Oleh pada 28 Sep 2022 kategori

Hidup dalam zaman teknologi membuatkan kita banyak bergantung dengan peranti yang ada di sekeliling kita, sehinggakan ada elemen hubungan bersifat manusiawi pun diserahkan kepada 'mesin' pembantu manusia.

Generasi muda zaman sekarang mempunyai perspektif yang jauh berbeza dengan generasi ibu bapa mereka, khususnya dalam aspek keterbukaan dalam menggunakan teknologi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka hidup dalam situasi di mana teknologi sudah matang, sehinggakan teknologi moden mampu ada bersama kita 24 jam sehari memantau bermacam perkara. Perubahan ini walaupun banyak positifnya, turut membawa kepada aspek negatif yang mungkin kita tidak sedari kejadiannya. 

Malangnya dalam kesedaran sekalipun, masih ramai yang memilih untuk membiarkan gejala buruk akibat teknologi terus berlangsung apabila melibatkan pembesaran anak-anak kita.

Berikut adalah lima kesilapan terbesar ibu bapa zaman moden dek mudahnya teknologi membantu menguruskan hidup kita.

1. Bagi gajet tanpa had

pelajar ketagihan gajet

Kami hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala apabila tahu ada di kalangan ibu bapa kita, membekalkan peranti gajet seperti telefon pintar atau tablet untuk digunakan anak-anak mereka tanpa had dan tanpa mengira usia.

Sudahlah tidak diselia masa penggunaannya, semua peranti yang disediakan juga mempunyai sambungan ke internet. Mungkin bagi ibu bapa sebegini, mereka melihat ada keperluan untuk mendekatkan anak mereka dengan teknologi sedia ada.

Tidak salah. Namun kenapa ada yang merasakan kemudahan ini perlu diberikan secara bebas kepada anak-anak?

Mak ayah zaman dulu pasti tidak membenarkan anak mereka duduk menatap televisyen atau mendengar radio 24 jam sehari tanpa batasan, kerana tahu semua perkara perlu ada hadnya.

Tidak ada sebab langsung untuk mana-mana ibu bapa membiarkan anak-anak mereka yang masih berusia 18 tahun ke bawah mempunyai peranti peribadi sendiri, lengkap dengan sambungan internet 24 jam sehari.

Golongan sebegini masih belum punya kematangan menyelia diri sendiri dengan baik, jadi ibu bapa sepatutnya campur tangan dalam hal ini dengan mengehadkan tempoh akses diberikan.

Mereka juga perlu dikawal agar penggunaan peranti hanya boleh digunakan di lokasi terbuka, ketika dibenar menggunakannya.

2. Berikan anak hiburan tanpa kawalan

anak ketagih tv strim

Satu dugaan paling besar dalam mendidik anak-anak zaman sekarang selain daripada akses internet, adalah akses kepada rancangan-rancangan TV yang bersifat 'atas permintaan' atau 'on-demand'.

Kemudahan ini membolehkan mereka menonton apa saja rancangan kegemaran mereka ketika mereka suka. 

Berbeza dengan zaman dahulu di mana rancangan kartun hanya ditayang sekitar jam 4.30 petang ke 5.30 petang hari bekerja dan 8 pagi sehingga 10 pagi hujung minggu, ketiadaan jadual sebegini sebenarnya mencipta kesukaran besar kepada ibu bapa dalam mendidik anak. 

Dalam minda anak-anak, mereka sudah biasa tidak ada kekangan untuk menonton rancangan kegemaran mereka yang boleh 'dipanggil' bila-bila masa. Lebih memburukkan situasi, kebanyakan rancangan bersifat on-demand ini juga hadir tanpa had - di mana kandungannya tidak henti-henti disyorkan kepada anak-anak.

Penulis sendiri selepas berdepan kesukaran mengawal penggunaan langganan TV strim sehingga malam pun ada yang berebut nak tengok kartun, memilih untuk pun menamatkan semua langganan.

Kini kami telah beralih hanya kepada siaran TV MyFreeView yang lebih menenangkan jiwa, sebagai ibu bapa. Apa yang mereka tengok pun kami tak risau nak kena tapis dulu atau tidak.

3. Biasakan anak makan di luar atau beli dari luar

ibu bapa ajar anak makan luar

Satu perubahan yang sangat ketara dan semakin popular di kalangan masyarakat kita adalah budaya memesan makanan dari luar.

Perkhidmatan penghantaran makanan sudah menjadi satu perkhidmatan wajib ada walaupun diceruk-ceruk kampun sekalipun.

Jujurlah - adakah anak-anak anda tampak lebih gembira makan makanan yang dipesan dari luar berbanding masakan yang dimasak oleh anda atau pasangan anda?

Tidakkah anda merasakan itu satu kerugian, membesarkan anak-anak anda dengan makanan kedai ketika kita masih lagi berkemampuan memasak untuk mereka apa yang sekadar mampu?

