Korea Utara merupakan sebuah negara komunis yang telah melalui pemerintahan selama 3 generasi pemerintah. Bermula daripada Kim Il Sung, kuasa pemerintahan diserahkan pula kepada anaknya Kim Jong Il. Setelah kematian Kim Jong Il, kuasa pemerintahan diserahkan pula kepada anaknya Kim Jong Un yang memerintah sehingga kini.

Bagi mengelakkan kekeliruan ketika membaca artikel ini, berikut adalah turutan pemerintahan di Korea Utara sebagai rujukan:

BESARKAN TEKS     A-  A+

  1. Kim Il Sung (Datuk)
  2. Kim Jong Il (Bapa)
  3. Kim Jong Un (Pemerintah sekarang)

Setiap seorang daripada mereka mengamalkan sistem pemerintahan diktator yang sangat kejam terhadap rakyat masing-masing. Sebagai sebuah negara yang tertutup daripada dunia luar, tidak banyak yang diketahui mengenai ahli keluarga pemerintah Korea Utara ini.

bapak jong un kim jong il

Sebelum ini, pihak Iluminasi pernah membongkarkan sedikit sebanyak info mengenai Ri-Sol Ju, iaitu isteri kepada Kim Jong Un yang jarang dilihat di khalayak umum dan di media massa. Kali ini, kami ingin berkongsi 5 orang ahli keluarga pemerintah Korea Utara yang jarang diperkatakan orang ramai.

1. Kim Jong Nam

kim jong nam 917

Rata-rata rakyat Malaysia mungkin pernah mendengar nama ini. Kim Jong Nam merupakan abang tiri kepada Kim Jong Un (pemerintah sekarang) yang telah dibunuh di Malaysia tidak lama dahulu. Kematiannya dikatakan akibat racun yang dikenali sebagai Racun XV.

Kim Jong Nam merupakan anak pertama Kim Jong Il. Beliau lahir hasil perhubungan haram dengan Sung Hye Rim, seorang pelakon popular yang 6 tahun lebih tua daripada Kim Jong Il. Kerana perbezaan taraf antara keluarga keluarga Kim Jong Il dan Sung Hye Rim, mereka tidak dibenarkan berkahwin.

Bagi menutup malu akibat perbuatan melahirkan anak luar nikah ini, pihak pemerintah telah menyumbat Sung Hye Rim dan ahli keluarga mereka ke dalam penjara. Namun, segalanya terbongkar apabila Kim Jong Nam sendiri telah mendedahkan kepada datuknya, Kim Il Sung mengenai hubungan bapanya dengan Sung Hye Rim.

2. Kim Kyong Hui

kim kyong hui

Kim Kyong Hui merupakan anak perempuan Kim Il Sung bersama isteri pertamanya, Kim Jong Suk. Oleh itu, beliau juga merupakan adik perempuan kepada kepada Kim Jong Il dan emak saudara kepada Kim Jong Un.

Beliau aktif sebagai ahli politik sejak 1970 bersama-sama suaminya, Chang Song Thaek. Pada tahun 1980-an, beliau aktif sebagai Pengurus menguruskan pelbagai urusan bisnes Korea Utara antaranya senjata api, tembakau, narkotik dan sebagainya. Beliau juga diberikan gelaran tinggi dalam ketenteraan atas peranan besarnya membantu Kim Jong Un mengukuhkan penguasaan.

Pada tahun 2015, terdapat ura-ura mengatakan beliau mati diracun oleh Kim Jong Un tetapi pihak perisikan Korea Selatan percaya beliau masih hidup tetapi sedang menjalani perubatan akibat masalah mental. Beliau jatuh sakit dan depresi setelah suaminya dijatuhi hukuman bunuh oleh pihak regim kerana sebab yang tidak dapat dikenalpasti.

3. Kim Han Sol

kim han sol 691

Kim Han Sol merupakan anak kepada Kim Jong Nam yang mati dibunuh. Beliau lahir pada tahun 1995 dan mendapat pendidikan awal di Macau sebelum melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama di Bosnia-Herzegovina. Halaman Facebook rasminya mula mendapat perhatian daripada pihak media Korea Selatan pada tahun 2011.

Imejnya yang mewarnakan rambutnya serta bersubang menjadi perhatian sehingga beliau diarahkan untuk menutup akaun Facebooknya bagi mengelakkan terus menjadi perhatian pihak media. Selain Facebook, beliau juga dikatakan aktif di laman sosial Twitter, Youtube dan Blogger. Beliau turut mempunyai sebuah website "Pimp Your Grades" yang didedikasikan untuk berkongsi teknik-teknik pebelajaran.

Dalam sebuah temuramah bersama wartawan pada tahun 2012, beliau secara terbukanya mengatakan harapannya untuk melihat Korea Utara dan Korea Selatan kembali bersatu dan menggelarkan bapa saudaranya Kim Jong Un sebagai diktator. Setelah bapa saudaranya yang lain iaitu Chang Song Thaek mati dibunuh pada 2013, beliau diletakkan di bawah jagaan polis oleh pihak universitinya di Perancis dan semakin menyorokkan identitinya di internet.

4. Chang Song Thaek

chang song thaek 693

Chang Song Thaek merupakan bapa saudara Kim Jong Un dan suami kepada Kim Jyung Hui (adik perempuan Kim Jong Il). Beliau bertemu jodoh dengan Kim Jyung Hui di Univerisiti Kim Il Sung. Malangnya, hubungan mereka tidak direstui oleh Kim Il Sung dan beliau telah dibuang daripada universiti.

Beliau bagaimanapun beliau meneruskan hubungan dengan Kim Jyung Hui dan mereka akhirnya berkahwin. Malangnya pada tahun 2013, beliau telah ditangkap kerana didakwa ingin melakukan pemberontakan dan tidak memberi kerjasama dengan pihak pemerinah.

Kebanyakan penyokongnya turut dikenakan hukuman bunuh dan namanya turut dibuang daripada organisasi pemerintahan Korea Utara. Setelah dipaksa untuk mengaku merancang pemberontakan untuk merampas kuasa, beliau telah dibunuh.  Peristiwa ini menunjukkan tiada siapa yang akan terselamat sekalipun berkahwin dengan kaum kerabat pemerintah Korea Utara.

5. Kim Jong Chul

kim jong chul

Walaupun Kim Jong Un merupakan pemerintah Korea Utara pada masa kini, tahukah anda bahawa beliau sebenarnya mempunyai seorang abang kandung bernama Kim Jong Chul. Walau bagaimanapun, bapa mereka Kim Il Sung berpendapat bahawa Kim Jong Chul tidak sesuai untuk dijadikan pemerintah memandangkan beliau tidak begitu tegas dan lemah-lembut.

Ketika zaman kanak-kanaknya, beliau mendapat pengajian di Switzerland. Ketika itu, identitinya sebagai anak kepada pemerintah Korea Utara disembunyikan. Pada usia dewasa, beliau mendapat perhatian daripada media massa Barat kerana hubungan rapatnya dengan penulis lirik dan penyanyi Eric Clapton.

Pada tahun 2015, pihak Korea Selatan melaporkan bahawa beliau telah hilang daripada radar mereka selepas beliau mengikuti Eric Clapton menghadiri dua konsert di London. Beliau tidak menyertai politik di Korea Utara dan ada pihak berpendapat beliau kini sedang hidup tanpa sebarang publisiti di Pyongyang.

Kredit:

  1. Washington Post
  2. The Telegraph
  3. Encyclopaedia Britannica



Hakcipta iluminasi.com (2017)