Oleh pada 24 Jan 2019 kategori

Jika anda pernah membaca akhbar, majalah fesyen atau komik dari Jepun, anda mungkin mengetahui tentang kemunculan superhero terbaru di sana.

Superhero Jepun ini tersenyum manis dan kelihatan begitu tampan sambil bermain lawan pedang semasa sedang bersarapan pagi atau berbasikal di taman permainan. Malah, kedua-dua pasangan ayah dan anak sering dilihat mengenakan pakaian sedondon.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Superhero ini juga mudah bersimpati, sangat memahami dan gembira melakukan tugas-tugas harian di rumah seperti memasak dan mengemas.

lelaki jepun kini lebih mengimbangi masa antara kerja dan keluarga

Superhero ini dipanggil "ikumen" iaitu gabungan perkataan "ikuji" (mengasuh anak) dan "ikemen" (lelaki tegap dan tampan). Ia sangat berbeza dengan stereotaip yang wujud sekian lama yang menggambarkan seorang bapa sebagai gila kerja dan terasing daripada keluarga.

Permulaan Projek Ikumen Kebangsaan Jepun

Istilah ikumen ini pertama kali digunakan oleh seorang jurujual iklan sejak awal milenium kedua. Pada tahun 2010, Menteri Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun telah melancarkan Projek Ikumen Kebangsaan bagi mempromosikan idea tersebut sebagai salah satu kaedah untuk menggalakkan penglibatan bapa secara langsung dalam kehidupan berkeluarga.

Idea tersebut kemudian diterima dengan baik oleh majoriti warga Jepun. Hari ini, ikumen boleh dilihat semakin menular dalam budaya popular Jepun. Walau bagaimanapun, adakah trend ini benar-benar menunjukkan kemajuan ketara dalam kesamaan jantina atau ia hanya sekadar gambaran superfisial bagi menyembunyikan tanggungjawab berat yang digalas para wanita dalam keluarga?

ikumen suri rumah lelaki jepun melipat kain di rumah dan menjaga anak

Sebelum ini, peranan seorang bapa di Jepun adalah sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga. Bapa-bapa yang bekerja makan gaji ini mengabdikan kehidupan mereka kepada majikan.

Mereka sanggup bekerja lebih masa setiap hari semata-mata untuk memanjat tangga korporat selain memberikan jaminan kewangan kepada keluarga. Komitmen yang tidak berbelah bahagi ini menggambarkan 'kelelakian' seorang bapa yang paling agung.

Keluarga tahun 80-an sebagai "trigger"

Jepun bukanlah satu-satunya negara yang mempunyai pandangan sedemikian. Malah, pada tahun 1980-an, secara puratanya seorang lelaki meluangkan masa tidak sampai 40 minit pun setiap hari untuk berinteraksi bersama anak-anak. Itu pun hanya diluangkan bersama di meja makan.

Menurut satu kajian pemerhatian, ada sesetengah lelaki yang tidak tahu membancuh sendiri air teh atau mencari pakaian sendiri tanpa bantuan isteri. Apabila berinteraksi dengan anak-anak pula, mereka banyak memencilkan diri dan kerap memberi perintah agar menghormati atau mentakuti si bapa.

Fakta ini jelas dapat dilihat dalam pepatah Jepun, "jishin, kaminari, kaji, oyaji" yang bermakna "gempa bumi, petir, api, ayah."

ikumen bapa membawa anak berjalan di taman

Sikap seumpama ini sebenarnya mempunyai pelbagai implikasi yang serius. Ia membuatkan golongan wanita mengalami kesukaran untuk kekal berkerjaya selepas melahirkan anak. Hal ini menyebabkan ramai wanita muda berasa tidak begitu berminat dengan konsep perkahwinan dan lebih rela menjadi bujang atau hanya berkahwin apabila usia sudah agak lanjut.

Disebabkan itulah kadar kelahiran di Jepun mengalami penurunan. Selain itu, tahun 80-an juga menyaksikan peningkatan bilangan kes bunuh diri di kalangan kanak-kanak dan ia banyak dikaitkan dengan kekurangan sokongan si ayah dalam kehidupan anak-anak.

Walaupun begitu, perubahan yang berlaku agak perlahan. Pada tahun 2002 misalnya, hanya 0.33% lelaki yang layak mengambil cuti paterniti selepas anak dilahirkan. Satu tinjauan pada tahun 2008 pula melaporkan satu pertiga golongan lelaki sebenarnya lebih suka jika mereka dapat meluangkan masa bersama anak-anak namun mereka risau jika majikan tidak meluluskan cuti.

ikumen suami bapa kacak jepun membantu jaga anak dan mengemas rumah

Suri rumah lelaki perlu dianggap macho dan seksi

Disebabkan itulah kerajaan Jepun memulakan inisiatif Projek Ikumen untuk membetulkan keadaan ini dengan memulakan satu gerakan masyarakat di mana lelaki diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam hal penjagaan anak secara lebih proaktif.

Pihak kerajaan menganjurkan simposium dan bengkel serta mengedarkan 'Buku Panduan Keseimbangan Budaya Kerja' untuk membantu para bapa mengimbangi antara kerja di pejabat serta kehidupan berkeluarga di rumah.

Tidak seperti kempen-kempen sebelumnya yang dijalankan untuk meningkatkan penglibatan bapa, Projek Ikumen menggambarkan seorang bapa sebagai hero dengan memberi penekanan kepada sifat maskulin dan tarikan seksualnya.

shun oguri bapa seksi

Salah satu poster kempen projek ini memaparkan aksi seorang lelaki mengoyakkan sut dan kemeja seperti Superman yang mendedahkan logo projek serta slogan "Kekuatan Ikumen untuk masyarakat" di bahagian dalam.

