Hubungan kekeluargaan memerlukan setiap orang dalam individu memainkan peranan masing-masing, menjaga, membesarkan, mendidik dan seterusnya menyayangi satu sama lain sehingga ke hujung hayat.

Walaupun demikian bukan semua pihak mampu menanggung beban mempunyai ahli keluarga yang perlu dijaga, apatah lagi apabila melibatkan keluarga miskin atau terbeban dengan masalah kewangan disebabkan beban yang ditanggung.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh sebab itulah wujud beberapa budaya yang harus diakui tidak berperikemanusiaan, tetapi tetap diamalkan di beberapa negara.

1. Ubasute di Jepun

adegan filem ubasute jepun

Di Jepun, terdapat sebuah gunung yang dinamakan sebagai Gunung Ubasute atau dalam bahasa tempatan 'Obasuteyama'.

Gunung itu dinamakan sedemikian rupa kerana lokasi itu popular sebagai lokasi di mana segelintir masyarakat Jepun akan meninggalkan ibu atau bapa mereka (kebiasaannya ibu) di situ, akibat tidak lagi mampu menanggung beban penjagaan mereka.

'Obasuteyama' bermaksud 'gunung nenek-nenek tua dibuang.' Sehingga ke hari ini, masyarakat Jepun tidak dapat mengenalpasti adakah asal-usul nama gunung itu sebuah legenda rakyat semata-mata atau memang satu budaya yang benar-benar dilakukan.

KIsah-kisah rakyat yang diperturunkan banyak menceritakan berkenaan anak lelaki yang akan ditugaskan mendukung ibunya, membawa ibunya sendiri naik ke gunung itu untuk ditinggalkan. Ibunya pula sepanjang perjalanan akan mematahkan ranting dan dahan, bagi menjadi petunjuk anaknya semasa anaknya pulang selepas itu.

Dalam zaman moden, budaya ini kini berubah dengan beberapa kes individu di Jepun ditinggalkan saja di kawasan awam, bagi membantu meringankan beban yang tidak lagi mampu menjaga ibu, bapa dan ada kalanya pasangan sendiri yang sudah hilang ingatan dan kewarasan.

2. Thalaikoothai di India

orang india tamil nadu bunuh ibu bapa sendiri

Sebilangan kecil komuniti di Tamil Nadu, India masih lagi mengamalkan apa yang dinamakan sebagai 'thalakoothai' atau 'pembunuhan warga tua', berdasarkan kepada 'persetujuan' yang diterima daripada mangsa.

Walaupun amalan ini dikategorikan sebagai satu jenayah, pihak berkuasa masih tidak dapat menghalang daripada perkara ini berlaku kerana 'thalakoothai' berlaku puncanya daripada kerjasama masyarakat sendiri.

Didorong oleh faktor kemiskinan serta beban untuk terus menjaga ibu atau bapa yang sudah terlalu uzur, keputusan untuk 'mematikan' individu uzur ini dibuat bergantung kepada pilihan ahli keluarga dengan sokongan pemimpin dalam komuniti itu sendiri - mengakibatkan ramai warga tua seakan menerima saja takdir bagaimana hayat mereka akan diakhiri.

Individu yang terpilih akan diberikan larutan kelapa dan susu, serta dimandikan dalam minyak kelapa dengan disaksikan sendiri sanak saudara mereka. Larutan khas itu dikatakan mampu menyebabkan kegagalan buah pinggang serta mengakibatkan degupan jantung mangsa terhenti selepas beberapa jam.

3. Orang Inuit di Artik

orang inuit bunuh warga emas

Bagi masyarakat Inuit yang tinggal dalam suasana mencabar di Artik, perlu menjaga ibu bapa yang uzur merupakan satu cabaran yang sangat besar bagi mereka disamping mencari rezeki.

Dalam sistem tradisional masyarakat Inuit sendiri yang sangat mementingkan kerja keras dalam menempuh hidup, tidak dapat menyumbang serta menjadi beban dilihat sebagai sesuatu yang dipandang serong khasnya ketika musim kebuluran.

Banyak pihak mempopularkan kaedah ibu atau bapa yang uzur ini akan diletakkan di atas bongkah ais, lalu dihanyutkan dalam air dibiarkan menunggu mati. Bagaimanapun kaedah ini lebih bersifat fiksyen berbanding realiti sebenar.

