Pemasangan sistem kamera video dalam kenderaan atau dashcam merekodkan pandangan sudut bahagian depan, belakang, sisi dan ruangan dalaman kenderaan sudah menjadi satu perkara biasa di kalangan masyarakat Malaysia.

Populariti peranti ini banyak dibantu fungsinya membantu orang ramai merakam video insiden yang terjadi dalam bentuk digital sepanjang mereka memandu - diterima sebagai bukti mahkamah sekiranya ada apa-apa yang buruk terjadi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak dapat kami nafikan, faedah memasang peranti seperti ini besar bagi seorang pemandu khasnya di Malaysia dan kami langsung tidak membantah, sekiranya diwajibkan pemasangannya.

Tetapi kita jarang membincangkan sisi negatif yang boleh wujud disebabkan pemasangan perakam video ini. Ini adalah lima keburukan pemasangan perakam video yang mungkin anda tak sedar boleh berlaku kepada anda.

1. Anda gian nak tularkan video rakaman anda

rakaman dashcam

Zaman sekarang, ramai orang kejar 'like' dan salah satu kaedah cukup popular adalah dengan berkongsikan video-video rakaman perakam kereta di media sosial.

Sudah menjadi satu perkara biasa melihat pemilik kepada peranti-peranti ini memuatnaik video yang tular, dengan niat nak memberi pengajaran masyarakat di samping mendidik pemandu terlibat agar tak lagi buat kurang ajar atas jalan.

Masalahnya, kadang-kadang video yang ditularkan tak adalah teruk sangat kesnya; terhimpit sikit tapi tak bersentuhan, tak reti bagi isyarat masa memandu, pemandu bawa terlalu perlahan, pemandu guna telefon masa memandu dan sebagainya.

Wajah-wajah pemandu yang melakukan kesalahan-kesalahan itu ditularkan dan ramailah netizen bekerja keras mengorek identiti mereka yang terlibat, lengkap dengan tagging akaun PDRM agar tindakan segera diambil.

Jika kes itu besar dan pelakunya terlepas, penulis boleh faham tujuannya. Tetapi kadangkala perkara yang boleh saja kita anggap dugaan hidup pun nak diperbesarkan segelintir netizen.

2. Pemandu teksi dan e-hailing boleh merakam gelagat anda

penumpang grab curi duit pemandu02

Bagi individu yang memandu kenderaan teksi atau e-hailing, perakam yang dihalakan ke bahagian dalaman menjadi satu perkara yang harus ada sebagai perlindungan sekiranya anda berhadapan situasi berisiko atau aneh.

Bila dah memandu kenderaan yang membawa orang awam ni, pasti banyak jenis ragam manusia dapat dilihat.

Ada yang mabuk, bercakap mengarut, muntah, tergelak-gelak dan mungkin juga tidak tahan sehingga berasmara secara ringan dalam kenderaan. Untuk segelintir pemandu yang berperangai mata keranjang, menerima penumpang yang cantik dan seksi adalah sesuatu yang ditunggu. 

Pernahkah anda sebagai penumpang terfikir apakah risikonya kepada anda sekiranya seorang pemandu memperolehi rakaman anda dalam situasi yang kami senaraikan? 

Seorang pemandu bukan saja mampu merakam visual anda tetapi boleh juga merakamkan dialog perbualan anda sepanjang perjalanan. Tidakkah itu sesuatu yang sebenarnya menakutkan?

Bukankah sepatutnya pemandu teksi atau e-hailing perlu memaklumkan kepada penumpang lebih awal, bahawa segala gerak geri dan mungkin perbualan mereka sedang dirakamkan? Kami rasa perkara ini patut menjadi satu garis panduan wajib.

3. Pasangan anda ada bukti apa yang anda lakukan

geng takut bini

Golongan-golongan suami ada masanya merasa perlu 'berehat sekejap' dari keluarga, untuk membolehkan 'lelaki jadi lelaki.'

Tetapi bagi sesetengah lelaki yang berkahwin dengan wanita yang bukan sahaja suka mengawal bahkan bersikap dominan, dashcam menjadi satu alat termudah untuk mengawal tindak-tanduk suami. 

Suami keluar sekejap, balik saja ke rumah si isteri mula menyemak rakaman video sebab nak pastikan ke mana suami dia pergi. Kalau rakaman terpadam masa keluar, mulalah timbul syak wasangka.