Mudah memang mudah memesan dari luar, namun kita tidak tahu kualiti bahan dan apa jenis rencah yang pekedai gunakan. Perbanyakkanlah hidangan masakan sendiri dan cuba minimakan pesanan dari luar. 

Kami tahu anda sibuk tetapi anak yang sudah dibiasakan makan masakan kedai, sukar untuk menghargai kepayahan si ibu (atau bapa) yang bertungkus lumus menyiapkan makanan mereka. 

Dari situ mereka juga akan terikut-ikut, melihat tiada keperluan untuk memasak sebaliknya memilih jalan senang ketika dewasa dan akhirnya akan kekal sama, ketika mereka sudah berumahtangga.

4. Didik anak biasa hidup senang 

anak biasa pendingin hawa

Jika anda biasa mendengar kisah guru di sekolah, anda pasti menyedari wujud perbezaan ketara di antara mentaliti pelajar baik yang datang dari keluarga berkemampuan dengan pelajar baik yang datang dari keluarga susah. 

Pelajar dari keluarga susah mempunyai satu tahap kekuatan yang jarang ada dalam diri pelajar lebih mampu, khususnya dari segi kebolehan untuk berdikari. Mereka mungkin ketinggalan dari segi akademik kerana kurang dapat menumpukan diri kepada pelajaran, tetapi mereka mampu hidup dalam apa saja situasi.

Pelajar susah biasanya tidak peduli kelas mereka ada pendingin hawa atau tidak. Mereka juga tidak peduli kasut mereka koyak atau peralatan mereka tidak mencukupi. Mereka boleh bangun tidur, membantu ibu sejak awal pagi siap menghantar adik-adik ke sekolah dengan motorsikal walaupun tiada lesen.

Situasi sebegini jarang perlu dihadapi pelajar lebih berkemampuan.

Memang tidak salah memberikan anak hidup selesa, tetapi ada kalanya sedikit kepayahan perlu ada bagi mendewasakan anak-anak ini. 

Apabila mereka sudah terbiasa hidup dalam air-cond setiap masa, hiburan senantiasa ada, makanan berlambak, orang gaji setia memenuhi keperluan mereka; sukar untuk mereka mampu mengorbankan apa yang telah mereka lalui dan rasa.

Bila dah melangkah dewasa, apa yang telah mereka nikmati perlu terus kekal ada mengakibatkan mereka perlu menanggung kos besar, hanya untuk memanjakan diri setiap masa.

5. Ajar anak duit boleh setel semua masalah

servis lipat baju ibu bapa

Satu perkara yang paling membimbangkan tentang masyarakat kita dalam menuju masa hadapan - adalah bagaimana ramai di antara kita melihat duit sebagai penyelesai utama banyak perkara yang sepatutnya boleh kita buat sendiri. 

Contohnya, perkhidmatan mengemas rumah semakin popular di kalangan masyarakat kita, di mana pekerja-pekerja pembersihan akan hadir pada hujung minggu membersihkan rumah.

Ada usahawan kecil-kecilan mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan melipat dan menggosok baju. Jangan pula terkejut, perkhidmatan menjahit tanda nama anak pada uniform mereka pun ada - setiap satu lencana dikenakan caj RM2 ke RM5.

Banyak lagi kan perkhidmatan sebegini ditawarkan dalam mengambil alih tugasa sebenar ibu bapa untuk keselesaan anak-anak mereka?

Apa yang menakutkan ramai melihat dengan mengambil perkhidmatan sebegini, kita akan ada family time yang lebih berkualiti dengan anak-anak.

Sedangkan family time sebenar adalah apabila kita seluruh ahli keluarga sama-sama bergotong royong menyelesaikan semua tugasan di seluruh pelusuk rumah. Setelah selesai, kita dapat duduk dengan anak-anak di meja makan berbual tentang apa saja yang boleh kita bualkan. Itu waktu keluarga.

Kita semua tahu, apa yang lebih baik sebenarnya adalah untuk kita sebagai ibu bapa sama-sama mengajar mereka melakukan semua tugasan rumah secara kendiri - walaupun wajah mereka masam mencuka dek malas nak mendengar arahan kita. Tetapi itu semua perlu kita hadapi ketika mereka muda.

Kesannya mungkin tak kita nampak awal, tapi seorang anak yang banyak kemahiran hidupnya, dia mampu berdikari dengan lebih baik serta tidak manja dalam berhadapan masalah, tidak mengharapkan orang membantu mereka dalam setiap perkara. 

Menyampah tau kalau kita jumpa pekerja yang jenis manja ni. Kena buat itu, tak boleh. Kena buat ini tak nak. Lepas tu tarik muka minta simpati minta tolong. Rasa nak cubit je dia sebab mengada-ngada sangat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)