menimang cahaya mata pertama, Christopher.
Keluarga Radford adalah keluarga terbesar di Britain dengan 21 orang anak, dan seorang lagi bakal dilahirkan. Mereka juga mempunyai rancangan sendiri iaitu 15 Kids and Counting.
Noel dan Sue Radford tinggal bersama anak-anak mereka di sebuah besar di Morecambe, England yang satu ketika dahulu digunakan sebagai rumah penjagaan kanak-kanak.
Pasangan ini memiliki sebuah kedai bakeri yang berjaya dikenali sebagai Radford’s Pie Company.
1. Keluarga Ziona - 134 orang
Ziona Chana dilahirkan di India dan berkahwin dengan isteri pertamanya, Zathiangi, pada usia 17 tahun.
Dia mempunyai salah satu keluarga terbesar di dunia yang masih hidup, dengan 39 orang isteri, 94 orang anak, 14 orang menantu dan 33 orang cucu.
Jumlah kesemua ahli keluarga Ziona hampir 180 orang dan semakin bertambah. Kesemua 39 isterinya berusia di antara 35 hingga 77 tahun, manakala Ziona berusia 74 tahun.
(Ziona Chana bersama 39 orang isterinya)
(Rumah yang dihuni keluarga Ziona)
Dengan jumlah ahli keluarga yang tersangat ramai, mereka boleh menghabiskan sehingga 100 kilogram beras, 30 ekor ayam dan 60 kilogram kentang setiap hari.
Keluarga terbesar di dunia ini tinggal di sebuah bangunan 100 bilik dan meneruskan hidup mereka dengan haiwan ternakan dan tanaman sendiri.
Ziona juga merupakan seorang pemimpin mazhab Kristian India dikenali sebagai Chana páwl, dan percaya dirinya akan memerintah dunia bersama-sama dengan Nabi Isa satu hari nanti.
Rujukan:
1. Daily Mail
2. Mirror
3. Cheat Sheet