Jika anda nak ajak kawan-kawan ramai-ramai lepak keluar satu kereta pun rasa gusar. Bila kawan-kawan lelaki dah berkumpul tu mesti akan ada lawak melibatkan isteri disebut sebagai sindiran kepada kawan-kawan jenis penakut bini ni. 

Nama isteri akan disebut. Nasihat akan dikeluarkan. Cadangan apa nak buat dengan isteri yang terlalu mengongkong pun pasti dibincangkan dalam kereta. Sampai rumah lepas lepak, isteri terus periksa rakaman - barulah isteri tersedar setengah jam perjalanan suami dan kawan-kawan, semuanya borak pasal dia dan perangai dia.

Siapa sedang mengalami masalah ini selepas memasang dashcam? Mesti tak ramai berani mengaku, sebab dia takut bini dia marah.

4. Bukti milik anda boleh menggigit anda kembali

rakaman dashcam jadi bukti

Ramai orang yang mempromosikan penggunaan perakam video kereta menyebut bahawa faedah utama kita memasang dashcam, mampu menjadi bukti sekiranya insiden kemalangan atau kecelakaan berlaku semasa perjalanan. 

Dalam konteks biasa, bukti yang dimaksudkan adalah bukti yang membuktikan kita tak bersalahlah. Orang lain salah. Orang lain punya angkara. Bukan kita punca kemalangan berlaku.

Tetapi sebagai pemilik perakam video ini, kami ada satu soalan - mampukah anda berkongsi rakaman milik anda kepada pihak berkuasa sekiranya rakaman dari kereta anda mampu membuktikan anda yang silap dalam kejadian, sehingga mengakibatkan kemalangan?  Mampukah anda berlaku jujur?

Atau selepas sedar saja kesilapan anda sejurus kemalangan, anda cepat-cepat rosakkan kad memori yang sepatutnya mengandungi rakaman kejadian. Bila disiasat pihak polis, anda pun mulalah nak putar isu menyebut dashcam anda sebenarnya dah lama tak berfungsi.

Apa akan anda buat jika anda berada dalam kedudukan tersebut? Ini soalan serius ni.

5. Anda ada memento kejadian buruk yang menimpa anda

pemandu uber jadi mangsa

Kami tidak tahu mengapa ramai di kalangan netizen tidak mempunyai rasa segan untuk berkongsi rakaman insiden kemalangan yang meragut nyawa dalam bentuk video, ke internet.

Jika kita adalah ahli keluarga kepada mangsa yang terkorban atau terlibat, pasti sukar untuk kita menonton rakaman tersebut. Apatah lagi untuk menelaah, memahami, menghurai, membincangkan, mengkritik dan menghakimi kejadian yang direkodkan.

Satu hujah utama yang penulis mampu tuliskan kepada pembaca kami tentang keburukan memiliki perakam video ini adalah seperti berikut; apabila kita mempunyai dashcam dalam kereta, kita sebenarnya mempunyai rakaman atau dokumentasi yang merekodkan semua kejadian buruk yang telah menimpa dalam kereta kita.

Sekiranya kita terlibat dalam kemalangan teruk dan kamera yang dihalakan ke dalam kabin merakamkan saat di mana kematian orang yang kita sayangi berlaku, informasi dan maklumat yang selamat dirakamkan itu boleh membuatkan kita trauma apabila menontonnya.

Kami tahu tak ada sesiapa pun sanggup melihat keluarga, sahabat handai, saudara mara terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa dalam bentuk rakaman video. Tetapi sensitiviti masyarakat kita sekarang ni, entahlah - kurang sekali pekanya.

Silap-silap video insiden ngeri itu jatuh ke tangan netizen dan ditularkan pula rakaman peristiwa malang itu, dikongsi berulang kali oleh portal-portal popular di kalangan masyarakat kita.

Mulalah rakaman video itu jadi topik perbincangan hangat netizen. Anda yang mungkin terselamat daripada maut dalam kejadian, terpaksa menerima hakikat netizen-netizen yang jelas kurang tahap sensitiviti ini mula berdebat siapa salah, siapa betul; selepas menonton detik kematian orang kesayangan anda. 

Anda buka media sosial untuk memaklumkan tahap kesihatan anda kepada kenalan anda. Di garis masa anda yang terpapar - adalah video kemalangan ngeri itu hasil rakaman dashcam milik anda. 

Tak tahulah siapa yang tularkan video itu. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)