Realitinya, kaedah yang digunakan kurang dramatik - ramai anak memilih untuk membiarkan saja ibu atau bapa berdepan cuaca ekstrim di luar atau meninggalkan saja ibu bapa mereka ditempat asing yang jauh dari kediaman. (PDF)

Beberapa bukti yang ditemui juga menunjukkan wujud kes di mana ibu atau bapa itu sendiri memilih untuk membunuh diri, demi masa depan pewaris mereka.

Amalan ini tidak menular di kalangan masyarakat Inuit secara berleluasa, sebaliknya menjadi pilihan terakhir sekiranya situasi menjadi bertambah buruk dan legasi keluarga perlu diteruskan.

Kali terakhir kes ini dilaporkan berlaku adalah pada tahun 1939.

4. Orang Chukchi di Siberia

orang inuit warga tua

Jika orang Inuit menggunakan praktikaliti sebagai alasan untuk menamatkan nyawa, orang Chukchi di Siberia pula mengamalkan amalang pengorbanan diri sebagai jalan utama untuk 'meringankan' beban anak cucu mereka.

Di kalangan masyarakat Chukchi mereka percaya bahawa upacara pengorbanan atau penyembahan makhluk, akan menyebabkan semangat alam yang mengawal cuaca dan kehidupan di situ menjadi aman.

Dalam sesetengah situasi sangat teruk yang mengakibatkan masyarakat mereka berdepan kesusahan, ada warga tua yang akan menawarkan diri untuk dijadikan korban kerana mereka percaya korban manusia adalah korban paling tinggi nilainya, berbanding haiwan.

Jadi kisah-kisah berkaitan majlis 'pembunuhan' yang diaturkan sendiri oleh saudara mara dilaporkan masih berlaku, sehingga dekad 1990-an secara sulit. Bagaimana nyawa mereka ditamatkan pula, bergantung kepada pilihan warga tua itu sendiri.

Ada yang memilih untuk ditembak mati anak lelaki. Ada yang mahu kematiannya dilakukan secara mengejut. Ada yang meminta dirinya digantung.

Seminggu sebelum hari kematian hadir, wanita di kalangan masyarakat Chukchi akan bekerjasama menyediakan pakaian bagi si mati - sebagai penghormatan terakhir buat individu yang sanggup menjadi korban untuk kesenangan hidup mereka yang tinggal.

5. Amalan 'Restavek' di Haiti

budaya restavek di haiti

Jika kesemua amalan dan tradisi yang kami senaraikan di atas berkait dengan warga tua, amalan 'restavek' yang masih diamalkan di Haiti pula melibatkan golongan kanak-kanak.

'Restavek' yang membawa makna 'tinggal bersama' merupakan salah satu kaedah ibu bapa kumpulan miskin di Haiti meringankan beban mereka dalam membesarkan anak-anak, dengan menghantar anak mereka untuk bekerja di rumah-rumah keluarga yang lebih berkemampuan.

Kanak-kanak seawal usia 5 tahun majoritinya perempuan, akan ditempatkan dalam rumah orang lain berkhidmat sebagai pekerja am atau pembantu rumah - dengan harapan agar tuan rumah akan menyara kos hidup dan pendidikan anak tersebut selama mana mereka bekerja di situ.

Namun apa yang berlaku sebaliknya apabila majikan atau tuan rumah mula mengambil kesempatan ke atas 'tenaga kerja' yang hadir, mengabaikan saja kebajikan kanak-kanak ini, terhalang daripada ke sekolah serta tidak mendapat makan minum secukupnya.

Kes-kes penderaan melibatkan kanak-kanak dan remaja 'restavek' juga sering dilaporkan.

Apa yang menakutkan, amalan ini berleluasa di seluruh Haiti dianggarkan melibatkan lebih 500,000 orang kanak-kanak keseluruhannya. Tradisi ini telah pun bermula berabad lamanya dan masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Amat mudah untuk keluarga-keluarga berkemampuan mendapatkan 'pembantu rumah' percuma.

Ini kerana  ramai ibu bapa di sana tidak takut untuk melepaskan anak mereka untuk tinggal dalam rumah orang asing - terlalu percaya orang asing mampu menawarkan kehidupan yang lebih baik berbanding ibu bapa kandung yang hidupnya daif.




Hakcipta iluminasi.com (2017)