Ini memberikan implikasi bahawa 'hero-hero' ini bukan sahaja melindungi keluarga sendiri, malah mereka juga membantu menyelamatkan negara dengan membentuk generasi baru golongan pekerja.

Disebabkan ia mempunyai konotasi dengan jejaka seksi ikemen, penggunaan istilah ikumen itu sendiri diterima baik oleh masyarakat.

ayah membawa anak membeli belah di pasar raya

Kini, majalah seperti Father's Quarterly (FQ) Jepun mengiklankan pakaian sedondon antara anak dan ayah serta menjalankan sesi penggambaran keluarga untuk dipaparkan bersama artikel temu ramah dengan selebriti. Bahkan pertandingan "Mr. Ikumen" juga menjadi antara acara tahunan yang dinantikan. Lelaki ikumen yang sensitif dari segi emosi sering diambil menjadi pelakon utama dalam drama TV bersiri.

Selain itu ada juga siri manga "Ikumen!" yang meneroka kehidupan seorang suami suri rumah berusia 21 tahun bernama Midorikawa Hiroya yang membesarkan anak perempuannya sementara isterinya keluar bekerja.

Berbeza dengan pekerja makan gaji tradisional, Hiroya mendapati rasa kepuasan dalam dirinya semakin dipupuk melalui hubungan akrab bersama anak kesayangan. Sementara itu, statusnya sebagai seorang ikumen telah melindungi dirinya daripada dipandang serong oleh masyarakat yang mementingkan lelaki berkerjaya.

Keberkesanan Projek Ikumen

Jika dilihat dari segi pemasaran, kempen Projek Ikumen sudahpun dilihat sebagai satu pencapaian memberangsangkan kerana berjaya mencetuskan banyak perbincangan penting tentang status seorang bapa.

Walau bagaimanapun, ia juga banyak menerima kritikan terutamanya daripada golongan feminis yang mendakwa kempen mengangkat ikumen sebagai hero ini adalah sesuatu yang tidak adil. Menurut kumpulan ini, walaupun mereka sukakan perubahan positif yang berlaku pada golongan bapa, mereka juga tertanya-tanya mengapakah usaha para ibu dalam hubungan kekeluargaan selama ini tidak menerima penghargaan yang serupa.

bapa menyertai pertandingan bersama anak anak

Menurut Hannah Vassallo, penulis buku "Cool Japanese Men" yang diterbitkan oleh Cambridge University, ramai orang terlalu cepat melatah dan hanya melihat kepada sebelah pihak sahaja. Projek ini bukanlah bertujuan untuk merendahkan martabat kaum wanita dengan hanya memuja para bapa.

Ada juga bapa yang tidak malu mengaku diri mereka ikumen walaupun hanya melakukan sedikit sahaja kerja rumah. Malah, buku panduan projek yang rasmi juga masih menekankan peranan utama ibu dalam hal penjagaan anak-anak.

Sementara itu, terdapat juga golongan lelaki yang mengadu tentang 'penyakit ikumen' iaitu terlalu keletihan kerana ingin memuaskan hati semua pihak di pejabat dan juga di rumah.

Ramai golongan lelaki berpandangan progresif tentang projek ikumen ini, namun mereka masih berasa takut-takut untuk meluangkan lebih banyak masa di rumah kerana dikhuatiri majikan yang berfikiran tradisional tidak memahami polisi baru lalu menghukum pekerja lelaki yang ingin menjadi ikumen.

Lelaki bersama-sama galas tanggungjawab di rumah

Apa-apapun, Projek Ikumen telahpun menunjukkan beberapa perubahan positif sejak ia mula diperkenalkan. Misalnya, walaupun kadar pengambilan cuti paterniti masih rendah iaitu sekitar 7% pada tahun 2017, ia jelas telah meningkat dengan ketara berbanding hanya 1.9% pada tahun 2012.

Selain itu, hanya 45% warga Jepun yang masih menyokong idea bahawa "lelaki perlu bekerja dan wanita harus tinggal di rumah." Statistik ini telah mengalami penurunan sebanyak 15% sejak tahun 1992 di mana lebih 60% orang yang menyokong norma jantina tradisional.

kelas latihan penjagaan bayi

Bapa-bapa di kawasan bandar Jepun juga kini lebih mudah dilihat meluangkan masa bersama anak-anak terutama sekali ketika hujung minggu. Walaupun perubahan tingkah laku akan mengambil masa yang perlahan dan mereka masih jauh lagi daripada menjadi seorang superhero seperti yang ditonjolkan melalui imej kempen ikumen, rata-rata golongan lelaki gembira kerana dapat bersama-sama menggalas tanggungjawab membesarkan anak bersama isteri tercinta.

Ada yang berkongsi pelbagai tips di Facebook dan ramai yang mula menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG di sekolah.

bapa penyayang jepun

Menurut Vassallo, perubahan-perubahan kecil ini menandakan golongan bapa di Jepun mula mencari jalan ke arah perhubungan yang sihat dan ingin lebih mengimbangi masa antara komitmen kerja dan keluarga.

Rujukan:

1. Ikumen Project

2. SCMP

3. Japan Times

4. Bloomberg

5. Japan Sociology

6. Cambridge University




Hakcipta iluminasi.com (2017)